OLEH RAZALI AWANG yang baru-baru ini berada di Syria bersama-sama Syria Care.
Ketika masyarakat antarabangsa panik dengan penularan wabak Coronavirus atau Covid-19, perkembangannya tidak diambil kisah pelarian Syria berlindung di utara negara itu.
Pada mereka ada perkara penting seperti makanan, tempat tinggal dan keselamatan diri lebih utama difikirkan. Tambahan pula tidak ada pihak yang membuat pemeriksaan kesihatan kepada mereka.
Dalam keadaan tidak terkawal dengan tahap kebersihan yang amat rendah, jangkitan virus menjadi satu lagi musibah besar kepada mereka.
Ketiadaan sistem pembentungan yang teratur, perkongsian bekalan air bersih dan khemah pelarian yang sesak memudahkan virus ini berjangkit dalam sekelip mata.
Ditambah pula dengan budaya Arab yang berpeluk cium, berkongsi makanan dalam dulang serta air minuman, sekiranya merebak ke sini, ia ibarat bom jangka.
Hakikat itu diakui rakan setugas, Shadi al Uwainah.
“Pelarian di sini tidak sempat hendak memikirkan mengenai virus. Makanan, tempat tinggal dan pakaianpun tiada. Inikan pula hendak memikir virus itu,”katanya.
Shadi, juga pelarian yang berasal di Latakia dan kini bekerja dengan Syria Care berkata, sebahagian pelarian mengambil maklum dengan wabak yang telah melanda dunia itu, tetapi hanya mendengar.
Tiada apa yang dapat mereka lakukan kerana keadaan hidup terlalu daif.
Pandangan itu turut dikongsi rakannya, Adnan Sulaiman.
“Kami hanya mampu berserah kepada Allah, mengharap belas ihsannya kerana di sini kami bertarung untuk hidup.”
Pandangan kedua-dua mereka adalah gambaran sebenar di Idlib atau lebih tepat lagi di Sahil.
Ketibaan hampir sejuta pelarian baru dari kawasan selatan Idlib sejak Disember lepas, menjadikan bahagian utara begitu sesak tanpa sebarang kemudahan asas yang sepatutnya.
Ketika melakukan tinjauan di salah sebuah kem yang menempatkan 50 buah khemah, saya dimaklumkan di situ hanya terdapat empat buah tandas dan tiada bilik mandi.
Salah seorang penghuninya memberitahu, dia tidak mandi sejak tiba sebulan lepas.
Di kawasan yangi dikuasai kerajaan, perkembangan sebenar Covid 19 di Syria masih menjadi misteri.
Sehingga kini pentadbiran regim Bashar al Assad tidak memberi sebarang kenyataan mengenainya pada hal di sekeliling negara itu seperti Israel, Lubnan, Iraq dan Turki telahpun mencatatkan jangkitan.
Lebih membimbangkan, sekutu rapatnya di Asia Barat, Iran menjadi negara yang teruk dan mencatatkan peningkatan wabak dan kematian di luar China.
Seperti dunia sedia maklum, Iran selama ini satu-satunya negara di Asia Barat menjadi talian hayat regim Bashar dalam banyak perkara selepas dikenakan sekatan oleh masyarakat antarabangsa. Foto/Syria Care
* RAZALI AWANG adalah sukarelawan Media Syria Care yang menulis untuk KUSEMAN.COM