OLEH SAIFUL NUJAIMI ABDUL RAHMAN
“SETIAP yang bernama makhluk itu pasti memiliki ajalnya. Setiap ajal terjanji sakaratnya. Justeru, bersiagalah mendepaninya dalam seluruh jenang hayat yang diperuntukkan.”
Meminjam persepsi ulama tasauf tersohor Imam Hassan dari Basrah, yakinlah bahawa pandemik Covid-19 ini pasti berakhir – namun hanya setelah kita bersama menempuh sukar dalam melawannya.
Ribuan fakta sejarah memahatkan betapa keyakinan yang dimiliki telah berupaya meruntuhkan apa juga halangan dan cabaran yang dihadapkan ke muka manusia.
Yakinlah bahawa kita akan memenangi peperangan melawan virus ini – dengan kekuatan senjata taat, darah, tangisan, dan keringat. Inilah satu-satunya keyakinan yang wajar dan perlu kita suburkan.
Belajarlah daripada Perang Hunain (630 Masehi) ketika tentera Islam terpaksa merempuh 20 ribu tentera Hawazin yang digembleng panglima berusia 160 tahun, Duraid ibnu Summah.
Kecamuk perang telah memaksa baginda Rasulullah SAW melaungkan semboyan yang bersifat personal: “Wahai Ashabus-Samurah, mana perjanjian kamu; Wahai Ashabul-Ansar, mana perjanjian kamu?; Wahai Ashabul-Muhajirin, mana perjanjian kamu?”
Sepantas kilat 100 pejuang Islam berhimpun membentuk saf-saf perang, lantas menyerbu musuh seumpama sayap taufan dan menggempur persis sang geroda. Cukup dengan 100 orang sahaja bagi menewaskan 20 ribu bala tentera. Inilah natijah keyakinan.
Kita juga wajar meminjam keyakinan mantan Perdana Menteri Britain, Sir Winston Churchill pada 13 Mei 1940 dalam usaha mempertahankan nusanya daripada kebuasan Adolf Hitler – dengan segera menanam keyakinan dalam setiap perabung dada umat Inggeris.
Churchill pantas mengabaikan pandangan monarki Inggeris terhadap dirinya yang disifatkan sebagai individu yang memiliki ‘a litany of catastrophe’. Churchill hanya memilih untuk yakin – walhal ketika itu sebetulnya kekuasaan Inggeris telahpun tempang dan hampir lumpuh!
Lalu, apakah yang telah dilakukan oleh Churchill? Pertama, ia bermula dengan mendapat mandat peribadi Raja England, King George VI – apabila baginda mencemar duli mengunjungi Churchill di kediaman Perdana Menteri itu.
Kedua, berusaha meyakinkan rakyat secara berdepan dengan meluangkan masa bertemu di sekitar kota London, hatta secara bersemuka ketika menaiki pengangkutan awam yang tersedia.
Ketiga, kembali berhujah demi meraih kembali sokongan semua Ahli Parlimennya – dan hanya berakhir setelah sorakan sokongan paling gempita memenuhi House of Common pada ketika itu.
Pada momen paling getir itulah, sebuah ucapan yang diiktiraf cendekiawan seantero dunia sebagai antara teks paling berpengaruh telah terhasil – sedangkan ia dilafazkan oleh Churchill yang memiliki kegagapan berucap, sekalipun terkawal.
Kata Churchill: “We have before us many, many long months of struggle and suffering. You ask, what is our policy? I will say: It is to wage war, by sea, land and air, with all our might and with all the strength that God can give us…”
Begitu juga sejarah kuda lumba Seabiscuit (kuda yang pernah tempang, dipacu pula oleh penunggang tempang, George Woolf) yang telah menjuarai perlumbaan yang dibarisi penunggang berpengalaman dan kuda lumba daripada baka yang terpilih.
Perlumbaan 1938 yang siarkan secara langsung melalui corong radio ke seluruh Amerika Syarikat itu telah memarakkan kembali nyala keyakinan rakyat untuk kembali pulih daripada kegawatan ekonomi yang melanda.
Justeru, konflik global yang melanda Malaysia kini sebetulnya telah menyerlahkan kematangan masyarakat kita. Tanpa perlukan kekerasan ketenteraan, sejumlah 92 peratus rakyat diberitakan mentaati Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac 2020 lalu.
Fenomena ini ternyata berbeza di beberapa bahagian dunia lain apabila Kerajaan mereka terpaksa menggunakan pelbagai kekerasan demi menyelamatkan nyawa.
Jika cuma lapan peratus ahli masyarakat yang masih ingkar, itu adalah lumrah yang perlu diterima secara statistikal – pun begitu, peratusan tersebut perlu dipastikan seminimum mungkin.
Sesuatu yang jelas, majoriti masyarakat Malaysia ketika ini tidak mudah terhanyut dengan empat anarkis yang dibimbit oleh setiap krisis, iaitu chaos, death, volatility, dan blame-game. Moga-moga ia berterusan begitu.
Tanpa ragu lagi, kekukuhan keyakinan adalah satu-satunya nukleus paling magikal yang telah diperbekali Tuhan kepada umat manusia untuk memenangi perang ini – dan, ‘menang’ merupakan satu-satunya pilihan yang kita ada.
Churchill dalam ucapan yang sama menegaskan; “You ask, what is our aim? I can answer in one word: Victory! Victory at all costs; Victory in spite of all terror; Victory however long and hard the road may bear – without Victory, there is no survival!”
Andainya kita masih gagal setelah menempuh seribu jalan, kita perlu bangkit mengusahakan seribu jalan yang baharu tanpa jemu. Dalam wajah apa sekalipun, perjuangan tidak boleh terhenti.
Saat ini kita hanya memerlukan satu keyakinan sahaja iaitu: Bangsa Malaysia seluruhnya akan bangkit meraih kemenangan menewaskan virus ini dalam masa yang terdekat. Itu sahaja.- KUSEMAN.COM
- SAIFUL NUJAIMI ABDUL RAHMAN adalah ahli akademik.
Alhamdulillah dengan berbekal keyakinan kita bersatu dan teguh. Alhamdulillah banyak ilmu yang dapat diperoleh waktu ini.
Perjuangan mereka yang terdahulu adalah satu pengajaran yang baik untk kita pada hari ini agar tidak lari daripada perang sebaliknya lawan sehingga menang. Artikel yang sangat baik untuk memberi satu semangat kepada masyarakat hari ini untuk tidak lemah semangat berhadapan Covid19. Positif Covid19 bukan bererti anda kalah dan negatif covid bukan bererti anda selamat, yang penting jangan putus asa.
Betul tu. Dalam apa2 hal keyakinan tu paling penting. Yakin boleh! Tak boleh mengalah selagi tak berjuang sepenuh saya. Bila bersungguh akan ada hasilnya (dengan izin Allah). Dan berjuanglah kerana Allah. Berjuang demi kebaikan umat manusia. InsyaAllah Dia akan menghantar pertolongan bila dikehendakiNya. Kunfayakun. Semoga virus ini dapat dilupuskan sebelum tibanya bulan Ramadhan..aamiin