Kapal penyerang milik China, Haiyang Dizhi 8 kini berada di Laut China Selatan sekaligus mencetuskan ketegangan dengan Amerika Syarikat.

OLEH KU SEMAN KU HUSSAIN

CHINA kelihatan lebih tegas berdepan dengan provokasi Amerika Syarikat (AS). Kedua-dua kuasa besar ini sentiasa berdepan dengan hubungan diplomatik yang pasang surut.  Malah sentiasa tegang dalam isu perebutan hak terhadap  Laut China Selatan,  laluan laut yang paling sibuk di dunia.

China dan AS mendakwa mempunyai hak terhadap Laut China Selatan kerana kedudukan yang strategik sebagai laluan perdagangan dan hasil bumi.  China yang terletak kira-kira 2,000 batu nautika dari Laut China Selatan tetap mendakwa hak dari segi sejarahnya pada abad ke 15.

Bagaimanapun dakwaan China ini bertentangan dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa–Bangsa Bersatu Mengenai Undang–Undang Laut 1982 (1982 United Nations Convention on the Law of the Sea – 1982 UNCLOS). 

Konvensyen ini antara lain menggariskan sesebuah negara hanya boleh memiliki kawasan laut sejauh 200 batu nautika (Exclusive Economic Zone) dari perairan negara.

Spratly Island misalnya sebelum ini adalah gugusan pulau-pulau kecil yang tidak mempunyai penghuni. Bagaimanapun telah diceroboh oleh China dan membina tujuh pusat ketenteraan yang dipanggil The Cabbage Strategy bertujuan melindungi kawasan tersebut. Hakikatnya pulau-pulau itu bukan milik China.

Kapal Pengawal Pantai China di Laut China Selatan.

AS pula mahu menguasai Laut China Selatan untuk mengimbangi kuasa dagang China. Ini kerana satu pertiga daripada perdagangan perkapalan dunia  atau AS$3.37 trilion  perdagangan antarabangsa dibawa melalui Laut China Selatan. Selain hasil bumi, Laut China Selatan juga sangat strategik sebagai pangkalan ketenteraan dan mempunyai hasil perikanan yang tinggi.

China melancarkan provokasi apabila menghantar kapal penyerang Haiyang Dizhi 8. Kehadiran kapal ini bersama sepuluh kapal peronda Pengawal Pantai China (CCG) telah mengganggu dan mengancam kegiatan penggalian minyak dan gas oleh kapal Eksplorasi dan Penggalian West Capella yang disewa Petronas.

AS menyahut provokasi China apabila menghantar kapal penyerang, Amfibia (LHA) milik  tentera laut AS ke Laut China Selatan. Kapal itu dikatakan berada pada kedudukan 100 batu nautika dengan kapal yang disewa Petronas.  AS telah menghantar isyarat kepada China dan keadaan kini sangat tegang. 

Kedua-dua kuasa besar tidak mungkin bertolak ansur lagi. Laut China Selatan adalah kuasa dan kekayaan.  Kerana itu dua kuasa besar itu tidak mempedulikan semua undang-undang antarabangsa yang menghalang mereka memiliki Laut China Selatan.

Kapal perang tentera laut Amerika Syarikat juga berada di Laut China Selatan.

Selain menjadi laluan perdagangan kapal  yang bernilai AS$3.37 trilion,  Laut China Selatan menjadi laluan 80 peratus import minyak China melalui Selat Melaka dan Indonesia. Bayangkan kalau Laut China Selatan jatuh ke tangan AS.  China bukan sahaja kalah dalam pertarungan geopolitik tetapi  terpaksa membayar cukai untuk menggunakan Laut China Selatan.

Pihak berkuasa tenaga AS  menganggarkan Laut China Selatan menyimpan sekurang-kurang 11 bilion tong minyak dan 190 trilion meter cubic gas asli. Malah ada anggaran lain mencatatkan jauh lebih banyak daripada itu. Semua ini membuatkan masing-masing berebut menguasai kawasan tersebut.

Laut China Selatan juga mempunyai 10 peratus hasil perikanan dunia yang boleh menampung  permintaan makanan beratus juta manusia.

Ketika seluruh dunia bergelut dengan wabak Covid-19,  AS dan China terus ‘berperang’.  Tidak lama dulu Presiden AS, Donald Trump menyebut Covid-19 sebagai ‘virus China’.  Baru-baru ini ketika AS menjadi negara paling teruk diserang Covid-19,  Trump menyalahkan China kerana didakwa menyembungikan fakta wabak tersebut.

Ketegangan sudah mencapai tahap yang sangat membimbangan negara-negara yang berperairan dengan  Laut China Selatan. Malah ini satu isyarat berlakunya perang yang mengundang kerosakan yang besar  dan Laut China Selatan menjadi medan tempur  ‘perang dunia ketiga.’

Kenapa AS bersungguh-sungguh mahu menguasai Laut China Selatan dan sanggup berperang?  Dari segi geopolitik,  Laut China Selatan sangat strategik oleh  AS untuk kepentingan pertahanan dan ekonomi. Ini kerana  bimbang China akan mengatasi kuasa mereka dalam ekonomi dunia.

AS juga sedang berdepan dengan krisis ekonomi di mana nilai Dolar semakin menurun. Harga minyak West Texas Intermediate (WTI) menjunam di paras  negatif menyebabkan pendapatan negara turut menjunam. Kadar pengangguran tinggi – lebih 22 juta orang. Dijangka mencecah 44 juta sekiranya wabak Covid-19  tidak dapat dikawal.

Dengan pemimpin yang terkenal dengan sikap terburu-buru, cepat melatah dan tidak fikir jauh mengenai kesan geopolitik seperti Trump , tentunya sangat membimbangkan. Lihat sahaja bagaimana dia berdepan Covid-19 di negaranya. Trump boleh sahaja mengarahkan tindak balas berperang hanya dengan satu hantaran Twitter saja.

Kesan yang paling buruk adalah kepada negara-negara di wilayah sebelah sini – Malaysia, Vietnam,  Thailand, Taiwan serta Brunei berperairan dengan Laut China Selatan. – kuseman.com

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *