Masyarakat memerlukan media yang bertanggungjawab, bukan bebas yang mutlak. (Gambar South China Morning Post)

OLEH KU SEMAN KU HUSSAIN

PERANAN dan tanggungjawab media di negara ini tidak boleh diukur dengan Indeks Kebebasan Media Sedunia (Press Freedom Index – PFI). Skop dan definisi ‘kebebasan media’ bagi Reporters Without Borders berbeza dengan tuntutan masyarakat di negara ini. Malah indeks itu tidak memberikan gambaran yang sebenar di negara ini.

Media di negara ini memerlukan ruang untuk menjadi mata dan telinga masyarakat tetapi tidak memerlukan kebebasan yang mutlak. Kebebasan media mesti selari dengan tuntutan Islam biarpun Reporters Without Borders tidak mengiktiraf kebebasan itu.

Ini kerana kebebasan yang menjadi ukuran Barat memberi ruang kepada semua pihak termasuk melanggar perkara-perkara teras negara ini – agama Islam, orang Melayu dan Raja-Raja Melayu. Ini kebebasan yang tidak bertanggungjawab.

Untuk mencapai kedudukan yang lebih tinggi,  media di Malaysia mesti bebas mengangkat kehidupan sosial termasuk yang bertentangan dengan Islam, mesti dibolehkan mempersoalkan kedudukan orang Melayu dalam dan Raja-Raja Melayu dalam Perlembagaan malah Perlembagaan sekalipun.

Adakah kita bersedia korbankan perkara-perkara teras itu hanya untuk mencatatkan kedudukan tinggi pada PFI? Mendapat kedudukan tinggi bukan percuma. Ia mesti dibayar. Caranya dengan memberi kebebasan termasuk mempromosi dan memperjuangkan gaya hidup bertentangan dengan norma Islam dan nilai tempatan.

PFI ini sama dengan perjuangan hak asasi manusia daripada kacamata Barat. Kedua-dua ini tidak lebih eksploitasi dan manipulasi untuk kelihatan meraikan kebebasan bersuara. Tetapi di sebaliknya ada perkara-perkara penting yang diperjuangkan antaranya mempromosi kehidupan sosial yang tiada sempadan.

Mereka memperjuangkan hak asasi golongan yang rosak moral seperti Lesbians Gay Biseksual dan Trangender (LGBT).  Ini sama dengan melindungi perosak masyarakat apabila mendakwa golongan itu ada hak untuk bebas berekspresi. Tetapi masa yang sama tidak pertahankan hak asasi golongan yang menolak LGBT yang merosakkan kehidupan mereka.

Kebebasan sahaja mewujudkan lebih banyak kepincangan dalam masyarakat.  Media tidak memerlukan kebebasan, cukup dengan tanggungjawab. Dengan bertanggungjawab media boleh mengecapi kebebasan yang sebenar.  Tidak ada kebebasan adalah tidak boleh melaksanakan tanggungjawab, bukan bebas yang tidak bersyarat.

Kebebasan media cara Barat tidak sesuai di negara ini (Gambar hiasan)

Semalam (3 Mei) adalah Hari Kebebasan Akhbar Sedunia. Serentak dengan itu Reporters Without Borders mengeluarkan PFI yang menyaksikan kebebasan media di Malaysia semakin baik. Daripada 180 negara dalam senarai, Malaysia di tangga 101 – naik 22 anak tangga berbanding tahun 2019.

Angka-angka ini membuatkan sesetengah pihak melompat gembira, kononnya Malaysia semakin baik tanda aras kebebasan media.  Malah  mengundang banyak penganalisis yang melihat perubahan angka ini sebagai satu  yang ‘luar biasa’. Satu sinar baru, kata mereka.

Sebenarnya indeks ini tidak lebih percaturan geopolitik  Barat terhadap negara-negara yang menjadi sasaran.  Walaupun Reporters Without Borders mendakwa tidak mewakili mana-mana pihak tetapi ternyata tidak bebas. Tidak boleh sebagai pembaris untuk mengukur  peranan media, terutama di negara ini.

Tidak perlu teruja menganggap Malaysia terbaik dalam kalangan negara ASEAN walaupun Indonesia hanya di tangga 119, Filipina (136), Myamnar (139), Thailand (140), Cambodia (144), Brunei (152), Singapura (158), Laos (172) and Vietnam (178).

Advertisement

Jangan tersihir dengan angka-angka ini.

Ini kejayaan pihak tertentu ‘membebaskan’ media di Malaysia mengikut acuan mereka. Analisis kebebasan media di Malaysia di laman web PFI menggunakan ungkapan, ‘fresh air’. Ini untuk menggambarkan ruang kebebasan yang dinikmati oleh pengamal media di negara ini.

Malah mengaitkan secara langsung ‘fresh air’ ini selepas tumbangnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam PRU 14. Analisis yang memihak pada ideologi parti tertentu dalam Pakatan Harapan. Indek tahun depan mungkin merudum, dasar-dasar yang menjurus Melayu Islam kerajaan sekarang dianggap tidak ‘bebas’ media.

Pakatan Harapan (yang telah ditumbangkan)  menjanjikan kebebasan media sewaktu kempen pilihan raya. Pencabulan kebebasan media dilihat bertolak daripada isu kontroversi syarikat pelaburan 1MDB  dan misteri derma RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Najib Razak.

Memang benar media (terutama media bawah kawalan kerajaan) berdepan kekangan untuk melaporkan mengenai  kedua-dua  isu berkenaan. Hal ini tidak dinafikan. Walaupun demikian,  kita tidak boleh menjadikan kedua-dua perkara ini sebagai asas untuk menerima konsep kebebasan media cara Barat yang lebih banyak merosakkan.

Tanpa analisis PFI pun kita dapat melihat ‘kebebasan’ media yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan semasa 22 bulan menjadi kerajaan. Sangat bebas. Tetapi bukan kebebasan begini yang masyarakat mahukan terutama dalam konteks Islam sebagai agama Persekutuan. ‘Kebebasan’ yang dijanjikan telah meredah garis-garis yang sepatutnya.

Perubahan lanskap politik pasca pilihan raya telah membuka pintu kepada laporan yang menjurus liberal dan sekular diarusperdanakan oleh media tertentu. Banyak serangan liberalis dan sekularis terhadap institusi Islam, Melayu dan Raja-Raja Melayu. Kemudian diarusperdanakan. Lihat, apa yang telah dikorbankan.

‘Kebebasan’ media memberi ruang  kepada pihak tertentu mempersoalkan pelajar-pelajar Islam berdoa sebelum mula kelas, seolah-olah menganggu agama lain. Kemudian mempromosi suara dan gerakan yang menjurus pemupukan liberalisme dan sekularisme. Media bebas memetik ‘fatwa-fatwa’ longkang oleh sekularis dan liberalis lalu diarusperdanakan.

Misalnya penyakit sosial seks songsang, seks bebas dikatakan hanya dosa peribadi. Apabila dikatakan dosa peribadi, timbullah peranan pejuang hak asasi manusia yang mempertahankan hak setiap individu untuk memilih kehidupan seks mereka.

Memanglah kelihatan banyak kebebasan diberikan kepada media.  Tetapi isunya siapa yang mengaut faedah daripada kebebasan berpihak dan menafikan pihak lain yang berhak?  Inilah kebebasan media yang tidak seiring dengan tanggungjawab. Kebebasan media yang beragenda. – kuseman.com

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

One thought on “Jangan terperdaya dengan indeks kebebasan media”
  1. Setuju dgn YM Ku Seman. Tahniah.Kebebasan dalam apa pun bukan mutlak, ada batasnya. Kebebasan menghina Bangsa, Agama dan Raja mengundang malapetaka, yang pasti akan membawa kpd penyesalan.
    Ramai rakyat USA tak mahu PKP kerana itu adalah hak mereka. Maka ramailah telah mati , termasuk orang yang tidak mahu hak mereka dicabuli, kerana dijangkiti oleh mereka itu. Agama dan Perlembagaan M’sia melarang hubungan seks luar tabii.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *