OLEH KU SEMAN KU HUSSAIN
WALAUPUN etnik Rohingya melarikan diri kerana menyelamatkan dan singgah ke negara ini sejak sekian lama, tetapi secara prinsipnya mereka tidak boleh berterusan di negara ini. Mereka perlu berusaha mencari peluang ke negara ketiga yang boleh memberi pekerjaan seterusnya hak mendapat pendidikan.
Tindakan Malaysia menerima Rohingya yang menjadi mangsa pembersihan etnik tentera Myanmar tidak lebih pertimbangan kemanusiaan. Sama seperti Malaysia menerima pelarian Vietnam suatu ketika dulu dan akhirnya mereka pergi ke negara ketiga.
Statistik terkini menunjukkan 101,000 pelarian Rohingya berada di negara ini. Sepanjang tempuh berkenaan sebanyak 2,061 telah ditempatkan ke negara ketiga oleh Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).
Memang banyak dalam kalangan etnik ini dizalimi, rumah mereka dibakar, tanah dirampas dan mereka dibunuh tanpa sebarang pembelaan walaupun Myamnar mempunyai pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Aung San Suu Kyi. Rohingya terpaksa lari menyelamatkan diri dan negara ini memberi pertolongan.
Tetapi pertolongan ini bukan bermakna boleh terus menetap di negara ini. Mereka perlu proaktif untuk mengubah kehidupan setelah mendapat peluang sementara menetap di negara ini. Mesti merancang kehidupan untuk jangka masa panjang di negara ketiga.
Mereka yang diselamatkan oleh Malaysia adalah dalam kalangan yang sangat bernasib baik. Kaum keluarga yang tidak dapat diselamatkan di negara ini jauh lebih malang. Maka sebaiknya mereka menggunakan peluang untuk tidak leka dengan kesenangan yang baru bermula.
Etnik Rohingya di negara ini tidak boleh berasa selesa dengan peluang yang diberikan oleh kerajaan. Perjalanan dan perjuangan mereka masih jauh. Malaysia bukan negara ketiga dan pertolongan hanya bersifat sementara.
Sepanjang menunggu peluang ke negara ketiga, mereka perlu menyesuaikan diri dengan sosiobudaya negara ini. Tidak boleh membawa sesetengah cara hidup setempat di kampung halaman yang tidak sesuai dengan negara ini terutama di kota besar seperti Kuala Lumpur.
Mereka perlu melantik seorang wakil yang boleh memperjuangkan masa depan dan mencari peluang ke negara ketiga. Wakil ini harus menilai permintaan kaumnya sama ada wajar disuarakan kepada kerajaan atau sebaliknya. Jangan meminta berlebihan kerana Malaysia ada warganya.
Mereka perlu menerima hakikat bahawa rakan-rakan yang melarikan diri ke Indonesia, kini hampir semuanya telah ditempatkan di negara ketiga. Hampir tidak ada lagi pelarian Rohingya di Indonesia. Mereka meneruskan kehidupan di negara seperti Amerika Syarikat (AS), Kanada, Australia dan Sweden.
Kalau yang belum mendapat peluang ke negara ketiga, mereka diberi kawasan petempatan khas dan tidak bebas keluar seperti di Malaysia. Tetapi di Malaysia mereka diberi kebebasan yang melampau hingga boleh berniaga dan ‘menguasai’ Pasar Borong Selayang.
Hal yang demikian mencetuskan keadaan kurang senang dalam kalangan warga tempatan. Terbukti mereka tidak dapat menyesuaikan diri di Malaysia. Kalau ini gagal lakukan, mereka akan melalui sukar yang berganda untuk hidup di negara ketiga yang berbeza sama sekali di segi agama dan budaya.
Bagaimanapun hal-hal yang disebutkan di atas tidak mewajarkan dalam kalangan kita menyebarkan kebencian yang melampau terhadap Rohingya. Kita tidak boleh hilang nilai susila dan pekerti berdepan dengan tingkah laku Rohingya yang mungkin tercela.
Ada hantaran dalam Facebook menulis, “Elok ditenggelamkan sahaja di laut dari menyusahkan,” atau lebih kurang bunyinya “Patut dibakar hidup-hidup dan dibuang ke laut.” Kata-kata kebencian ini bercanggah dengan nilai-nilai yang seharusnya dibina oleh sesama manusia.
Menyalakan kebencian tidak boleh menyelesaikan masalah yang kita hadapi daripada etnik Rohingya. Masalah perlu diselesaikan oleh pandangan yang tidak dibaur sentiman yang berlebihan dan kurang penyelidikan. Biarlah berpada-pada meluahkan kemarahan.
Kata-kata begitu tidak wajar diucapkan oleh kita yang bertamadun. Ia hanya wajar diucapkan oleh tentera Myanmar yang menyembelih etnik Rohingya. Mereka telah hilang rasa kemanusiaan. Maka, jangan menyamakan kita dengan mereka dengan cara bersederhana dan tidak terlampau membenci. – kuseman.com