Ustaz Azhar Idrus (Faiz Anuar – Harian Metro)

OLEH KU SEMAN KU HUSSAIN

JAWAPAN penceramah Ustaz Azhar Idrus pada pertanyaan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri,  Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sekiranya beliau menjadi Menteri  Agama, sangat menarik dan penuh makna.  Walaupun jawapannya kelihatan seolah-olah bergurau tetapi maksudnya sangat dalam.

Kata Ustaz Azhar,  kalau menjadi Menteri Agama, beliau akan menggunakan kuasa yang ada (bukan menyalahgunakan kuasa) untuk menaikkan syiar Islam.  Jawapan ini memang nampak mudah dan ringkas tetapi itulah yang dikehendaki oleh warga terhadap menteri yang memegang portfolio agama Islam di negara ini.

“Kalau saya menteri agama, saya akan menggunakan kuasa apa yang ada pada saya supaya agama Allah itu naik. Bila agama Allah itu naik, orang bukan Islam pun dapat tumpang nikmatnya,” jawab Ustaz Azhar dalam satu sidang video dengan Dr Zulkifli.

Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (Gambar Bernama)

Sebenarnya video ini sudah lama menjadi viral dalam kalangan masyarakat. Sesetengahnya suka dengan jawapan Ustaz Azhar yang penuh jenaka dan nampak sangat harmoni apabila menteri hal ehwal agama bertanyakan soalan kepada penceramah popular.

Bagaimanapun di sebalik itu ada isu yang besar telah dijawab oleh Ustaz Azhar iaitu kedudukan orang bukan Islam apabila Islam maju dan syiar Islam berada di tahap yang tinggi. Beliau menekankan dalam Islam tidak ada penindasan terhadap bukan Islam seperti persepsi sesetengah pihak.

Apabila Islam maju, orang bukan Islam turut menikmati manfaat daripada kemajuan yang dicapai oleh umat Islam. Jawapan Ustaz Azhar telah mencantas persepsi yang sengaja dimainkan oleh pihak tertentu untuk mewujudkan ketegangan antara kaum dan agama.

Advertisement

Persepsi  begini membuatkan kalangan bukan Islam bimbang dan takut dengan kemajuan yang dicapai oleh orang Islam. Mereka sebenarnya telah menjadi mangsa oportunis yang mencetuskan persepsi buruk terhadap Islam.  Ustaz Azhar telah memberikan satu pencerahan yang sangat berguna.

Beza orang yang berilmu dengan yang tidak, ialah isi percakapannya. Orang berilmu; walaupun dalam keadaan santai dan jenaka, kata-kata yang keluar bagai mutiara.  Jenaka orang berilmu seperti Ustaz Azhar adalah cara beliau menyampaikan pesanan.

Perkara yang disebutkan oleh Ustaz Azhar adalah konsep Rahmatan Lil Alamin yang sebenarnya. Dalam Rahmatan Lil Alamin,  orang Islam digerak untuk mencapai kemajuan dan syiar Islam tinggi menggapai awan, pada masa yang sama menjaga kepentingan orang bukan Islam.

Kalau mengikut impian Ustaz Azhar,  menteri agama mesti meninggikan syiar Islam.  Maka sepatutnya menteri hal ehwal agama mengutamakan kemajuan dan syiar Islam, sementara bukan Islam tidak dipinggirkan dan jauh sekali ditindas.

Sekiranya syiar Islam tinggi, tidak adalah peluang dan ruang untuk aktivis liberalisme mempromosikan gaya hidup bertentangan dengan Islam – misalnya Lesbian Gay Biseksual Trangender (LGBT).  Menentang kerosakan sosial yang dibawa oleh LGBT bukan satu penentangan terhadap bukan Islam. – kuseman.com

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *