Nurul Ain menunjukkan cara menyiang ikan bersaiz besar di Pasar Borong Selangor. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Di sebalik puluhan peniaga ikan di Pasar Borong Selangor, gelagat seorang wanita bertudung dan berbaju hitam yang sibuk menjalankan tugasnya menyiang ikan, pasti menarik perhatian pengunjung.

Wanita yang memperkenalkan namanya, Nurul Ain Alias, membersihkan ikan berlonggok di hadapannya, termasuk jenahak dan siakap, ada seberat 3 kilogram (kg).

“Menyiang ikan bukan mudah, kena ada kemahiran. Kalau salah sikit, rosak ikan. Ikan kecil seperti kembung dan cencaru tak ada masalah, tetapi yang besar perlu ada teknik,” kata Nurul Ain.

Penampilan wanita ini begitu bergaya membuatkan dirinya dikenali ramai sebagai ‘model’ Pasar Borong Selangor.

Setiap hari ke pasar, tidak lengkap tanpa gincu berwarna merah terang dan solekan nipis, manakala pemakaian tudung mengikut fesyen terkini serta lengkap dengan anting-anting panjang.

Cara pemakaiannya seperti hendak ke pejabat, bukan bekerja di pasar. Hampir setahun menjadi peniaga ikan di pasar borong yang terletak di Pusat Bandar Putra Permai, iaitu kira-kira 30 minit dari ibu kota, ibu kepada empat anak berusia antara dua hingga sembilan tahun ini, boleh dianggap sebagai ‘penyeri’ kepada pasar berkenaan.

 “Saya memang tidak boleh pakai kemeja-T, seluar jeans dan tudung sarung saja. Saya nak jaga juga penampilan. Memang mula-mula dulu, ramai rakan niaga dan pembeli agak terkejut dengan cara saya ini,” kata Nurul Ain ketika ditemui di Pasar Borong Selangor, baru-baru ini.

Setiap malam, Nurul Ain, 36, akan menyediakan pakaian yang akan dipakai keesokan harinya.

Baju, seluar panjang dan tudung siap diseterika terlebih dahulu, malah wanita ini juga mempunyai pelbagai koleksi but getah yang berbeza dengan apa dipakai oleh kebanyakan lelaki di pasar.

Ada berwarna merah jambu, lutsinar, biru cair dan merah dengan pelbagai motif seperti bunga, abstrak, geometri serta karakter kartun menjadi pilihan untuk digayakan anak kelahiran Kuala Lumpur ini ketika berniaga. 

“Ramai pembeli puji dengan penampilan saya sebagai peniaga wanita penjual ikan. Malah, ada yang nak belajar cara pemakaian tudung yang saya gayakan.

“Sebenarnya, saya sudah biasa dengan penampilan kemas. Dulu, saya bekerja dalam bidang korporat dan apa yang saya pakai ini adalah seperti ke pejabat cuma tidak pakai kasut tumit tinggi dan jaket ditukarkan kepada kardigan,” katanya.

Nurul Ain sebenarnya adalah lulusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Perhubungan Awam) di sebuah universiti tempatan dan berpengalaman bekerja dalam pelbagai jenis pekerjaan profesional.

Antaranya, pegawai tadbir di Jabatan Pelajaran selama empat tahun, syarikat swasta sebagai pegawai juga empat tahun. Pada 2016, beliau beralih ke syarikat lain dan menyandang jawatan sebagai pegawai perhubungan awam.

Namun, rezekinya di situ tidak bertahan lama kerana selepas hampir tiga tahun bekerja, syarikatnya berhadapan masalah dan terpaksa memberhentikan sebahagian besar pekerja, termasuknya.

Nurul Ain pernah menjadi pegawai perhubungan awam tetapi kini beralih ke bidang jualan ikan di Pasar Borong Selangor. (Gambar Bernama)
Advertisement
Setiap hari Nurul Ain berpakaian korporat semasa menjual ikan di Pasar Borong Selangor. (Gambar Bernama)

“Saya dapat notis tiga bulan pemberhentian kerja pada Disember 2018. Saya mula cari pelbagai jenis pekerjaan. Ada juga dapat kerja, tetapi jauh dari rumah dan selepas tolak sana-sini hanya berbaki berapa saja.

“Sampailah Mac 2019, saya langsung tidak dapat cari kerja sesuai. Kos sara hidup di Kuala Lumpur tinggi, dengan anak empat lagi. Sebagai isteri, saya juga perlu membantu suami.

“Akhirnya, abah tawarkan saya untuk jaga tapak perniagaannya di Pasar Borong Selangor. Abah sudah buat bisnes jual ikan sejak 20 tahun lepas dan mempunyai dua tapak perniagaan iaitu satu di sini (Pasar Borong Selangor) dan satu lagi di Selayang,” katanya.

Anak kedua daripada empat beradik ini, berkata ayahnya mengesyorkannya untuk berniaga di pasar berkenaan kerana masa pekerjaannya sama seperti waktu pejabat, iaitu beroperasi pada jam 7 pagi dan habis pada 1 tengah hari, sesuai untuk menguruskan anaknya.

Kata Nurul Ain, meskipun tidak pernah terlintas dalam fikirannya akan melakukan kerja seperti ayahnya, tidak ada isu malu.

Ketika di bangku sekolah, beliau pernah menjual nasi lemak. Bagaimanapun, Nurul Ain mengakui bahawa menjadi peniaga ikan memerlukan kudrat tinggi.

“Pekerjaan ini renyah dan memerlukan tenaga kuat kerana itu tidak ramai wanita menceburinya. Masa awal-awal memang agak sukar dan hampir putus asa, tetapi apabila mengenangkan anak, saya kuatkan juga semangat.

“Walaupun saya berpakaian cantik dan mempunyai seorang pekerja, saya buat semua kerja. Angkat bekas ikan sebanyak tujuh bekas dan satu bekas beratnya sehingga 50kg, selain turut sama menyiang ikan, iaitu sesuatu yang sukar sebenarnya,” katanya

Katanya, ikan seperti jenahak, merah, siakap laut yang bersaiz besar dengan berat lebih 4kg memerlukan kemahiran tertentu untuk disiang dan kebiasaannya ia akan dilakukan kalangan peniaga lelaki.

Nurul Ain mengakui, hampir putus asa untuk meneruskan pekerjaan sebagai peniaga ikan.

“Kudrat lelaki dan wanita memang berbeza. Jujur saya katakan menyiang ikan besar ini seperti rasa nak ‘berperang’ kerana ia memerlukan sekuat tenaga. Dulu, saya ingatkan menyiang ikan kembung saiz kecil dengan ikan besar sama, rupanya tidak,” katanya.

Walaupun ada kelulusan dan kerja yang dibuatnya sekarang bukan mudah, wanita ini gigih mahu meneruskan bisnes ikannya kerana memudahkannya untuk bersedekah, kebanyakan ikan serta barangan dapur untuk rumah anak yatim di sekitar kawasan Lembah Klang.

“Banyak juga rumah anak yatim yang saya hulurkan sedekah, sama ada saya hantar sendiri ataupun mereka datang ke mari.

“Saya bersyukur kerana menjual ikan memberi saya banyak peluang membantu mereka yang memerlukan berbanding dahulu,” katanya. – BERNAMA

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *