OLEH DR MAHADI J MURAT

APABILA Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan, yang bertujuan membingkas semula sektor ekonomi daripada terus dimangsakan  pandemik Covid-19, maka akan rancaklah semula kegiatan berkaitan ekonomi, dan sektor pekerjaan negara.  

Walaupun begitu, sedihnya,  bidang ekonomi yang berkaitan nampaknya tidak termasuk sektor utama industri kandungan digital, iaitu penerbitan filem, dan pemameran di pawagam.  

Pawagam, walaupun tak selalu dikaitkan dengan gembar-gembur orang filem, namun ia adalah teras utama kepada survival, dan kelestarian industri keseluruhannya. 

Berdasarkan pengumuman Perdana Menteri pada Hari Pekerja, Jumaat lepas,  pawagam dan aktiviti berkaitan perfileman nampaknya terus termasuk di dalam kumpulan yang bidangnya tidak sesuai dibebaskan lagi, untuk entah beberapa lama yang sukar ditelah tempohnya. 

Panggung maya sebagai alternatif terbaik menggantikan panggung konvensional pada masa pasca Covid-19 untuk mengelakkan berada pada jarak yang dekat.

Ini, sebenarnya sangat menggusarkan, menakutkan semua pihak, dan pemegang taruh, khususnya golongan karyawan, dan pekerja yang mendokong industri ini.  

Dalam kalangan penerbit, karyawan dan pekerja bidang ini sebagai golongan yang ‘berfikiran waras dan profesional disiplinnya’  memahami,  mengapa sektor ini masih tidak dapat dilepaskan.  Buktinya, setakat ini tak ada sesiapa yang membuat bising, atau membantah apa-apa.  

Dalam apa-apa keadaan yang berlaku dalam dunia ini, lumrahnya di sebalik semua halangan, keburukan dan kekangan, tersembunyi kebaikan, ruang, atau peluang yang baik. Begitu juga dengan musibah dari pandemik Covid-19.

Kerana pawagam dan kepenontonan, merupakan halangan bagi semua kegiatan dalam bidang perfileman dilangsungkan kini, nampaknya ada keperluan untuk satu langkah alternatif bagi mengatasi perkara ini dicari, dipertimbangkan.

Antara langkah yang boleh diambil, barangkali, ialah  dengan mewujudkan sebuah pawagam maya, atau virtual cinema yang menggunakan konsep penyiaran IP & internet streaming (SD, HD & UHD), seperti yang digunakan Netflix, sebagai contoh.

Pawagam maya yang mungkin diberi nama Panggung Malaysia ini boleh direalisasikan melalui kolaborasi menang-menang  antara RTM, Unify TV, Finas dan SKMM. Ia mungkin dikendalikan oleh RTM sebagai satu saluran TV tambahan. 

Tayangan filem Panggung Malaysia boleh dibuat melalui streaming di Unify TV, ditonton melalui konsep langganan pay per-view, atau video on demand, langganan bulanan, atau lain-lain. 

Rasionalnya RTM sendiri boleh mengendalikan promosi filem-filem yang ditayangkan –  menyiarkan iklan, trailer,  teasers, video muzik, tayangan ‘the making’, talk shows atau kuiz, melalui saluran-saluran televisyen dan radio di bawahnya. Pakej promosi ini sangat penting, kerana ia akan menentukan tahap respons dan kesanggupan penonton melanggan. 

Kaedah ini adalah lebih baik daripada filem-filem hanya ditayangkan di pawagam konvensional, yang pada kebiasaannya, hanya dalam kalangan syarikat konglomerat, dan pengeluar establish sahaja mampu melayan kerenahnya.

Advertisement

Sebagai tambahan, SKMM juga boleh mengambil bahagian dengan membantu menyediakan ‘MCMC Ad’ seperti yang dibuat  google commercial,  yang mencelahkan iklan pelanggan mereka di kebanyakan web page yang dilayari di Malaysia. Iklan yang sampai kepada semua pelanggan Internet dalam pelbagai platform, pasti akan meningkatkan jangkauan (penetrations) kandungan kepada orang ramai.

Dengan begitu apresiasi terhadap filem dan karya Malaysia akan dapat ditingkat dan dipopularkan lagi, lebih-lebih lagi untuk filem yang mendokong konsep sinema nasional.

Langkah mewujudkan virtual cinema ini adalah langkah ke hadapan yang perlu dimulai dari sekarang, di bawah naungan kerajaan. Ia adalah mode baharu pemameran filem dunia yang sedang berkembang, yang pada akhirnya akan turut melibatkan cinema hall pawagam konvensional, di merata tempat. Pawagam masa hadapan adalah pawagam yang menayangkan filem-filem di skrin besar mereka melalui Internet streaming dari provider di sesuatu stesen. 

Dengan tersedianya konsep pawagam maya ini filem-filem tempatan yang telah dijadualkan jawatankuasa Wajib Tayang Finas juga, yang pada masa ini tak dapat diedarkan di pawagam, mungkin boleh diatur penayangannya. Filem-filem ini masih boleh ditayangkan di pawagam konvensional kelak, apabila sekatan ke pawagam ditarik balik.

Selain daripada menyiarkan filem-filem cereka untuk dilanggani, RTM juga boleh memanjangkan, atau menambah jumlah jam slot drama TV bersiri dan lain-lain untuk dibekalkan oleh penerbit tempatan kepada pawagan maya ini.   

Dengan begitu RTM juga mendapat program TV yang lebih baik, yang punya nilai pasaran, dan boleh menjana pendapatan yang tidak sedikit untuk kerajaan. 

Begitu juga dengan faedah dan kesan yang boleh diraih Finas daripada Dana  Kandungan Digital (DKD) yang dikeluarkan, bagi membiayai produks kandungan digital dan filem tempatan. 

Melalui projek perintis yang dimulai dalam tempoh PKPB, walau pun sedikit, data-data penting boleh dikumpulkan untuk perancangan dan pembangunan masa hadapan yang sustainable, lebih kompetatif dan mampan. – kuseman.com

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *