OLEH DR HASHIM YAACOB

ALMUKARAM Ayahanda Tun Mahathir Mohamad dengan segala hormat dan takzim.

Assalamualaikum,

Saya dengan rendah hati mohon izin YAB Tun untuk membahasakan diri saya sebagai anakanda dan Tun sebagai ayahanda. Arwah ayah saya sekiranya masih bersama, kini sudah mencapai usia 98 tahun, sedikit lebih berusia daripada ayahanda Tun.

Saya pula telah berusia 70 tahun. Tambahan lagi, Tun adalah seorang negarawan ulung, tiada tandingan, disegani dan dihormati seantero dunia.

Maka akan menjadi kebanggaan saya yang tidak tertaralah jika ayahanda Tun mengizinkan saya membahasakan Tun sebagai ayahanda. Saya mohon izin.

Tidaklah penting kalaupun ayahanda Tun tidak mengenali diri anakanda, asalkan ayahanda Tun sudi membaca surat anakanda ini.

Anakanda ada membaca bahawa ayahanda Tun tidak berhasrat untuk duduk bersama barisan Kerajaan apabila Parlimen bersidang nanti, tetapi akan memilih untuk duduk bersama barisan pembangkang.

Dan lagi, ayahanda akan membawa usul tidak percaya terhadap YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri. Benarkah apa yang anakanda baca itu ayahanda Tun?

Dalam fikrian anakanda, tindakan ayahanda Tun elok difikirkan semula. Ayahanda Tun adalah Penasihat kepada parti Bersatu yang memerintah negara kita. 

Kalau ayahanda Tun berbuat demikian nanti, maka akan menjadi jelaslah kepada rakyat bahawa parti Bersatu yang telah ayahanda Tun tubuhkan dengan susah payah, sudah berpecah kepada entah berapa puak.

Bukan senang untuk anakanda menulis surat terbuka seperti ini. Oleh kerana anakanda sayangkan ayahanda Tun, dan juga kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin serta negara kita, yang perjuangannya belum selesai, maka anakanda memberanikan diri menulis juga.

Walaupun anakanda pernah mengutus surat yang tidak penting kepada ayahanda sebanyak lapan kali sewaktu ayahanda Tun menjadi Perdana Menteri kerajaan PH dulu, dan ayahanda Tun tidak sekali pun membalasnya. Itu tidak mengapa, kerana yang pernah anakanda tulis itu hanyalah hanyalah bersifat peribadi sahaja.

Maka itu, anakanda memilih cara ini untuk menyampaikan hasrat. Surat yang anakanda tulis ini adalah penting untuk sampai ke tangan ayahanda Tun, supaya dapat ayahanda membuat pertimbangan. Kalau baik, sudilah ayahanda Tun pertimbangkan.

Anakanda dapat merasakan bahawa ada kemarahan dalam diri ayahanda Tun kepada peristiwa yang telah berlaku kebelakangan ini, juga kepada orang- orang tertentu.

Semua manusia tidak boleh lari daripada mempunyai sifat amarah ke atas sesuatu yang dirasakan tidak adil dilakukan ke atas mereka. Tetapi ayahanda Tun, Allah S.W.T  telah memberikan hambanya sifat pemaaf, yang boleh mendamaikan jiwa dan raga.

Anakanda teringatkan Firman Allah S.W.T pada Surah Ali Imran ayat 133-134: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapatkan) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa, iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik…”

Maka dengan rendah hati, anakanda memohon ayahanda Tun supaya menimbang semula akan dua hasrat ayahanda terdahulu. Ayahanda Tun duduklah bersama barisan parti Bersatu, iaitu parti ayahanda Tun sendiri.

Ayahanda pertimbangkanlah untuk menarik balik usul tidak percaya kepada PM YAB Muhyiddin Yassin di Parlimen.

YAB Tan Sri Muhyiddin itu orang kuat ayahanda sendiri, sama-sama berjuang sekuat daya, sehati sejiwa, banyak berkorban demi untuk membawa kebenaran kepada negara. Dengan izin Allah gandingan ayahanda berdua telah memperoleh kemenangan.

YAB Muhyiddin pula sedang bertungkus lumus mencuba menyelamatkan negara akibat landaan Covid 19 yang tiada tara kejamnya, membuatkan rakyat menderita sakit dan ekonomi merudum.

Perjuangan kita belum selesai, ayahanda. Berilah peluang, dan bantulah YAB Tan Sri Muhyiddin untuk menangani krisis negara kita ini dengan hati yang tenteram.

Sekian, setinggi salam kasih, dan berbanyak maaf jua anakanda pohonkan sekiranya surat anakansa ini tidak menyenangkan hati ayahanda Tun. Daripada anakanda Hashim Bin Yaacob. – BebasNews

  • PROFESOR EMERITUS  DATUK DR HASHIM YAACOB adalah bekas Naib Canselor Universiti Malaya.
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *