OLEH PROFF EMERITUS DR HASHIM YAACOB dan ADI SUKMA
KEMUNCULAN wabak Covid-19 telah mengubah gaya hidup dan kebiasaan lama kita dalam menjalankan kehidupan harian. Kini kita terpaksa menjalani kehidupan dengan cara kebiasaan baharu.
Gaya hidup baharu ini hendaklah diamalkan entah sampai bila kerana virus Covid-19 ini akan berada bersama kita entah sampai bila. Amalkan dengan sepenuh hati kerana kita tidak ada pilihan lagi.
Oleh kerana kebiasaan baharu membabitkan banyak perubahan kepada cara kita menjalani kehidupan lama, maka ada yang berasa kekok, dan mungkin tidak suka untuk berubah melakukan sepenuhnya.
Tetapi yakinlah, kalau kita terpaksa melakukanya, kita akan melakukanya juga demi untuk kebaikan. Sekarang pun, kita sudah hampir bulan mengamalkan kebiasaan baharu dalam kehidupan kita.
Boleh jadi kita tidak suka dengan kebiasaan baharu ini, kerana tidak biasa dengannya. Tetapi lama kelamaan, kita akan menerimanya juga, terutama bila telah melihat kebaikan yang dibawanya.
Apa yang kita tidak menyukai tidak semestinya tidak baik bagi kita, dan sebaliknya. Dulu kita diberitahu bagaimana pemakaian tudung kepala tidak disenangi oleh sejumlah wanita Islam.
Tetapi apabila kebaikanlah yang diperoleh daripada pemakaian tudung, maka pada hari ini sudah menjadi sesuatu yang diterima luas.
Firman Allah SWT (Al Baqarah 216) : “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu. Boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui apa yang baik bagimu, sedang kamu tidak mengetahui.”
Kami percaya bahawa kebiasaan baharu yang pada waktu ini payah untuk diterima ramai, sebenarnya adalah baik untuk kita.
Tidak perlulah kita berasa kehilangan kebiasaan lama itu, apatah lagi bersedih. Kita meninggalkan sesuatu yang lama untuk menggantikan dengan yang lebih baik.
Tidak ada yang kekal bagi manusia, termasuklah nyawa . Yang kekal adalah kepunyaan Allah SWT( An Nahl): “Apa yang ada pada kamu akan habis dan hilang lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal....”. Begitulah juga halnya dengan kebiasaan lama kita.
Lalu apakah akan kita lakukan dalam kebiasaan baharu ini? Kekalkan yang baik dan sesuai, buangkan yang buruk dan yang membahayakan.
Kita tidak boleh lagi berdekatan dengan orang yang tidak dikenali, atau berada di majlis yang bersesak. Kita perlu sentiasa menjaga kebersihan diri seperti sering membasuh tangan, mencuci alat yang kerap disentuh dengan sabun atau sanitizer; dan memakai penutup mulut dan hidung apabila keluar rumah.
Di pejabat, kedudukan staf hendaklah berjarak satu meter; mesyuarat secara bersemuka dikurangkan, dan digalakkan diadakan secara dalam talian melalui teknologi digital.
Kerja di rumah dan bukan di pejabat untuk beberapa hari seminggu,dan bekerja di pejabat mengikut giliran waktu yang berbeza bagi mengecilkan bilangan pertembungan manusia pada sesuatu masa.
Sekolah dan pejabat diwajib mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) yang berkesan bagi memastikan ruang pejabat dan bilik darjah tidak dicemari oleh virus Covid-19. Suhu badan hendaklah diperiksa sebelum memasuki ruang.
Konsultasi perubatan boleh dibuat secara dalam talian sekiranya tidak membabitkan pemeriksaan dan rawatan yang memerlukan kehadiran pesakit di klinik.
Ada kemungkinan negara kita berdepan dengan masalah kewangan kerana kekangan-kekangan yang di sebutkan itu. Tetapi keadaan ini tidak akan berkekalan. Rakyat tidak mampu lagi untuk berbelanja dengan mewah dan membazir, dan tidak sering keluar rumah kecuali ada urusan penting.
Tentu sekali, dengan kebiasaan baharu ini yang membawa bermacam kerumitan, akan membuat rakyat merasa resah. Walaupun begitu, perasaan ini akan hilang apabila ia sudah menjadi kebiasaan setelah diamalkan sekian lama. Alah biasa tegak biasa. Kebiasaan baharu akan menjadi kebiasaan.
Covid-19 akan berlalu juga suatu hari nanti. Bila waktunya terpulang kepada tindakan kita dalam memutuskan penularan melalui pengakuran kepada arahan-arahan yang diberikan oleh pihak berkuasa.
Allah SWT telah berfirman bahawa setiap jiwa akan merasakan mati (Ali Imran 185), dan semua yang ada di bumi akan binasa (Ar-Rahman 26 ). Maka virus Covid-19 juga akan musnah mengikut ketetapan hukum ini.
Maka bersabar, dan bertawakallah. Allah SWT mengasihi orang-orang yang bersifat begini. – kuseman.com