Banyak pemimpin politik bertenggek atas isu pendidikan untuk meraih sokongan, tidak kira sama ada pembangkang atau kerajaan.
OLEH DR ANUAR AHMAD

Di MALAYSIA, selain isu agama, isu pendidikan juga adalah bahan yang selalu digunakan oleh ahli politik untuk menimbulkan keresahan dalam masyarakat. Bila saya sebut ‘ahli politik’ saya maksudkan dari semua parti politik. 

Baik parti kerajaan mahupun parti pembangkang. Tidak banyak bezanya antara mereka. Masing masing mencari sokongan dengan melakukan mainan politik pendidikan.

Memadai saya beri dua contoh besar bagaimana pendidikan telah digunakan sebagai alat politik bagi tujuan mendapatkan sokongan atau menimbulkan kebencian pada parti lawan. Banyak contoh ‘kecil’ yang lain seperti isu tulisan Jawi, UEC, biasiswa dan yang lain. Tapi dua contoh besar ini sebaiknya difahami terlebih dahulu.

Pertama…

Seawal tahun 1950, penjajah British sudah memikirkan untuk memberikan kemerdekaan pada Persekutuan Tanah Melayu. Walaupun ketika itu belum ditentukan tarikh kemerdekaan, persiapan ke arah memberikan kemerdekaan telah dilakukan oleh pihak penjajah di London.

Dalam ruang pendidikan, Kerajaan British telah melantik John Barnes (seorang ahli akademik universiti Oxford) untuk merangka Dasar Pendidikan Persekutuan Tanah Melayu sebagai persediaan kemerdekaan. 

John Barnes bersama 12 ahli jawatankuasa yang terdiri wakil Kerajaan British, wakil orang Melayu, wakil Cina dan wakil India akhirnya telah menyediakan kertas cadangan rangka dasar pelajaran yang dinamakan Laporan Pelajaran Barnes (Barnes Report 1950). Harus diingatkan bahawa cadangan pendidikan ini telah mengambilkira pandangan tiga kaum utama di negara ini.

Apa yang menarik dalam Laporan Pelajaran Barnes ialah, jawatankuasa ini telah bersetuju memansuhkan sekolah vernakular Cina dan Tamil. Hanya sekolah Inggeris dan sekolah Melayu sahaja dicadangkan di dalam sistem pendidikan negara ini. 

Sekolah Inggeris juga akan dimansuhkan secara berperingkat. Akhirnya jawatankuasa ini mencadangkan hanya sekolah Melayu sahaja kekal sebagai sistem pendidikan negara ini.

Bayangkan pihak penjajah sendiri pun mahu sekolah vernakular dihapuskan di Tanah Melayu. Sedangkan mereka sangat tahu bahawa orang bukan Melayu adalah penyokong kuat kerajaan British dalam cadangan perlaksanaan Malayan Union 1948 sebelumnya.

Walaupun mereka terhutang budi dengan sokongan bukan Melayu, tetapi mereka sangat sedar kewujudan pelbagai aliran sekolah vernakular bagi sebuah negara baru merdeka akan menimbulkan banyak konflik pada masyarakat.

Akhirnya, cadangan Barnes Report 1950 telah diluluskan oleh kerajaan British untuk dilaksanakan di Tanah Melayu secara berperingkat yang akan ditadbir urus oleh The Central Advisory Committee On Education (CCE) mulai 10 September 1951.

Menariknya, daripada 20 ahli tetap CCE, sembilan orang adalah wakil British, empat orang wakil Melayu, lima orang wakil orang Cina dan dua orang wakil orang India. Maksudnya empat wakil Melayu manakala tujuh orang bukan Melayu.

Banyak peristiwa berkaitan CCE ini. Tetapi apa yang ingin dikata ialah pihak penjajah sendiri pun mahu melaksanakan sistem pendidikan satu aliran di negara ini sejak 1950 lagi. Tetapi cadangan ini tidak berjaya dilaksanakan walaupun telah dikuatkuasa melalui Ordinan Pelajaran 1953.

Mengapa sekolah satu aliran tidak berjaya dilaksanakan sejak 1950? Jawapannya kerana kuatnya mainan politik pendidikan.

Hanya kerana telah mendapat sokongan padu parti MCA dan MIC dalam pilihanraya pertama Persekutuan Tanah Melayu pada 1955, pemimpin UMNO ketika itu telah bersetuju untuk membenarkan sekolah vernakular diteruskan. 

Advertisement

Parti Perikatan berjaya memenangi 51 dari 52 kerusi yang dipertandingkan. Hanya satu kerusi sahaja dimenangi oleh YDP Pas di kerusi Krian. Persetujuan sekolah vernakular diteruskan di Persekutuan Tanah Melayu ini terkandung dalam Laporan Pelajaran Razak 1956.

Maksudnya, walaupun penjajah dengan jelas telah menolak sekolah vernakular, pemimpin UMNO pada tahun 1955 bertindak sebaliknya apabila bersetuju meneruskan sekolah vernakular di negara ini.

Kita selalu sangat mendengar frasa ‘bertolak ansur’ daripada orang politik untuk merasionalkan hal-hal seperti ini dilakukan. Hakikatnya bukanlah tolak ansur tetapi inilah mainan politik pendidikan.

Sepatutnya jika benar benar mahu bertolak ansur, kedua-dua  belah pihak akan saling berkorban. Tetapi sejak merdeka, bila dikatakan bertolak ansur dalam pendidikan, sejarah membuktikan hanya sebelah pihak sahaja yang sering mengalah demi untuk mendapat sokongan.

Misalnya, selain mengalah dalam isu sekolah vernakular, ahli politik UMNO juga bersedia mengalah dalam isu kebenaran laksana UEC pada tahun 1975. Ahli politik Melayu dalam Pakatan Harapan yang juga telah mengalah dalam isu tulisan jawi 2019, membuktikan mainan politik pendidikan benar benar berlaku.

Ternyata mainan politik pendidikan ini bukan sahaja dalam kalangan pimpinan UMNO tetapi juga dalam kalangan pimpinan Melayu Pakatan Harapan.

Contoh kedua mainan politik pendidikan.

Di dalam Perkara 21(2) Akta Pendidikan 1961 mencatatkan “Yang mana pada bila-bila masa Menteri berpuashati bahawa sekolah jenis kebangsaan adalah bersesuaian untuk ditukar kepada sekolah rendah kebangsaan maka dengan perintah arahannya sekolah tersebut bertukar menjadi sekolah kebangsaan.” https://bit.ly/2zKucLi

Maksudnya Menteri Pelajaran mempunyai kuasa penuh untuk menukarkan status sekolah jenis kebangsaan kepada sekolah kebangsaan. Maksudnya, menteri boleh menutup sekolah vernakular.

Tetapi kerana mainan politik, Perkara 21 (2) di dalam Akta Pelajaran 1961 ini telah dimansuhkan di dalam Akta Pendidikan 1996. Berdasarkan Perkara 28 Akta Pendidikan 1996, “Tertakluk kepada peruntukan Akta ini, Menteri boleh menubuhkan sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan dan hendaklah menyenggarakan sekolah-sekolah itu.”  https://bit.ly/362ZHw1

Maksudnya, mulai tahun 1996 Menteri Pendidikan hanya boleh menubuhkan dan menyelenggara sekolah vernakular tetapi tiada lagi kuasa Menteri memansuhkan sekolah vernakular sebagaimana di dalam Akta Pelajaran 1961.

Maka bila ada suara-suara yang cuba mencadangkan agar sekolah vernakular ditutup atau ditukar kepada sekolah kebangsaan, cadangan ini amat berlawanan dengan Akta Pendidikan 1996.

Hakikatnya, berdasarkan Perkara 28 Akta Pendidikan 1996, sekolah vernakular telah mendapat jaminan untuk terus wujud dan kekal sebagai sebahagian sistem pendidikan negara.

Cuba teka siapa Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan yang telah mewujudkan Akta Pendidikan 1996 yang telah memansuhkan kuasa Menteri Pendidikan untuk menutup sekolah vernakular? Cuba teka.

Jadi berhati-hatilah dengan mainan politik pendidikan, sebab telah selalu berlaku ‘telunjuk lurus, kelingking berkait’.  – kuseman.com

  • DR ANUAR AHMAD adalah ahli akademik. Tulisan ini kali pertama disiarkan di Facebook Anuar Ahmad bertajuk, ‘Berhati-hati dengan mainan politik pendidikan‘.
Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *