GABUNGAN Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat Malaysian Alliance of Civil Society Organisations in the UPR Process (MACSA) terpanggil untuk mengulas artikel bertajuk ‘Masa untuk Malaysia mengiktiraf komuniti Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT)’ yang disiarkan oleh Malay Mail Online pada 17 Mei 2020 pada ketika umat Islam sedang menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan bagi mentaati perintah Allah SWT.
Kami mengambil maklum bahawa artikel ini ditulis oleh saudara Bakhtiar Talhah yang turut merupakan ahli eksekutif di Majlis AIDS Malaysia (Malaysian AIDS Council – MAC).
Adalah amat dikesalkan bagi seorang Muslim, beliau menulis suatu artikel yang sarat mempromosi penerimaan gaya hidup LGBT serta juga perkahwinan sejenis yang mana bukan lagi menyentuh tentang topik diskriminasi.
Terdapat beberapa sebab mengapa kita sebagai sebuah masyarakat tidak dapat menerima seruan yang bersifat menyinggung sensitiviti, menyalahi agama dan budaya setempat ini terutama bagi generasi terdahulu yang masih berpegang teguh kepada nilai-nilai keagamaan.
Bagi mereka yang dilahirkan di alaf baru dan sedang mempertimbangkan pernyataan artikel yang menyimpang tersebut sebagai sesuatu yang benar, MACSA merasa wajar untuk kita sama-sama kembali melihat sejarah gerakan LGBT.
Dalam tahun 1987, Perdana Menteri Britain Margaret Thatcher dalam ucapan beliau dalam Persidangan Parti Konservatif di Blackpool menyatakan; “Kanak-kanak yang sepatutnya diajar menghormati nilai-nilai tradisi kini diajar kononnya mereka mempunyai hak mutlak menjadi gay. Kesemua anak-anak ini ditipu seawal mereka memulakan kehidupan. Ya, ditipu.”
Kenyataan yang dibuat oleh seorang ketua negara Barat itu mendapat tepukan gemuruh dan bertepatan pada ketika di mana kes-kes HIV dan AIDS pertama kali dilaporkan dan kaitan rapat kes-kes ini dengan penularan virus melalui aktiviti seksual.
Situasi ini juga turut mendorong Akta Kerajaan Tempatan 1988 digubal ketika itu di Britain, yang melarang promosi homoseksualiti sebagai satu bentuk hubungan kekeluargaan yang diterima.
Kini, tidak sampai 30 tahun kemudian, akta tersebut telah dihapuskan. Promosi gaya hidup LGBT bertapak dalam arus perdana. Selebriti yang kurang dikenali ramai (yang sepatutnya pengaruh kepada masyarakat tidaklah sebesar mana) seperti selebriti sukan ragbi Australia bernama Israel Foulau, ditamatkan karier hanya kerana mengatakan beliau tidak bersetuju dengan LGBT.
Walhal para penganut agama Islam, Kristian dan Yahudi berkongsi nilai yang sama menolak perbuatan seks songsang yang salah di sisi agama. Bagaimana mungkin dunia berubah dengan cepat?
Dalam respon kepada pandemik AIDS dan ketika dunia masih melihat gerakan-gerakan pro LGBT ini melalui kaca mata negatif sekitar era 1980an, Marshall Kirk dan Hunter Marsden, 2 ahli gerakan pro-LGBT menulis sebuah buku dalam tahun 1989 bertajuk ‘After The Ball: How America Will Conquer its Fear and Hatred of Gays in the 90s’.
Mereka menggariskan 6 langkah untuk menormalisasikan homoseksualiti dan mengubah pandangan umum. Langkah-langkah ini termasuk membicarakan topik homoseksualiti dengan lantang dan kerap, menggambarkan pengamal homoseksualiti sebagai mangsa, mencetuskan aura bahawa pengamalan homoseksualiti itu adalah perkara yang betul, membawa karakter homoseksual dalam media massa dengan menggambarkan mereka sebagai “cool” dan sofistikated manakala, mereka yang menolak gaya hidup ini digambarkan sebagai karakter yang bermasalah, ekstremis, pentaksub yang tidak berhemah, tidak bertoleransi serta bodoh.
Akhir sekali, langkah normalisasi ini turut melibatkan kemudahan dana, pengecualian cukai dan tajaan dana korporat bagi badan-badan yang menyokong homoseksualiti secara terbuka.
Rancangan 6 langkah ini dilaksanakan dengan agresif dalam era 1990-an, juga sebagai menyokong pengguguran klasifikasi homoseksual sebagai penyakit mental pada tahun 1973.
Dalam dekad yang menyusul, kita menyaksikan transisi mendadak daripada masyarakat yang berpegang teguh kepada nilai-nilai moral dan agama kepada masyarakat sekular yang tidak bertuhan di mana kehendak seseorang itu, tidak kira betapa songsang pun ia, harus dipenuhi tanpa mengambil kira natijah buruk akibat daripada perlanggaran nilai moral ini.
Dalam tahun 1988 kali pertama seorang karakter homoseksual diberi watak protagonis yang positif dalam sebuah rancangan komedi di televisyen bertajuk Will and Grace, dan ini diikuti oleh rancangan-rancangan lain seperti Desperate Housewives, Modern Family, GLEE dan Orange is the New Black dalam tahun 2000.
Kini, homoseksual dan transgender dalam dunia hiburan dan media adalah sesuatu yang lumrah dan bukan lagi luar biasa. Tahun lepas, salah satu badan pelobi LGBT terkenal, The Gay and Lesbian Alliance against Defamation (GLAAD) dengan bangga mengumumkan bahawa mereka telah mencapai target 10 peratus skrip-skrip rancangan TV di waktu puncak telah menayangkan watak homoseksual dan transgender secara positif.
Untuk meningkatkan normalisasi perlakuan songsang ini, mereka kini mensasarkan target baru sebanyak 20 peratus daripada keseluruhan skrip bagi memaparkan budaya LGBT yang diketengahkan secara positif.
Syarikat-syarikat perfileman gergasi Hollywood, berpusu-pusu menyahut seruan ini termasuklah syarikat Disney yang suatu masa dulu mempunyai konsep rancangan yang mesra keluarga.
Adalah jelas daripada kandungan artikel saudara Bakhtiar Talhah bahawa modus operandi yang sama yang dipelopori oleh para aktivis di Barat bagi menormalisasikan budaya dan gaya hidup LGBT cuba digunapakai di negara Malaysia yang mana Islam adalah agama persekutuan.
MACSA turut berasa kesal kerana melihat badan bukan kerajaan yang menangani secara khusus permasalahan HIV dan AIDS seperti Majlis AIDS Malaysia dan barisan petugas kesihatan penyakit berjangkit turut terheret sama tanpa kerelaan mereka berada di dalam agenda ini.
Dakwaan aktivis pro-LGBT bahawa orientasi seksual dan identiti gender (sexual orientation and gender identity – SOGI) adalah suatu bentuk hak asasi manusia juga merupakan suatu yang menyimpang daripada kebenaran.
SOGI sebagai satu bentuk hak asasi yang termaktub dalam Prinsip-prinsip Yogyakarta (Yogyakarta Principles) digubal pada tahun 2006 tidak pernah diiktiraf oleh Malaysia dan negara-negara ASEAN yang lain, bahkan hak ini juga tidak terkandung dalam Deklarasi Sejagat Hak Asasi 1948 (Universal Declaration of Human Rights) yang asal.
Selain daripada itu, terdapat dua lagi instrumen hak asasi yang mana Malaysia merupakan ahli yakni Deklarasi Kaherah Hak Asasi dalam Islam 1990 dan Deklarasi Hak Asasi Asean 2012.
Dalam kedua-dua deklarasi ini, bukan sahaja hak LGBT tidak disebut, bahkan instrumen ini menghalang pengiktirafan mana-mana bentuk hak asasi yang bercanggah dengan prinsip Islam dan nilai-nilai tradisi budaya masyarakat setempat di dalam komuniti ASEAN.
Media tempatan kita tidak seharusnya mengikut rentak media Barat, sebaliknya perlu lebih bertanggungjawab dalam mempertahankan undang-undang negara Malaysia dan nilai ketimuran kita.
MACSA menyeru agar Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Dr Zulkifli al-Bakri memperketatkan undang-undang berhubung larangan promosi umum gaya hidup LGBT.
Negara Rusia umpamanya mengadakan Undang-undang bagi Melindungi Kanak-kanak daripada Maklumat berkaitan Advokasi Penafian Nilai Tradisi Kekeluargaan (A Law for the Purpose of Protecting Children from Information Advocating for a Denial of Traditional Family Values). Undang-undang ini dicemuh oleh media pro-LGBT negara Barat sebagai undang-undang propaganda anti-gay.
Bagi membendung nilai-nilai yang bercanggah dengan agama dan budaya kita, langkah-langkah awal yang perlu adalah mengharamkan sebarang promosi gaya hidup homoseksual, biseksual dan transgender bersama-sama dengan orientasi songsang lain seperti pedofilia, dalam konteks undang-undang sama ada melalui Kanun Keseksaan, Akta Multimedia dan Komunikasi 1998, Akta Percetakan dan Penerbitan 1984, Akta Hasutan 1948 atau lain-lain akta berkaitan.
Bagi masyarakat Islam, pindaan ke atas Enakmen Syariah Negeri-Negeri sedia ada berhubung kesalahan homoseksualiti dan tasyabbuh (lelaki yang berlagak seperti perempuan) perlu turut memasukkan larangan promosi gaya hidup ini.
Kami di MACSA juga dengan tegas menyeru kepada generasi muda Muslim, Kristian dan penganut-penganut agama lain agar tidak terjebak ke arah gaya pengamalan LGBT dan memilih sebaliknya, cara hidup bermoral yang dianjurkan oleh agama.
Rakyat Malaysia juga seharusnya memahami prinsip pertama dalam Rukun Negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan. Ironinya, hak-hak beragama adalah juga suatu hak yang terpelihara dalam semua deklarasi-deklarasi yang telah disebut sebelum ini.
Akhir sekali, kami menyeru agar saudara Bakhtiar Talhah, sebagai seorang Melayu Muslim mengambil kesempatan di bulan Ramadhan yang mulia ini untuk kembali ke jalan yang benar.
Kitab Suci Al-Quran telahpun dengan jelas menggambarkan perihal jiwa hamba yang melakukan kesalahan, pada ketika mereka diberikan peringatan tentang kesalahan mereka, sering berubah menjadi bangga untuk menenangkan rasa bersalah mereka.
Menjadi homoseksual bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan secara terbuka dan keinginan seperti itu haruslah dibendung demi menuju ke jalan Ilahi. Sebaliknya, seharusnya kita mendidik diri untuk merendah diri kerana kita semua adalah milik Allah dan kepada-Nya kita akan kembali.
- Kenyataan media oleh PROFESOR MADYA DR RAFIDAH HANIM MOKHTAR. Beliau adalah Pengerusi Bersama Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA) dan Presiden Perikatan Wanita Antarabangsa Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ),