OLEH DR HASHIM YAACOB dan ADI SUKMA
ARWAH ibu dan bapa saya (Hashim) tinggal di kampong Batu Hitam Tanah Merah Kelantan sejak tahun 1940 hingga 2006. Pada setiap hari rayaAidilfitri dan Aidiladha saya pulang ke kampung, walaupun jalan raya bersesak – sesak.
Bagi saya itu mesti dilakukan. Perjalanan dengan kereta biasanya mengambil masa enam jam dari Kuala Lumpur ke Tanah Merah.
Tetapi pada musim hari raya masa perjalanan bertambah menjadi 13 hingga 15 jam. Kereta bertali arus seperti semut, kadangkala tidak bergerak langsung. Seksa dan perit taidk boleh hendak ceritakan lagi, tambahan pula kalau anak-anak kecil dibawa bersama.
Melihat pada suasana begitu, ibu dan bapa saya meminta supaya saya tidak menyusahkan diri dan keluarga di jalan raya kerana pulang behari raya. Mereka berkata cukuplah pulang pada waktu lain.
Kasih sayang ibu bapa kepada anak bukan hanya bertemu di hari raya kata mereka. Berkali saya tanyakan sama ada yang dikatakan itu adalah benar. Mereka berkata lebih bahagia melihat saya dan keluarga tidak terseksa di jalanan.
Begitulah kasih sayang ibu bapa kepada anaknya. Mereka tidak beremosi tidak tentu pasal, tetapi lebih mementingkan hakikat. Lagi pun kasih sayang kepada kedua-dua orang tua kita tidak diukur dengan pulang berhari raya.
Sejak hari itu saya akur kepada nasihat ibu dan bapa, dan tidak lagi pulang pada hari raya, tetapi pulang beberapa hari kemudiannya setelah jalan raya tidak lagi bersumbat dengan kenderaan.
Tetapi saya tidak pernah lupa mengirim buah tangan hari raya kepada mereka. Itu tandanya mereka sentiasa dalam ingatan kita walaupun tidak betemu pada hari raya.
Kami bercerita kerana ingin menyatakan kepada orang ramai bahawa tidak perlulah pulang merentasi negeri pada tahun ini , kerana kita masih berada dalam musim bahaya dari ancaman Covd 19. Kita tidak tahu mungkin menjadi pembawa virus walaupun kelihatan sihat.
Jadikanlah peristiwa di mana seorang wanita yang sarat mengandung telah pulang dari Ampang, Selangor ke Kelantan seminggu lepas. Dia telah membawa virus Covid-19 ini kepada orang tersayang, iatu ibu bapanya sendiri serta yang lain yang bertemunya. Dia tidak mengetahui yang dia telah dijangkiti.
Kalau wanita itu benar kasihkan mereka, dia tentunya akan menyesal tidak kesudahan. Orang lain perlu mengambil iktibar daripada perkara yang berlaku atas wanita itu. Jadikanlah orang yang bijak, melihat kejadian yang menimpa orang lain sebagai sempadan dan teladan.
Kami merayu kepada rakyat sekelian supaya jangan pulang merentasi sempadan untuk berhari raya kali ini. Pulanglah waktu lain apabila keadaan sudah selamat. Ini keadaan yang darurat, tidak dapat bersuka ria seperti keadaan biasa.
Jangan menjadi penyebab musibah kepada keluarga tersayang. Sesal kemudian tiada gunanya. Manfaatkan wang menampung perjalanan itu untuk dihadiahkan kepada ibu bapa dan keluarga.
Biarlah tidak pulang berhari raya di kampng bukan kerana takut dengan tindakan polis yang mengenakan denda yang tinggi. Tetapi tidak pulang kerana menyayangi ayah bonda dan keluarga yang tercinta.
Katakanlah kepada mereka, walau jauh di mata, tapi kian dekat di hati. Panjatkan doa supaya Allah yang maha mengasihani lagi mengetahui melindungi mereka sepanjang masa. Cukup dengan itu. – kuseman.com