Oleh Lutfi Ishak

SEWAKTU pecahnya perang di Iraq, saya masih lagi sangat hijau dalam dunia penulisan. Karya saya yang pertama disiarkan oleh Sutung Umar RS di Medan Kreatif Riong pada tahun 2000. 

Amerika Syarikat menyerang Iraq pada tahun 2003. Sewaktu Iraq diganyang, saya bersama-sama Anjan Ahzana dan Jimadie Shah menonton berita serangan itu di sebuah kedai mamak di Jalan Telawi. 

Sudah tentu, di dalam hati, membuak-buak rasa marah dan sedih. Beberapa hari kemudian, di rumah sewa Jimadie atas Bukit Travers, kami pun merancang untuk menerbitkan antologi Mitos Sperma Amerika.

Setelah dikumpulkan, semua puisi itu distensel, dikeluarkan secara bawah tanah, dan Jimadie serta Anjan, membawa antologi tersebut dan menjualnya sampai ke Puduraya. Kalau tidak silap saya, habis terjual. Saya sendiri hanya memiliki sebuah saja, itupun kena makan dengan tikus.

Beberapa tahun selepas itu, saya sudah mempunyai beberapa manuskrip cerpen dan puisi. Tetapi tiada satu pun saya hantar untuk penerbitan. Kumpulan puisi pertama saya, Kafe, terbit pada tahun 2010. Kumpulan cerpen Cerita Malam Pertama diterbitkan pada 2011. Dondang Pembukaan, 2015. Senandika pula tiga tahun kemudian. 

Dondang Pembukaan kumpulan puisi Lutfi Ishak.

Tiada satu buku saya diterbitkan oleh DBP. 

Sebab apa tidak hantar? Tidak teringin karya diterbitkan penerbit besar?  Itulah soalan yang sering ditanya kepada saya. Sudah tentu soalan ini tidak ditanya kawan-kawan akrab dunia penulisan, sebabnya, mereka juga merasai pengalaman yang sama.

Orang yang sama-sama demam takkan bertanya kepada kawannya rasa macam mana demam itu. Masing-masing sudah puas menggigil dalam selimut. Masing-masing mengetap gigi menahan sakit. 

Sebelum saya menjawab soalan ini, biar saya jelaskan awal-awal. DBP ialah institusi yang perlu dipertahankan kewujudannya. Saya beberapa kali mendapat peluang mengikuti program yang bermanfaat anjuran DBP. 

Apa saja bidang, termasuklah dunia penulisan, bagai kisah sepohon betik, biarpun tumbuh sendiri, namun, pasti ada mulanya. Fasa awal saya dalam dunia penulisan, adalah dengan Minggu Penulis Remaja anjuran DBP.

Justeru, jika begitu, kenapa, terutamanya suatu ketika dahulu, suka sekali mengkritik DBP? Sebabnya, DBP sangat penting. Oleh sebab DBP institusi yang pentinglah, DBP memerlukan kritikan yang membina. 

Namun, akhirnya, saya berhenti mengkritik. Sebabnya ada dua. Kritikan yang berterusan akan menyebabkan timbulnya persepsi dalam masyarakat bahawa DBP ialah institusi yang tidak lagi relevan. 

Kesan ini sangatlah bertentangan dengan tujuan saya melakukan kritikan. Kritikan dibuat adalah untuk memastikan DBP melaksanakan tugasannya dengan lebih kreatif, lebih strategik dan lebih lestari. 

Sebab yang kedua saya berhenti mengkritik DBP adalah kerana tiada perubahan yang positif berlaku daripada kritikan tersebut. Kritikan dibuat berasaskan masalah. Jadi, kritikan dilakukan adalah sebagai salah satu cara untuk keluar dari masalah. 

Apabila ada hal yang menurut saya tidak betul di DBP, saya pun mengkritik agar semua pihak menyedarinya. Supaya semua pihak sama-sama mencari jalan keluar kepada permasalahan. Tetapi apabila tiada tindakan susulan yang bermakna, senyap adalah lebih baik. Kadang kala, antara dua keburukan, kita pilihlah yang lebih kecil kemudaratannya. 

Salah satu masalah yang sehingga kini belum selesai di DBP ialah penerbitan. Ketika penerbit buku lain menerbitkan buku dengan pantas, di DBP, saya kira, untuk sebuah buku diterbitkan, kurang-kurang perlu ambil masa 3 tahun. 

Syarat-syaratnya juga pelik. Sebagai contoh, untuk kumpulan puisi, dulu saya pernah diberitahu dalam perbincangan meja bulat dengan Ketua Pengarah, mesti 100 puisi ke atas baru boleh terbit.

Sebagai seorang pengarang puisi, hal paling utama adalah kualiti. Tebal atau nipis tidak pernah menjadi perkiraan seorang pengarang puisi.  Malah, lihat saja kebanyakan kumpulan puisi DBP yang sehingga hari ini menjadi buruan pembaca. Rangkaian Rubaiyyat Prof Al-Attas berapa halaman saja.

Malah, kumpulan puisi moden yang dianggap penting macam Sungai Mekong Latif Mohidin, Perempuan dan Bayang-Bayang Baha Zain, Perjalanan Si Tanggang Muhammad Hj Salleh, pelbagai karya T. Alias Taib, Katarsis  oleh Zaen Kasturi dan lain-lain lagi, semuanya nipis-nipis. 

Mudah cerita, syarat puisi kena lebih 100 buah ini, satu bidaah dahsyat dalam dunia penerbitan di DBP.

Oleh sebab syarat-syarat yang pelik inilah, ramai pengarang muda mengelak dari terlibat dengan DBP. Saya rasa DBP pun sedar hal ini, tapi itulah tetap tiada tindakan yang bermakna. Saya yakin, semua orang faham, biarpun Badan Berkanun, namun akibat kedudukannya di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia, agak sukar untuk DBP menyuaraka isu-isu yang berkaitan bahasa dan sastera kepada kerajaan. Tetapi, takkan syarat pelik ini pun tak boleh atasi?

Tetapi itulah DBP. Dulu, bila ada masalah, dan kemudian bertukar jadi kontroversi, DBP akan buat perbincangan meja bulat. Tujuannya untuk mencari kata putus dan jalan keluar. Tetapi, selesai meja bulat, masalah biasanya bertambah kusut dan tak selesai. Sebab apa? Sebabnya  cara DBP menangani permasalahan amat ganjil. 

Saya bagi satu contoh. Sewaktu Datuk Tarmuzi menjadi Ketua Pengarah DBP, suatu perbincangan meja bulat diadakan dengan penulis muda untuk mengetahui punca penulis muda menjauhi DBP. Saya turut dijemput. Bila tiba giliran saya, saya pun mengutarakanlah buah fikiran saya.

Saya kata, untuk menarik penulis muda, mudah saja. Antaranya adalah dengan menerbitkan buku berkualiti daripada penulis muda. Adalah beberapa hal lagi saya utarakan, tapi sebab fokus entri ini adalah penerbitan, jadi kita cerita bab penerbitan saja.

Setelah semua bercakap, pengarah bahagian masing-masing pun bagilah tanggapan mereka berkenaan masalah dan idea-idea yang dikongsikan tadi. Nak tahu apa jawapan untuk isu yang saya utarakan? Kata mereka, DBP hanya menerbitkan karya penulis yang mapan dan Sasterawan Negara sahaja!

Saya hampir tergelak besar tapi cepat-cepat tutup mulut. Kalau macam itu, sampai bila-bila pun penulis muda takkan mendekati DBP.  Itulah yang saya maksudkan dengan keganjilan DBP dalam menyelesaikan masalah.

Sekarang ini saya pun sudah masuk usia 40 tahun. Isu yang ditimbulkan dalam meja bulat itu tidak selesai juga. Tapi apabila masuk usia 40 tahun ini rasa lebih bebas menulis. 

Ialah, kalau penulis muda memperkatakan hal penulis muda itu konflik kepentingan. Bila masuk usia 40 tahun, sudah tidak muda lagi. Tapi itu pun belum tentu, sebab sejarah di DBP, Syed Mohd Zakir pun kadang-kadang dirujuk sebagai penulis muda. 

Tapi bab ini tidak di DBP saja, sebab saya pernah baca tulisan seorang ‘pengkaji’  yang menyatakan dalam tulisannya, Pyanhabib penulis muda. Tapi bab itu kita sembang lain kalilah.

  • LUTFI ISHAK adalah penulis sastera.
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *