Fakta dan kebenaran dimanipulasikan sebagai kepalsuan oleh juak-juak politik berkepentingan. (Gambar hiasan – Free Malaysia Today)

Oleh Ku Seman Ku Hussain

DALAM suasana politik hari ini kebenaran bukan lagi hakiki tetapi bersifat relatif. Kebenaran boleh berubah-ubah mengikut keadaan dan kepentingan. Boleh juga  diposisikan dalam pelbagai bentuk dan hubungan untuk mendapat maksud baharu yang selari dengan matlamat politik. 

Pada masa yang sama kepalsuan dan manipulasi diposisikan sebagai kebenaran yang baharu. Kedua-duanya saling bersulam seli antara satu dengan lain hingga menjadi satu – kebenaran yang baharu.

Banyak yang berlaku di negara kita sukar untuk ditanggapi sebagai kebenaran atau kepalsuan yang diposisikan sebagai kebenaran. Maklumat juga datang dalam dua bentuk yang berbeza – benar dan palsu. Tidak semua orang mampu membezakan antara kedua-duanya apatah lagi bagi hamba media sosial.

Ilmu tidak ada di media sosial. Tetapi banyak yang menjadi hamba media sosial untuk mencari lorong terang dalam kehidupan. Banyak maklumat palsu atau yang dialih naratifnya membiak di media sosial. 

Isunya bukan maklumat palsu tetapi bagaimana pihak yang berkepentingan mengaut keuntungan politik daripada kecelaruan maklumat dan naratif. Pengerak propaganda tampil dengan pelbagai naratif yang mewajar sekaligus membentuk jalur pemikiran umum yang baharu.

Masyarakat kebingungan apabila kebenaran menjadi begitu relatif sekali sifatnya. Ibarat bulan bukan berwarna putih pucat di pangkal pagi atau kekuningan waktu dini hari, tetapi boleh sahaja berwarna biru. Kebenaran yang relatif  menjustifikasi bulan berwarna biru  hingga diterima sebagai benar.

Inilah zaman pembohongan dan kepalsuan bermaharajalela.  Zaman yang penuh keliru dan pemain politik dengan jampi mentera memperagakan seolah-olah suatu yang benar – walaupun bulan berwarna biru. Masyarakat percaya kerana mereka bukan semuanya jauhari  yang mengenal manikam.

Inilah era pasca kebeneran (post-truth) yang berlaku di mana-mana sahaja di seluruh pelosok dunia. Era di mana kebenaran bukan hakiki sifatnya, sebaliknya berubah-ubah mengikut naratif politik yang berkepentingan. Politik pasca kebenaran tidak lagi mencari kelemahan daripada kebenaran sebaliknya menolak kebenaran.

Maka antara benar dan tidak benar hanya dipisahkan oleh garis yang sangat nipis. Perdebatan politik lebih pada menguasai emosi berbanding hujah-hujah yang intelektual. Kejayaan membina emosi pendukung dan penyokong menjadi laluan mencipta jalur pemikiran utama masyarakat.

Hakikatnya tidak ramai yang mampu melihat dan mengesan garis pemisah yang nipis ini – selebihnya mengikut arus naratif yang kuat lagi berpengaruh sebagai kebenaran. Banyak peristiwa besar yang berlaku di negara ini juga hadir dengan pelbagai naratif yang semuanya benar.

George Orwell

Sebenarnya fenomena politik pasca kebenaran diangkat dengan jayanya  dalam novel Nineteen Eighty-Four karya George Orwell pada tahun 1949. Novel yang bercorak futuristik ini membayangkan politik dunia 35 tahun ke depan iaitu pada tahun 1984.

Inilah karya politiknya  yang memberangsangkan selain Animal Farm

Advertisement
yang sangat popular lagi berpengaruh itu. Nineteen Eighty Four adalah ramalan-ramalan masa yang akan datang. Menariknya antara ramalan itu adalah wujudnya politik pasca kebenaran yang secara perlahan-lahan diterima ramai sebagai satu model politik masa ini.

Banyak dalam kalangan kita tidak sedar akan keadaan memporak-perandakan kehidupan mereka. Hakikatnya mereka terpasung dalam lingkaran pengetahuan yang kecil tetapi angkuh dan sombong seolah-olah serba tahu dari media sosial yang menjadi pendamping akrabnya. 

Dunia pasca kebenaran bukan baru.  Tetapi menjadi begitu terapung dan sangat menganggu apabila gaya hidup banyak ditentukan oleh media sosial. Inilah pemangkin yang menjadikan politik pasca kebenaran menjadi musuh kepada banyak negara.

Pasca kebenaran yang diangkat dari kata ‘post-truth’ telah dipilih oleh Oxford Dictionaries sebagai Word of the Year pada 2016 ketika  pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS).  Kata ‘post-truth’ terapung dalam kalangan sarjana sains politik dan sains sosial sejak lama dulu tetapi sejak akhir-akhir ini baru dipolemikkan.

Kata ‘post-truth’  pertama kali digunakan oleh penulis Steve Tesich tahun 1992 dalam tulisannya dalam akhbar The Nation bertajuk A Government of Lies. Tulisannya  menghantar kritikan keras kepada masyarakat AS  yang tersihir dengan pembohongan Presiden George Bush mengenai Perang Teluk.

Pentadbiran Bush telah mencipta naratif pasca kebenaran hingga mewajarkan warga Amerika bersetuju dengan campur tangan AS dalam agenda menganyang Iraq yang dikatakan ‘tidak demokratik.’  Steve Tesich nampak apa yang sebahagian besar warga AS tidak nampak. 

Kebenaran  relatif yang dibina oleh pasukan propaganda Bush hingga dunia menyebelahi AS. Pasca kebenaran yang diangkat oleh Steve Tesich menjadi batu tanda penting politik AS – pembohongan adalah kebenaran yang dianjak posisinya dan relatif maksudnya.

Kata orang tua-tua hanya jauhari yang mengenal manikam.  Tetapi banyak lagikah jauhari yang mengenal permainan politik yang memanipulasi emosi pendukung di tahap yang sudah tidak masuk akal? Jauhari pun sudah tidak dipercayai kerana jampi mentera politikus lebih mujarab dan sakti.

Sang orator yang berapi-api di pentas politik berjaya melarikan penonton di depan pentas realiti ke alam mimpi. Mereka ikut terbang dalam jampi mentera dan kepercayaan pun dibeli dengan harga tidak seberapa. Kebenaran?  Kebenaran itu dinamik kata politikus, boleh diposisikan berbagai-bagai, beraneka rupa dan tujuan.

Kawan-kawan, bangkitlah dari mimpi. Bulan tidak berwarna biru.

  • TULISAN ini kali pertama disiarkan di Utusan Malaysia 3 Ogos 2020 dengan tajuk ‘Bulan bukan berwarna biru.

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *