Pada 28 Februari, di depan Rais Yatim dan Syed Mokhtar Al Bukhary Dr Mahathir merestui Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.

KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Tiada siapa tahu kisah yang terjadi pada 28 Februari lalu tetapi tarikh itu menjadi bukti Tun Dr. Mahathir Mohamad boleh menukar pendirian atas sesuatu perkara yang amat penting untuk negara.

Senator Tan Sri Dr. Rais Yatim mendakwa, pada hari tersebut, beliau bersama ahli korporat, Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary bertemu dengan Dr. Mahathir di Yayasan Al-Bukhary di sini.

“Tun beritahu saya dan Syed Mokhtar bahawa beliau hanya dapat 66 perakuan Akuan Bersumpah (SD) daripada ahli-ahli Parlimen…fakta yang disembahkan kepada Tuanku Yang di-Pertuan Agong. Kalau dengan keadaan itu, katanya, biarlah Tan Sri Muhyiddin (Yassin) terus jadi Perdana Menteri.

“Selesai…saya keluar bilik itu dan kemudian menyampaikannya kepada Muhyiddin melalui emissary (wakil) yang terdekat. Malang, keesokannya juga Dr. Mahathir dilaporkan hendak semula jawatan Perdana Menteri. 

Rais Yatim (Gambar BH)

“Saya hilang cara logik untuk berinteraksi, malah saya semacam mati akal. Itulah bukti bahawa Dr. Mahathir boleh tukar pendirian atas sesuatu hal yang begitu penting. Mula-mula setuju melepaskan posisi Perdana Menteri kepada Muhyiddin. Kemudian beliau tukar pendirian. 

“Mula-mula setuju, lepas itu tidak. Saya tidak mengerti bagaimana bertukarnya proses pemikiran bekas Perdana Menteri interim kita itu selepas 28 Februari,” dakwa Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu kepada Mingguan Malaysia dalam pertemuan baru-baru ini.

Ditanya mengapa Dr. Mahathir mengubah pendirian, kata Rais, beliau tidak tahu mengapa bekas Pengerusi Parti Bersatu itu berubah fikiran.

“Boleh jadi pada malam 28 Februari, beliau (Dr. Mahathir) ‘diasuh’ semula oleh rakan-rakan utama dalam Pakatan Harapan (PH), lalu tukar pendirian 29 Februari. Mungkin juga lantaran proses berfikir beginilah kecundangnya Datuk Seri Anwar dalam jawatan impiannya. Wallahualam.”

Usaha akhbar ini untuk mendapatkan komen Dr. Mahathir berhubung pendedahan Rais itu bagaimanapun gagal.

Khamis lalu, Dr. Mahathir sekali lagi menarik perhatian Dewan Rakyat apabila menegaskan beliau tidak pernah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Beliau berkata, sebaliknya apa yang terjadi sehingga membawa kepada keruntuhan kerajaan PH adalah disebabkan oleh tindakan Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu mengumumkan parti keluar daripada gabungan berkenaan.

Untuk rekod, Langkah Sheraton pada 23 Februari lalu merujuk gerakan penjajaran semula politik tanah air yang menumbangkan kerajaan PH.

Ia berlaku apabila 11 ahli Parlimen meninggalkan PKR untuk bergabung dengan Bersatu, BN, Pas dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Hotel Sheraton, Petaling Jaya.

Keesokannya pada 24 Februari, Dr. Mahathir menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dipercayai ada kaitan dengan pergolakan politik yang berlaku dalam PH selepas mesyuarat Majlis Presiden gabungan itu tiga hari sebelumnya.

Sejurus kemudian pada hari sama, Dr. Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri interim, sementara menunggu pelantikan Perdana Menteri yang baharu.

Beliau difahamkan turut mengumumkan meletak jawatan sebagai Pengerusi Bersatu berkuat kuasa serta-merta.

Pada 18 Mei lalu, Yang di-Pertuan Agong mendedahkan bahawa baginda telah meminta Dr. Mahathir untuk tidak meletak jawatan sebagai Perdana Menteri semasa menerima menghadap Dr. Mahathir pada 24 Februari lalu.

Namun, bekas Perdana Menteri itu tetap dengan keputusannya, titah Seri Paduka dalam Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen.

Mengenai parti baharu Dr. Mahathir yang dinamakan Pejuang, kata Rais, ia ditubuhkan selepas Ahli Parlimen Langkawi itu gagal di mahkamah untuk mengekalkan keahlian Bersatu bersama Datuk Seri Mukhriz; Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Dr. Maszlee Malik (Simpang Renggam) serta beberapa orang lagi. 

“Di majlis kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim beberapa hari lalu beliau hanya menyatakan bahawa partinya bermisikan anti politik wang dan mahu orang Melayu khasnya menyokong partinya itu. 

“Sukar meyakini parti Pejuang itu. Pertama, berapa tahun agaknya Dr. Mahathir berupaya mengepalainya? Apakah kemampuan Mukhriz akan menonjol susulan rekod beliau di Kedah? Bila agaknya parti ini akan didaftarkan? Apakah hanya dasar anti politik wang sahaja untuk memasuki pilihan raya umum ke-15?” katanya.

Kata Rais: “Wang dan politik macam air dengan lumpur. Kena disuling atau diproses dahulu, baru jernih. Muhyiddin dengan rakan-rakannya kini pun sedang melakukan proses ini. Inilah satu-satunya misi yang Dr. Mahathir sendiri gagal menangani selama 22 tahun terdahulu selaku PM ke-4 dan dalam tempoh 22 bulan terkemudian selaku PM ke-7. 

Sejujurnya, walau apapun alasan serta sebab-musabab, PM ke-7 patut membantu PM ke-8 dan tidak sebaliknya. Itupun kalau sesungguhnya sayangkan bangsa dan agama.”

Pada 10 Mei 2018, Dr. Mahathir mencipta sejarah apabila mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kali kedua susulan PH memenangi PRU-14.

Dr. Mahathir, pertama kali dilantik menjadi Perdana Menteri keempat pada 1981 sewaktu berumur 56 tahun sebelum meletakkan jawatan pada 2003, setelah menerajui tampuk pimpinan negara selama 22 tahun.

Berumur 92 tahun pada waktu itu, beliau mencipta sejarah lagi menjadi Perdana Menteri tertua di dunia dengan kembali ke Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya setelah 15 tahun meletakkan jawatan pada 2003.

Pada PRU 9 Mei 2018, PH memenangi 135 daripada 222 kerusi Parlimen bagi membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu. – (UTUSAN MALAYSIA 16 Ogos 2020)

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *