TV Alhijrah perintis isi kandungan televisyen yang patuh syariah di negara ini.

Oleh Ku Seman Ku Hussain

SEBENARNYA saya sudah lama bercakap dan menulis mengenai filem dan kandungan televisyen yang patuh syariah.  Kandungan yang berkonsep demikian tidak menggunakan belanja tambahan, maknanya tidak menjejaskan syarikat produksi atau stesen televisyen.

Tetapi agak malang saya dikatakan idealis – bermimpikan sesuatu yang tidak mungkin dapat dilakukan. Dalam pemikiran sesetengah pihak,  di televisyen dan filem ada wilayahnya yang tersendiri dan mewajarkan pelanggaran nilai agama dan norma budaya.

Sejak kita mengenal televsyen pada 1963 yang hitam putih,  akhir tahun 1970-an datang teknologi warna dan sekarang sudah menggapai teknologi digital, tetapi acuan kandungan dari Barat tetap tidak berubah.  Televisyen tidak menjadi rekleksi sosiobudaya dan agama yang berlaku dalam masyarakat.

Kandungan televisyen sarat dengan hedonisme bukan persepsi tetapi realiti. Televisyen diposisikan sebagai eskapisme dari realiti keperitan hidup ke ruang khayal yang menyeronokkan.  Ini hanya pil penahan sakit bukan penawar yang lestari kesannya.

Allahyarham Bukhari Che Muda

Sepuluh tahun lalu apabila kawan saya, Allahyarham Datuk Bukhari Che Muda membisikkan,  akan lahir stesen televisyen patuh syariah,  saya menjadi orang yang sangat gembira.  Sebenarnya itu satu keberanian yang sangat luar biasa. Seperti tidak percaya pun ada juga.

Dalam keadaan banyak stesen televisyen menjadi ladang hedonisme,  tentulah cabaran besar bagi yang cuba mengalih arus besar itu. Dengan kebiasaan  menerima ‘kelonggaran’  terhadap pelanggaran moral, adab dan agama,  tentu akan bertempik golongan yang sudah lama terpesona.

Khamis lalu (1 Muharam 1442 Hijrah) genap sepuluh tahun  TV AlHijrah,  stesen televisyen patuh syariah pertama negara ini.  Dikendalikan oleh AlHijrah Media Corporation, syarikat di bawah Jabatan Perdana Menteri.  Tentunya stesen kecil ini bukan mewujudkan persaingan tetapi menawarkan pilihan, sekaligus perintis pada satu penghijrahan.

Stesen televisyen ini pada relatifnya kecil di segi fizikal. Tetapi sangat besar dari sudut gagasan meluaskan syiar Islam  dan menghamparkan teras cara hidup untuk Islam dan bukan Islam.  Agama ini datang dengan kesempurnaan yang tidak terjangkau luasnya. 

Tetapi seperti biasa, bukan semua bertaraf jauhari yang mengenal manikam. Malah terlindung di sebalik kemilau budaya pop yang lebih menyihirkan. Itu kebiasaan lama yang tidak mahu ditinggalkan.

Selama sedekad juga stesen stesen televisyen ini menjadi pilihan penonton yang mencari isi kandunganyang menggali pemikiran serta falsafah Islam. Selebihnya menekankan etika berpakaian, aurat dan adab pergaulan lelaki dan wanita.  Inilah pembaharuan yang dibawa dengan tagline, ‘Segalanya Bermula Di Sini.’

Golongan penontonnya berkualiti,  mereka dalam kalangan pembuat dan pelaksana dasar. Ini penting supaya gagasan pemikiran dalam kandungan stesen ini dimanfaatkan oleh golongan penonton tadi ketika membuat sesuatu keputusan atau tindakan.

Untuk memulakan satu perubahan bukan mudah. Demikian juga dengan pasukan pelopor TV AlHijrah yang dilancarkan pada 1 Muharam 1432  (7 Disember 2010) yang nakhodanya, Allahyarham Bukhari  sebagai Ketua Pegawai Eksekutif.

Sebenarnya saya rapat dengan TV AlHijrah apabila tiga kawan saya secara kebetulan menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) stesen itu – Allahyarham Bukhari , Datuk Wan Alias Abdullah dan Datuk Izelan Basar. Mereka sering berkongsi dengan saya cabaran dan impian untuk ‘menegakkan’ tiang seri TV AlHijrah.

Apa yang fikir perlu ditegur, saya menegur  dan Allahyarham Bukhari misalnya seorang yang sangat terbuka. Saya tidak ada kepentingan dalam TV AlHijrah tetapi sangat teruja menyambut kelahirannya. Ini satu langkah yang sangat bermakna dilakukan oleh kepimpinan ketika itu.

Allahyarham Bukhari sangat realistik dengan cabaran di depannya. Tetapi mempunyai tahap keyakinan yang tinggi terhadap isi kandungan berkonsep Islam. Malah sangat faham  tentang rating yang menjadi pembaris sesebuah stesen televisyen dan manipulasinya yangsangat dahsyat.

Menzahirkan stesen televisyen patuh syariah ketika banyak stesen lain berlumba-lumba meniru Barat bukan satu paradoks – tetapi keberanian,  keyakinan dan tanggungjawab memanfaatkan kesempurnaan Islam.  Perkara ini mesti ditunjukkan, dan TV AlHijrah membuktikan itu.

Saya percaya TV AlHijrah tidak diwujudkan kalau hanya berteraskan kepentingan ringgit dan sen.  Ini kerana tidak semua kejayaan boleh diukur dengan banyak dan sedikit angka-angka. Malah tidak adil stesen ini diukur dengan pembaris yang digunakan mengukur stesen televisyen lain.

Ada dua perkara besar yang boleh diangkat daripada keberadaan TV AlHijrah dalam dunia penyiaran negara ini.

Pertama,  menggerak gagasan mendayausahakan kandungan kreatif televisyen yang berkonsep Islam. Apabila disebut konsep Islam sudah tentu berkatan dengan tiga prinsip utama – akidah, akhlak dan syariah.

TV AlHijrah adalah pencetus.  Wacana kandungan kreatif berkonsep Islam harus melampaui keberadaan TV AlHijrah. Sebaliknya sebagai tanda mula satu gagasan besar untuk menyuntikkan nilai kehidupan berteraskan Islam.

Kedua, bertepatan dengan kesedaran Islam semakin tinggi dalam kalangan masyarakat. Sudah lebih 30 tahun berdirinya universiti Islam yang bertaraf antarabangsa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), sistem perbankan Islam kita yang diiktiraf di dunia dan penghasilan barangan halal yang menguasai pasaran tempatan dan luar negara.

Penerbitan kandungan televisyen patuh syariah melengkapkan prasarana sosial dan spiritual yang terbina itu. Industri kandungan kreatif dunia bernilai berbilion dolar dan, kita wajar menjadi pemain dengan menjadikan gaya hidup dan pemikiran Islam sebagai kerangka asasnya.

Oleh yang demikian, kepimpinan tertinggi, pasukan karyawan dan tenaga insan TV AlHijrah mesti memahami hakikat ini. Jangan menari mengikut rentak stesen lain kerana TV AlHijrah adalah perintis bukan pengikut. Yang penting kompas dulu jangan dilupa. Walaupun buruk tetapi amat berguna. (UTUSAN MALAYSIA 24 Ogos 2020)

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *