Pagar untuk melindungi padi bukan ‘memakan’ padi. (Gambar hiasan -PIXABAY)

Oleh Ku Seman Ku Hussain

PENDEDAHAN mengenai pusat judi haram di Sungai Buloh, Selangor ‘dilindungi’ pihak berkuasa bukan suatu yang mengejutkan. Ini perkara biasa. Media sudah sering mendedahkan tentang kekebalan pusat judi berbanding kuasa pihak berkuasa. Tetapi seperti biasa, selepas ribut laut pun tenang macam biasa.

Sekitar tahun 2014 hingga 2016, ketika saya menjadi Pengarang Mingguan Malaysia,  akhbar Mingguan Malaysia dan Utusan Malaysia kerap membuat laporan bercorak penyiasatan perihal pusat judi haram di Kuala Lumpur dan Selangor. Tetapi tidak banyak yang berubah. Letih wartawan dibuatnya.

Akhirnya mencetak berita mengenai pusat judi haram hanya membazirkan kertas sahaja. Wartawan kecewa dan pembaca pula muak membaca berita-berita yang tidak berkesudahan. Lebih baik mereka menonton drama ‘pukul 7’,  walaupun bosan ada juga penamat.

Perkara yang terbentang di depan kita sekarang sudah lama menjadi pemerhatian dan pengamatan generasi silam. Dengan kebijaksanaan, mereka berpesan kepada anak cucu supaya jangan menjadi seperti pagar yang makan padi. Generasi Tik Tok kena belajarlah makna perlambangan ini.

Sepatutnya pagar menjadi pelindung padi daripada diragut haiwan seperti lembu atau kerbau. Tetapi apabila pagar  sendiri mendatangkan bahaya kepada yang dipagar, ada sesuatu yang tidak kena dengan pagar-pagar ini. Berdiri seperti pagar tetapi tidak memagar.

Haiwan memakan pokok padi kerana itu sebahagian makanannya. Maka manusia dianugerahkan akal mencari jalan supaya padi tidak rosak dan kerbau atau lembu masih boleh dipelihara sebagai ‘saham’ apabila kesempitan wang. Terciptalah pagar yang kukuh bertujuan melindungi padi.

Nasihat dan pesan  itu adalah kebijaksanaan generasi silam tidak pernah luput ditelan zaman. Malah sentiasa sesuai selagi ada yang menjadi ‘padi’  dan ‘pagar’  dalam konteks zamannya. Kejadian-kejadian pelanggaran moral dan memijak tanggungjawab adalah krisis  yang semakin tenat pada zaman moden ini. 

Semakin modennya manusia dalam kehidupan,  semakin tinggi pula cabaran penyakit ini. Apa lagi slogan hidup sesetengah daripada kita semakin condong pada ‘ada duit semua jadi’.  Padahal hakikatnya tidak semua dapat dimiliki dengan duit, salah satunya sifat amanah.  Tidak ada nilai kebendaan untuk disamakan dengan amanah.

Kita tentu pernah mendengar atau membaca kisah pemandu teksi yang hidupnya kais pagi makan pagi memulangkan sebungkus wang penumpang yang tertinggal dalam teksinya. Dari segi kebendaan, nilai wang itu terlalu besar, boleh dibelanja daripada anak hingga kepada cucu. 

Bayangkanlah berapa jumlahnya. Tetapi wang sebanyak itu tidak menguggat sifat  amanah yang menjadi pegangannya. Seperti maksud pantun lama, hancur badan dikandung tanah, budi yang baik dikenang juga. Yang dikenang adalah sifatnya, bukan kebendaan miliknya.

Pagar memakan padi kerana ia tidak amanah,  tambahan pula mempunyai kuasa yang mungkin memudahkan perbuatan berkenaan. Maka berhati-hatilah apabila dianugerahkan kuasa. Ini satu ujian kerana kuasa akan datang beriringan dengan godaan supaya kita curang pada sifat amanah.

Bagaimana untuk menjadi manusia  yang amanah?  Kepada yang muslim sudah tentu pesan tok guru atau ustaz semasa kanak-kanak,  ilmu agama yang dihayati semasa dewasa boleh memimpin kita menjadi seorang yang amanah.

Advertisement

Amanah datang dengan Islam yang dianutinya.  Islam adalah satu budaya hidup  yang menjurus aman dan sejahtera,  tidak kira sesama muslim dan bukan muslim. Bagaimanapun kita bimbang kerana sudah ada kecenderungan mengecilkan Islam hanya anutan dan,  bukan sebagai budaya hidup.

Setahun lalu ada pemimpin tinggi negara kita merungut kerana subjek pendidikan Islam di sekolah terlalu banyak. Ini didakwa telah mengambil masa pelajar untuk belajar sains dan metamatik. Alangkah malangnya apabila pemimpin gagal menghayati Islam sebagai penjana nilai dalam kehidupan.

Sekolah-sekolah agama dan tahfiz secara sinisnya dianggap  ‘kilang’ mengeluarkan ustaz, penceramah dan ‘lebai’ sahaja. Mereka yang jenis ini tidak nampak bahawa sekolah agama ini  membantu ‘mengeluarkan’ insan yang mendokong nilai-nilai sejagat seperti amanah.

Sains adalah sains, bukan insan.  Maka sebab itulah sains dimanfaatkan dengan mengimbanginya dengan nilai-nilai insan.  Di sinilah peranan pengajian Islam di sekolah-sekolah, institusi  pengajian tinggi serta institusi yang  tidak rasmi dalam masyarakat.

Memang betul bahawa sains dan teknologi adalah tunggak negara maju.  Tetapi untuk menjadi negara maju yang sejahtera memerlukan warga yang tinggi citra moral dan keinsanannya. Sekali lagi, bagi muslim,  citra moral dan keinsanan hanya boleh digali dengan mendalami Islam. 

Kita tidak mahu menjadi negara maju dengan kekayaan yang tinggi menggunung,  banyak bilionaire tersenarai dalam majalah Forbes tetapi majoriti warganya muflis moral. Individu yang tidak amanah adalah tidak bermoral. Berhenti bercakap tentang moral selagi tidak amanah.

Maka carilah di mana akar masalah ‘pagar makan padi.’  Ini berlaku dalam semua  lapisan masyarakat  termasuk muslim – mengikut tinggi atau rendah kedudukan mereka. Yang bilis dengan cara bilis, yang jerung jangan cakaplah lincahnya. 

Apabila nama dan gambar disiar di media, kita pun tertanya-tanya, “Apakah lagi yang dia cari?” Mereka sebenarnya mencari ‘kebendaan’ yang hingga ke hujung dunia pun tidak akan ketemu penamatnya. 

Pesan saya,  usah kontroversikan sangat cerita di Sungai Buloh. Itu hanya secebis daripada sekian banyak kisah yang menuntut kita sama-sama melihat peri pentingnya amanah berakar tunjang dalam diri.  Islam adalah kehidupan yang sejahtera, sifat amanah terkandung dalamnya. – (UTUSAN MALAYSIA 17 Ogos 2020)

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *