SEGALA pelanggaran hak asasi manusia di Syria oleh rejim Bashar al Assad dan Rusia, didokumen Human Right Watch (HRW) dan pertubuhan hak asasi antarabangsa lain.
Serangan terancang yang menyasarkan kawasan awam seperti hospital, sekolah, pasar dan infrastruktur menjadi bukti cukup untuk mengaitkan pembabitan kedua pihak berkenaan dengan jenayah perang.
Kesan kesengsaraan yang ditanggung rakyat Syria bukan pada skala kecil.
Dalam tempoh sembilan tahun sejak kebangkitan rakyat, hampir 600,000 nyawa telah menjadi korban konflik dan lebih 13 juta yang terselamat tetapi terpaksa menjadi pelarian di dalam dan luar negara. Jumlah itu tidak termasuk lebih 100,000 orang dalam tahanan yang tidak di ketahui nasib mereka.
Sejak 2015, Rusia telah memainkan peranan penting secara langsung untuk mengekalkan kuasa rejim Bashar dan sepanjang tempoh itu juga Moscow secara terang-terangan memerangi orang awam Syria yang dilabelnya sebagai ‘pengganas’ kerana menolak pentadbiran Damsyik.
Segala bukti pelanggaran hak asasi manusia yang dikumpul adalah lengkap sama ada dari sudut dokumentasi visual, saksi, laporan antarabangsa dan macam-macam lagi, namun sedikitpun tidak memberi kesan bagi menghentikan pembabitan Rusia di negara itu.
Bahkan lebih malang bagi rakyat Syria, 13 Oktober 2020, Rusia telah dipilih sebagai anggota Majlis Hak Asasi Manusia (HRC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Berikutan perkembangan itu, apa lagi yang boleh diharapkan mangsa konflik untuk mendapatkan pembelaan?. Usaha pejuang hak asasi manusia dan mereka yang tertindas di sana ketika ini seakan terhenti.
Harapkan bangsa Arab untuk membela, kini nampaknya tidak ke mana kerana Liga Arab (LA) dan Pertubuhan Kerjasama Negera-negara Arab Teluk (CCASG) sekadar wujud pada nama. Pertubuhan Kerjasama Negara Islam (OIC) pula langsung tidak berfungsi kerana telah lama basi.
Selain Rusia, satu lagi negara yang dikenali dengan pelanggaran hak asasi manusia, China turut sama dipilih untuk menganggotai 15 negara HRC. Satu dunia tahu apa yang Beijing perlakukan ke atas kumpulan minoriti di negara itu untuk ‘mencinakan’ mereka khususnya apa yang dibuat ke atas etnik Islam Uighur.
Lebih dua juta daripada mereka dilapor telah dihantar ke kem-kem ‘indoktrinasi’ bagi memaksa menerima idealogi komunis dan meninggalkan gaya hidup sebagai Muslim.
Kalau di Majlis Keselamatan PBB, Rusia dan China mempunyai kuasa veto kerana menjadi negara anggota tetap, selepas ini kedudukan dua kuasa besar dunia ini semakin sukar untuk diusik dan bertambah kebal.
Maknanya ke lautlah sebarang suara mangsa konflik dan minoriti yang selama ini ditindas. Kalau begini sampai bila-bila keadilan untuk mereka yang diainaya tidak akan terbela. Foto Syria Care
- RAZALI AWANG adalah sukarelawan Media Syria Care.