Oleh Dr Mahadi J Murat

PERLUKAH Festival Filem Malaysia (FFM) dijenama semula? Menjenama atau rebranding acara popular seperti festival filem, mengikut peredaran masa memang perlu. Apatah lagi, ketika usianya sudah menjangkau 40 tahun. 

Menjenama semula bukan bererti membuang yang lalu, atau  menggantikan dengan yang sepenuhnya baharu. Menjenama bertujuan memperkemas atau memperkukuh kedudukannya agar kekal releven, di tengah-tengah gelombang teknologi sinema, pemameran digital, dan ruang lingkup sejagat dalam persada maya (universal virtual stage) yang tanpa sempadan, kini.

Biarpun begitu penjenamaan dan penambahbaikan, jika dilakukan biar membina, boleh membawa peningkatan atau kemajuan. Misalnya pada ‘objektif’, mengapa festival dianjurkan, ‘definisi’, pengisiannya, peranan, pengurusan, malah organisasinya. Festival yang baik perlu jelas semua ini, untuk  dipandang tinggi bukan sahaja oleh pengamal, sarjana dan masyarakat, tetapi juga khalayak filem dunia. 

Festival Filem Malaysia perlu diberi penambahbaikan untk relevan dengan perubahan teknologi dan sosial yang pesat di dunia. (Gambar hiasan)

Salah satu kaedah untuk menilai dan membuat penambahbaikan, ialah dengan memerhati festival-festival filem lain di sekeliling kita – terutama di Asia, di Asia Tenggara, dan di lain-lain wilayah. 

Festival Filem Singapura, Bangkok, Pusan, Hong Kong, Pyongyang, Jogjakarta dan Manila misalnya, adalah festival-festival filem yang punya latar, iklim dan sosiobudaya yang seiras dengan kita.    

Festival-festival tersebut bukan sahaja ternama dan dipandang tinggi di Asia, tetapi juga oleh khalayak filem dunia, khususnya Amerika Syarikat, Eropah, Afrika dan di Asia. 

Meninjau festival filem yang terdekat dengan kita, iaitu Festival Filem Antarabangsa Singapura (SGIFF) sahaja sudah cukup untuk kita berwajar, dan memikirkan bentuk, corak dan format festival kita.

SGIFF yang ditubuhkan pada 1987 dianggap sebagai salah satu festival filem yang penting di rantau ini, walaupun industri filem Singapura begitu kecil, berbanding Malaysia, Indonesia, Thailand dan Filipina.

Bekas Menteri KomunIkasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo menyampaikan anugerah kepada penerbit filem One Two Jaga Bront Palarae yang memenangi kategori Filem Terbaik FFM30) tahun lalu. One Two Jaga diarahkan oleh Nam Ron yang memenangi Pengarah Terbaik.

SGIFF ditubuhkan khusus untuk memperaga (showcasing) filem-filem terpilih antarabangsa sambil menyediakan platform bagi filem terbaik Singapura untuk diketengahkan. 

Dalam tempoh yang tidak sampai dua dekad SGIFF telah menjadi ikon atau jenama yang terkenal dalam kalender kesenian dan kebudayaan di Asia. Tidak ada festival mengikut format ini dianjurkan di Malaysia.

Begitu juga dengan festival di Bangkok, Jogjakarta, Manila, Pusan dan Pyongyang. Semuanya boleh dikatakan terkehadapan daripada kita.

Di Malaysia, dalam jangka masa panjang 40 tahun, dan tiga puluh kali acara festival, tentulah ada pencapaian yang telah kita raih sehingga kini. Tetapi apakah pencapaian itu? Pertanyaan ini sukar dijawab, kerana orang melihat pencapaian  daripada sudut yang berbeza-beza. 

Sebanyak 30 kali berfestival juga, tentunya telah menghasilkan 30 buah filem terbaik, yang terangkat dari bumi ini, yang sesetengahnya mungkin menjadi klasik, yang dirujuk sebagai produk jenama Malaysia, yang bernilai tinggi oleh khalayak, sarjana dan penganalisis filem sejagat. 

Sepanjang 30 kali festival juga, tentunya turut mengesahkan terdapatnya 30   pengarah dan penulis skrip terbaik sebagai pencorak nilai filem nasional kita yang boleh dibanggakan masyarakat dan negara. 

Atau, setidak-tidaknya separuh daripada itu. Tetapi, dimanakah gerangan mereka? Di manakah filem-filem itu? Sampai di manakah sudah karyawan, seniman dan filem-filem terbaik tersebut berkelana membawa wajah dan budaya fikiran kita sebagai bangsa yang punya (atau tidak punya) kebanggaan?

Soalan-soalan ini tidak perlu dijawab, cukup sekadar menyatakan yang kita tidak terasa adanya karya terbaik yang kita angkat setiap tahun, berjaya melepasi sempadan Selat Melaka, atau Laut China Selatan.  

Ada orang kata industri filem kita telah berkembang maju, kerana jumlah filem yang diterbitkan telah meningkat dengan banyaknya sekarang. Orang-orang yang menonjolkan diri sebagai penerbit, (pelabur), karyawan dan artis, yang kelihatan teruja dengan perasaan mereka sendiri sebagai ‘orang filem’ sememangnya ramai. Tetapi, kemana industri  dan ‘filem nasional (dan filem tak nasional)’ kita hendak dibawa?

Dari sudut peneterasi pemameran pula, memang pengedaran filem dalam negara telah melebar, dengan konsep baru pawagam dan bilangannya yang bertambah di seluruh negara. Ini bagus. Tetapi, apakah yang telah kita capai dari segi apresiasi, dan pembangunan filem nasional Malaysia yang menjadi matlamat industri setakat ini? 

Isu kontrovasi seperti kategori dan definisi antara filem Malaysia dan filem nasional, yang meletus beberapa tahun lalu perlu dielakkan, kerana ia boleh menjadi duri dalam daging yang menikam idealisme pembangunan filem kita. 

Saya berpendapat sudah tiba masanya penganjur FFM menyediakan sebuah manual lengkap festival untuk rujukan semua pihak.  

Manual ini penting sebagai dokumen yang bukan sahaja menyediakan garis panduan dan rujukan, tetapi juga termasuk objektif pertandingan, definisi kategori anugerah, kategori juri dan penjurian. Sekiranya manual ini telah sedia ada, penambahbaikan yang bersesuaian dengan matlamat baru yang ingin dicapai negara hendaklah digariskan.

Pengendalian FFM secara ad hoc dengan format dan model bisnes yang sama seperti  FFM pertama anjuran EJA (Entertainment Journalist Association) pada 1980, patutlah dinilai semula. 

Sebuah sekretariat tetap festival yang dibuka sepanjang tahun, akan memperlihatkan usaha konsisten kita dalam menjaringkan produks terpilih Malaysia di festival dan pasaran filem antarabangsa patut dititikberatkan penubuhannya.

Masanya amat bertepatan sekali kini untuk FFM dibuat penambahbaikan kerana Finas kini berada di bawah kepimpinan ‘angkatan baru’ yang kelihatan punya visi, kesungguhan dan kapasiti untuk menjayakan matlamat pembangunan industri filem kita – industri filem nasional Malaysia. 

  • DR MAHADI J MURAT adalah pengarah filem, ahli akademik, penulis dan Presiden Institut Kesenian dan Kajian Media Malaysia. Beliau boleh dihubungi di : mahadi@semesta.my
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *