Oleh Ku Seman Ku Hussain
Saya tidak pernah setuju format program televisyen yang diambil daripada La Academia dari Mexico untuk mencari bakat yang terbaik. Format itu mula disalin pada Akademi Fantasia 9 September 2003 kemudian merebak pada bidang agama.
Mencari sosok yang terbaik mesti dilakukan oleh mereka yang ahli, pakar atau setidak-tidak mempunyai apresiasi yang tinggi terhadap bidang berkenaan. Kualiti yang memilih terpancar kepada siapa yang dipilih. Kalau yang memilih entah siapa-siapa, yang dipilih walaupun popular setinggi langit, tetap entah apa-apa.
Dari hiburan merebak pada program berbaur agama. Sekali lagi , kerana selera dan apresiasi rendah, program televisyen realiti agama menjadi fenomena. Orang ramai yang mengundi memilih pemenang, tiga empat pengkritik dalam kalangan arif agama tumpang memeriahkan.
Sebahagian dalam kalangan masyarakat tidak tahu apa yang mereka pilih. Sekadar berseronok dan rasa bahagia kerana ikut terlibat dalam program popular. Hal yang sama juga apabila diberi peluang memilih dalam pilihan raya, sesetengahindividu yang dipilih, kalau skala 1 hingga 10, kualiti individu yang dipilih hanya satu setengah atau dua sahaja.
Sekarang ini masih berlangsung program hiburan format yang sama di televisyen. Jangan terkejut, itulah topik bualan sesetengah dalam kalangan kita termasuk di media sosial. Siapa terkeluar, siapa kena kritik dan menyanyi tidak sedap menjadi isu besar mengalahkan isu pengangguran.
Bayangkan, kalau dalam hiburan pun format begini tidak menjadi pentas untuk mencari kualiti, inikan pula dalam bidang agama. Beberapa program realiti televisyen yang memperagakan peserta (tukar selebriti letak ‘pendakwah’) kemudian undi siapa yang popular.
Saya beberapa kali diserang ‘kesipuan’ dan ‘kebisuan’ apabila ada yang mengumpan untuk berbual tentang program televisyen realiti agama. Saya menjadi kelu kerana tidak menyangka ada mengambil jalan mudah mengidolakan ‘ulama segera.’
Maka saya pun terasa sangat ketinggalan zaman kerana tidak tahu siapa ‘ulama’ yang tersingkir dan yang terus mendapat undian SMS tertinggi. Aduhai, orang kita, ulama pun diukur dengan SMS? Begitulah kecelaruan yang sangat serius berlaku dalam masyarakat.
Tidak cukup itu, sesetengahnya rasa seronok dengan gelaran di pangkal nama. Dai, Ulama Muda, PU (Pencetus Ummah) dan beberapa lagi. Ini sangat mengelirukan kerana membawa tanda nama agama. Dengan hanya 13 minggu bertanding sudah ada gelaran di pangkal nama. Hebat. Ini setanding dengan mereka yang bertungkus lumus untuk mendapat ‘Dr’ selepas menggengam PhD.
Apabila program hiburan melahirkan ‘selebriti jadian’, sesetengah program realiti agama pula menambah bilangan ‘ulama jadian’. Mereka ini dihasilkan oleh kilang hedonisme yang sama. Untuk mendapat gelaran di pangkal nama, bertahanlah untuk 13 minggu. Selepas itu mereka akan diserbu oleh peminat, suatu yang jarang berlaku kepada ulamabiasa.
Nampaknya di negara ini semuanya diukur dengan populariti. Ada yang berfikiran karat di stesen televisyen terus teruja dengan populariti hingga isu agama pun dipetik pandangan selebriti. Padahal dalam bidangnya pun tiada kepakaran apatah lagi di luar bidang.
Sepatutnya birokrat agama perlu bersuara sejak awal-awal fenomena ‘ulama jadian’ sebelum berleluasa dan memberikan persepsi yang tidak tepat. Bukan cemburu tetapi untuk mengelak fitnah kepada agama dan ulama yang sebenar. Apabila kontroversi mengalahkan selebriti, susahlah jadinya.
Sebenarnya hanya masyarakat yang kurang bertamadun sahaja yang menatang kehadiran ulama yang dipilih dengan SMS. Masyarakat bertamadun tidak berfikiran begini. Inilah kesannya apabila sanggup menjadi hamba pada popularitiyang sama sekali bukan pembaris mengukur kualiti.
Apabila salah seorang bekas peserta program televisyen realiti dikaitkan dengan jenayah seksual baru-baru ini, banyak pula yang ‘terkejut beruk’, tidak menyangka pendakwah pun sudah begitu jadinya. Sebenarnya beruk pun terkejut apabila sesetengahnya mudah sangat dipancing dengan gelaran.
Isu perlakuan tidak bermoral boleh terjadi kepada sesiapa sahaja. Apa lagi ‘ulama’ yang sedang dalam pembikinan stesen televisyen. Tambahan pula sejak awal-awal lagi mereka diperagakan ciri-ciri yang menjurus pada selebriti. Ini satu daripada strategi pemasaran.
Peserta pula tidak sedar dan khayal dengan strategi ini. Maka tidak hairanlah hal peribadi seperti jumpa isteri baharu di depan Kaabah atau cerai isteri sedang hamil pun hendak diceritakan kepada satu dunia. Ini bukan ciri-ciri ulama.
Sebaliknya bukti mereka tidak bersedia menjadi ‘ulama tulen’ tetapi condong pada selebriti. Lalu apabila ada bekas peserta didakwa terlibat dengan jenayah seksual, bertali arus pula yang mengaitkan dengan agama. Ini fitnah kepada agama kerana dia hanya mempunyai kaitan yang sangat sedikit dengan agama.
Sepatutnya peserta program begini tidak disekutukan dengan agama.
Sesetengah peserta bukan siapa-siapa dalam konteks keahlian dan kepakaran dalam agama yang sepadan dengan gelaran. Mereka hanya disandarkan pada agama untuk memancing penonton. Inilah yang masyarakat pemuja ‘ulama segera’ tidak tahu.
Ulama tidak lahir dengan jalan pintas, mudah, dihampar permaidani dan penuh kemilau glamorous. Tidak ada. Hanya di negara kita yang sebahagian masyarakat terbius dengan budaya konsumerisme yang mencipta label agama sebagai tanda niaga.
Memilih ulama dengan undi orang ramai adalah pendekatan sekular. Sudah terbukti bahawa tinggi atau rendah ilmu agama tidak boleh diukur dengan pembaris popular. Tidak cukup itu diciptakan pula kontroversi dan sensasi untuk melonjak populariti.
Program televisyen realiti dalam bidang apa sekalipun sebenarnya membentuk kecenderungan menolak peranan ilmuwan, kepakaran dan budaya ilmu dalam masyarakat.Pendokong budaya ilmu tidak akan berbuat begini. Maka carilah sendiri istilah yang sepadan untuk menggambarkan keruntuhan yang dalam masyarakat. (Utusan Malaysia 14 Disember 2020)