Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal.

Oleh Afiezy Azaman

KUALA LUMPUR, 21 Jan – Mencuri merupakan satu kesalahan jenayah tetapi dalam keadaan tertentu seperti tekanan kehidupan seseorang itu mungkin terpaksa melakukannya demi sesuap nasi untuk keluarga.

Pada awal pagi Khamis, tindakan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal yang disiarkan secara langsung melalui laman media sosial Facebook milik Polis Daerah Petaling Jaya menyentuh hati ramai pihak.

Nik Ezanee berkata, pada Rabu, beliau menerima laporan bahawa seorang wanita ditahan pengawal keselamatan di sebuah pasar raya di Petaling Jaya kerana mencuri barangan dan ubat-ubatan kerana anaknya sakit.

“Saya berasa terpanggil untuk berjumpa dengan suri rumah ini yang tinggal di sebuah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Petaling Jaya.

“Saya percaya dia ada masalah, kalau tidak dia tidak akan buat perkara-perkara tersebut.

“Kalau kita lapar kita boleh tahan, tapi kalau anak-anak kita yang lapar, itu perkara yang tak boleh kita terima.

“Jadi saya sediakan sedikit bantuan makanan bekalan harian. Terdapat beras dan sebuah kotak berisi bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta ‘Cool Fever’ juga untuk anak wanita ini,” jelasnya.

Nik Ezanee sempat berpesan kepada wanita berkenaan sekiranya mengalami sebarang kesusahan di masa depan agar terus cekal dalam menghadapi cabaran meneruskan kehidupan sepanjang tempoh pandemik.

“Susah-susah sangat datanglah ke balai polis,” ujarnya sebelum meninggalkan kediaman wanita terbabit.

Pada masa sama, Nik Ezanee turut menyeru masyarakat untuk terus bertahan dalam suasana pandemik COVID-19 yang mencabar.

“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini sangat mencabar, ramai antara kita yang mengadu tak faham kenapa polis buat sekatan dan tutup jalan sehingga menimbulkan kesesakan dan kesusahan kepada orang ramai.

“Sebenarnya bukan tuan atau puan sahaja yang susah tetapi ada lagi yang lebih susah, dalam kita nak melawan COVID-19 ramai yang terkesan.

“Tidak kira petugas barisan hadapan atau orang awam di segenap lapisan masyarakat, jadi kita kena berkorban sedikit untuk masa depan yang lebih baik.

“Kita sama-sama bantu mana yang perlu, duduklah di rumah kerana kes COVID-19 pun masih tinggi dengan semalam (Rabu) cecah 4,008 kes,” tambahnya.

Difahamkan Nik Ezanee turut tidak mengambil sebarang tindakan lanjut terhadap wanita berkenaan melihat kepada situasi dan keadaan semasa wanita itu. – Astro Awani

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *