Oleh Dr Anuar Ahmad

Baru tiga hari  Pengajaran dan Pembelajaran Dari Rumah (PdPR) bermula, kita sudah mula mendengar keluhan dan kekecewaan dalam kalangan para ibubapa. Ada yang mendakwa guru tidak mengajar,  tetapi sekadar meminta anak-anak mereka menonton video di YouTube. 

Ada ibu bapa yang mendakwa guru tidak mengajar dengan baik. Tidak kurang juga yang berkata pengajaran melalui PdPR gagal. Beginilah. 

Tetapi biar kita berlaku adil kepada para guru. 

Pertama, tidak ada seorang pun guru di negara ini yang dilatih mengajar secara PdPR. Tidak ada. Tidak ada seorang guru pun mempunyai sijil atau ijazah pendidikan di dalam bidang pengajaran PdPR. Tidak ada.

Semua guru di negara ini dilatih mengajar secara semuka, PdPR adalah suatu yang baharu dan perlu diberi masa untuk memantapkannya (Gambar hiasan Utusan Malaysia)

Semua guru di negara ini dilatih sebagai guru yang mengajar secara bersemuka di dalam bilik darjah. PdPR adalah pengalaman pertama  kepada semua guru. Jadi tidak adil mendakwa guru tidak cekap mengajar dalam PdPR. Pandemik Covid19 pengalaman pertama  kepada semua orang. 

Kedua, dalam mana-mana kerjaya profesional, kita membenarkan mereka yang ahli menguruskan proses dan kita menerima hasilnya. Doktor melakukan proses pembedahan, waris menunggu hasilnya di luar bilik bedah. 

Jurutera menguruskan proses pembinaan bangunan, setelah siap hasilnya akan diserahkan pada pemilik bangunan. 

Seorang tukang masak di hotel memasak makanan di dapur, hasilnya makanan yang tersedia dihidangkan pada pelanggan. 

Penulis menulis novel, hasil akhir sebuah novel yang dibaca oleh para pembaca. Jangan harap kita dapat baca sebelum  novel  itu disiapkan oleh penulisnya.

Cuba bayangkan kalau waris turut berada dalam bilik bedah memerhati dan menilai kerja doktor pakar yang sedang membedah. Mahu meraung dibuatnya  apabila melihat orang yang kita sayang dibedah. 

Tapi itu proses. Kalau kita bukan ahlinya, kita tidak akan faham. Sekiranya proses hendak dinilai maka mestilah juga dari ahlinya. Begitulah sifatnya. Proses diuruskan oleh ahlinya. Manakala hasil dinikmatinya oleh penerimanya.

Tetapi dalam proses PdPR, guru bukan sahaja terpaksa menguruskan 40 pelajar dalam talian tetapi juga diperhatikan dan dinilai setiap saat oleh para ibu bapa yang ikut sertai proses PdPR.

Bayangkan setiap saat guru diperhatikan oleh para ibubapa sepanjang PdPR berjalan. Itu belum lagi bab ada ibubapa yang mengambil video dan merakam PdPR para guru. 

Tidak mudah untuk menjalankan pengajaran dalam talian dengan 40 orang pelajar (apalagi pelajar sekolah rendah) yang turut disertai oleh para ibu bapa. Sangat-sangat sukar. Kalau tidak percaya, anda boleh mencuba sendiri.

Sebab itu ibubapa kena beri masa dan sedikit ruang untuk para guru sesuaikan diri dengan PdPR. Guru di Malaysia telah dibuktikan mempunyai komitmen yang tinggi. Kajian dari Universiti Cambridge telah membuktikan nya. https://bit.ly/37dYGUd 

Tetapi mereka memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran PdPR. Mereka perlu masa untuk bangunkan bahan pengajaran dan peralatan bantuan mengajar. 

Kesabaran dan sokongan para ibubapa akan banyak membantu menguatkan semangat para guru. Semakin kuat semangat para guru, semakin cepat mereka menyesuaikan diri dan semakin cepat anak-anak kita dapat belajar dengan berkesan melalui PdPR. 

Satu sahaja yang perlu ibubapa lakukan sekarang, bersabar. Berikan sedikit ruang untuk guru sesuaikan diri. 

Takkanlah pagi ini kita bungkus tapai, petang sudah hendak  makan. Tunggulah ragi buat kerjanya  dulu.

https://bit.ly/2MdYMmA

  • DR ANUAR AHMAD adalah ahli akademik dan tulisan ini kali pertama disiarkan di laman FB beliau.
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *