Cara hidup pengamal LGBT sentiasa bertentangan dengan nilai agama dan budaya semua kaum. (Gambar hiasan)

Oleh Ku Seman Ku Hussain

BANYAK suara yang kuat mempertahankan Lesbians Biseksual Gay dan Trangender (LGBT) di negara ini datangnya daripada Melayu Islam. Kenapa Melayu Islam?  Kenapa tidak Cina Kristian, India Kristian, Cina Buddha atau lain-lain yang bukan Melayu Islam? 

Sekali lagi, kenapa Melayu Islam? Sebenarnya ini adalah strategi yang  sangat terancang. Melayu Islam ditolak ke depan untuk menjawab keresahan Melayu Islam lain bukan kebetulan.

Hanya yang ‘hard disc’  (pemikiran)  sudah korup sahaja yang menganggap itu satu kebetulan.  Selebih itu  mereka terus bersangka baik. Perjuangan LGBT untuk  mengiktirafkan kesongsangan digerak mengikut perancangan. Kita yang hendak menentang perlu ada wacana bertentang (counter discouse) yang tidak emosional.

Meletakkan Melayu Islam di barisan depan sebagai pejuang hak asasi adalah sebahagian perancangan pejuang LGBT peringkat global. Islam menolak cara hidup LGBT  tetapi  dulu ada menteri berkata, “Tidak semua LGBT membuat hubngan songsang.”  Walaupun hendak mengambil hati LGBT, hujah itu sangat naif.

Apabila Melayu Islam berada di barisan depan  dan lantang mempertahankan  hak asasi LGBT,  sedikit sebanyak memberi kesan kepada  masyarakat Melayu Islam  bahawa ‘tidak semua’ daripada golongan ini merosakkan. Terbit persepsi itu pun suatu kejayaan yang besar.

Oleh hal yang demikian, secara psikologi ini memberikan persepsi bahawa banyak Melayu Islam menjadi LGBT.  Malah mereka juga manusia,  demikian persepsi sesetengah  Melayu  Islam seakan-akan memujuk. Kemudian  bisik  Melayu Islam  liberal yang perasan sudah sangat maju,  “Biarkanlah inikan kemodenan.”

Demikianlah  agenda normalisasi LGBT.  Propaganda, pujukan dan pesanan-pesanan lembut  digerakkan supaya menggunakan  neraca kemanusiaan  terhadap LGBT.  Matlamatnya untuk menjadikan cara hidup golongan ini tidak dilihat songsang daripada tanda aras budaya dan agama Islam. 

Baru-baru ini Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam),  Ahmad Marzuk Shaary berkata, Akta 355 akan dipinda untuk menambah hukuman yang sedia ada terhadap kesalahan disabitkan dengan LGBT.

Kenyataannya sangat jelas –  menekankan kegiatan LGBT.  Maknanya cara hidup LGBT yang bertentangan dengan Islam itu satu kesalahan. Tetapi ada pejuang (sebenarnya budak suruhan  LGBT sahaja)  daripada Melayu Islam meloncat dan  berpencak silat menyanggah  kononnya kenyataan itu melanggar hak asasi dan  ‘tidak berperikemanusiaan.’

Apabila aktivis hak asasi  itu memperjuangkan hak golongan LGBT supaya boleh mengamal dan mempromosikan cara hidup bertentangan dengan Islam,   bagaimana pula  dengan hak majoriti masyarakat rakyat yang menolak cara hidup yang merosakkan  itu?

Buku After The Ball: How America Will Conquer Its Fear & Hatred of Gay in the 90s.

Kita wajar sedar bahawa memberi hak kepada golongan ini  bermakna mengambil hak majoriti masyarakat yang mahu kehidupan berkeluarga mengikut lunas budaya dan agama. LGBT membawa cara hidup yang bertentangan institusi keluarga. 

Apabila ada perkara yang berkaitan golongan ini,   ada sahaja  ‘budak suruhan’  terdiri daripada Melayu Islam yang menyambut dan berhujah di sudut hak asasi.  Jangan terkejut, ini adalah salah satu daripada agenda normalisasi LGBT.  

Sedikit sebanyak agenda ini mencapai kejayaan apabila seorang  lagi menteri ‘kerajaan 22 bulan’  mengatakan, LGBT ada hak di negara ini, asalkan tidak mengamalkan cara hidup secara terbuka. Terlalu besar implikasi kenyataan ini dalam konteks mengekang LGBT.

Soalan saya kepada menteri itu,  bagaimana dengan ‘kawaq’ (pencuri)  yang  mencuri dalam gelap dan tidak kelihatan oleh sesiapa?  Adakah perbuatan ini dibolehkan kerana tidak dilakukan secara terbuka? Realitinya kawaq itu pasti dihukum sekiranya didapati bersalah, tidak kira dalam keadaan terbuka atau tertutup.

Adakah percubaan membina persepsi positif  kepada LGBT  akan memberikan keuntungan politik kepada individu dan pihak tertentu?  Ya, mengapa tidak?  Politikus  yang tikus akan pancing siapa sahaja, apa lagi statistik menunjukkan tidak kurang 310,000 pengamal LGBT di negara ini. Banyak undi ada di situ.

Kenyataan oleh penguasa seperti ini sangat membantu pelestarian LGBT.  Inilah yang diperjuangkan dan secara tidak langsung sudah mendapat pengiktirafan walaupun tidak di segi undang-undang. Sudah pasti keratan akhbar menteri  dijaja untuk mempengaruhi pemikiran pembuat dasar.

Ironinya bekas Perdana Menteri Britain, Margaret Thatcher pada 1987  dengan tegas berkata, “Kanak-kanak sepatutnya diajar menghormati nilai-nilai tradisi, bukannya  tentang hak mereka untuk menjadi  LGBT.”

Kenyataan berani itu dibuat oleh pemimpin sebuah negara Barat ketika pandemik  HIV dan AIDS dikesan berkait rapat dengan kegiatan seksual songsang pengamal LGBT. Lanjutan daripada itu Akta Kerajaan Tempatan Britain digubal dengan melarang promosi homoseksual sebagai satu  amalan yang selari dengan nilai hidup masyarakat.

Ketegasan  Margaret Thather mendorong neuro psikologis, Marshall Kirk dan eksekutif iklan, Hunter Madsen, kedua-duanya pendokong LGBT  menyerang balas dalam buku mereka, After The Ball: How America Will Conquer Its Fear and Hatred of Gay in the 90s.

Mereka menyerang balas dengan wacana psikologi dan penuh strategi. Mereka melawan  api dengan air, mengapungkan  ‘nilai-nilai murni’  LGBT  untuk menawan lebih  banyak dalam kalangan masyarakat menjadi pendokong dan pengamal LGBT.

Antara strategi memperkukuhkan kedudukan LGBT dekad 1990-an ialah secara berterusan membicarakan topik LGBT dengan yakin dan lantang.  Strategi ini juga diamalkan di Malaysia, dalam apa juga keadaan topik LGBT terus diangkat dan diwacanakan oleh  pseudo akademia dan tokoh-tokoh yang berkepentingan.

Kemudian, berterusan memberikan gambaran bahawa pengamal LGBT menjadi mangsa kepada sistem sosial yang menolak cara hidup golongan songsang ini.  Reaksi yang diberikan terhadap kenyataan Timbaan Menteri itu bertujuan memperlihatkan LGBT sentiasa menjadi mangsa. 

‘Kerajaan 22 bulan’ yang mengambil pendekatan ‘mesra’ terhadap LGBT  dengan bertenggek atas  manipulasi konsep Rahmatan Lil Alamin telah memberi nyawa kepada pendokong dan pejuang cara hidup songsang ini.  Kononnya LGBT tidak wajar disisih tetapi didekati untuk mengembalikan mereka ke pangkal jalan.

Bagaimanapun hasilnya terus condong kepada LGBT,  sikap bertolak ansur ‘kerajaan 22 bulan’  ternyata ditolak beransur-ansur supaya selari dengan agenda golongan ini. Secara beransur-ansur juga hak masyarakat diambil LGBT sudah berada dalam arus perdana.

Maka tidak hairanlah golongan ini menyerang semua institusi Islam terutama badan penguatkuasa seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan jabatan-jabatan agama Islam di negeri-negeri. Sesetengah media pula turut mempromosi LGBT. Agenda normalisasi berjalan seperti yang dirancang.

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *