Gambar hiasan

Oleh Ku Seman Ku Hussain

DARIPADA populasi 31.83 juta orang,  sebanyak 74 peratus atau 24 juta  orang penduduk negara ini mempunyai akaun media sosial adalah suatu jumlah yang besar.  Angka ini juga kelihatan selari dengan kadar penembusan Internet sebanyak 79 peratus atau 25 juta orang pengguna. Secara purata pengguna Internet menghabiskan lima jam sehari di media sosial.

Angka-angka di atas menunjukkan media sosial muncul sebagai kuasa baharu yang membentuk  persepsi khalayak terhadap banyak perkara dalam kehidupan. Walaupun ternyata bukan sumber maklumat, tetapi sebahagian besar tetap merujuk  media sosial untuk mendapatkan ‘kesahihan.’

Dalam fenomena semasa,  organisasi media berdepan dengan cabaran baharu iaitu media sosial kerana lebih dipercayai   sekalipun wibawa dan akurasi   amat dicurigai.   Sebahagian besar dalam kalangan pemilik akaun media sosial memilih  sesuatu yang disukai, bukan yang benar.

Semua ini menunjukkan kebergantungan pada media sosial sangat tinggi.  Bayangkan untuk menilai individu atau  sesebuah institusi pun  menggunakan neraca media sosial sebagai tanda arasnya.  Institusi yang tidak sohor kini  (trending) di media sosial dianggap tidak ‘buat kerja’.

Ebit Lew mendakwa dia dilarang berdakwah dan menyampaikan bantuan di pulau-pulau timur Sabah. (Gambar Facebook Ebit Lew)

Salah satu contoh yang berlaku seminggu dua ini berikutan Ebit Lew mengislamkan dan menghulurkan bantuan kepada keluarga miskin di timur Sabah.  Kita mengalu-alukan kerja amal Ebit Lew.  Tetapi dalam kalangan yang diperhambakan media sosial menafikan kerja-kerja yang sama telah dilakukan oleh institusi agama berpuluh tahun sebelum ini.

Disebabkan kehidupan sebahagian besar daripada kita ditentukan oleh media sosial,  banyak yang mengecam institusi agama kononnya tidak membuat kerja. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Sabah  antara yang menjadi sasaran kerana ‘tidak buat kerja.’

Justifikasi ‘tidak buat kerja’ itu bersandarkan apa?  Media sosial, jawabnya. Kalau dikatakan  ‘meletak’ otak bukan pada tempatnya,  mereka akan marah kononnya dihina.  Tetapi kelakuan yang ditunjukkan  membenarkan kata-kata itu. 

Faktanya berpuluh tahun institusi agama ini melakukan tanggungjawab di kawasan berkenaan. Tetapi yang melekat di fikiran hamba-hamba media sosial ialah ‘Ebit Lew mengislamkan satu kampung.’  Memang bagus sangat kerja-kerja amal Ebit Lew tetapi fakta tetap fakta.

Masyarakat mengukur Ebit Lew  dan institusi agama yang sudah berpuluh-puluh tahun menjalankan tanggungjawab daripada  neraca media sosial.  Sudah tentu  ‘ebit lew’  menjadi kata kunci yang dominan dalam enjin carian di media sosial.  

Kata kunci ‘jakim’ atau ‘jabatan agama’  mungkin sangat sedikit  kerana Jakim tidak beriya-iya membawa kru membuat rakaman dan dimuatkan di media sosial. Sebenarnya tidak perlu dimuatkan di media sosial pun kecuali ada tujuan lain.

Maka Jakim dan Jabatan Agama Islam Sabah terhukum apabila mengguna pakai  dapatan daripada neraca media sosial.  Masyarakat  yang menjadi hamba media sosial pun menyimpulkan institusi agama tidak menjalankan kerja mereka.  Siapa yang berkata begitu?  Sudah tentu sukatan yang dipampangkan di media sosial menjadi buktinya. 

Antara institusi agama dengan individu mungkin mempunyai matlamat yang berbeza.  Hanya yang berfikiran kritikal dan analitikal sahaja yang nampak perbezaan ini.  Sebab itu berfikirlah di luar kepompong media sosial. Melihat sahaja tidak cukup, mesti berfikir. Letak otak di tempat yang betul.

Matlamat institusi agama menjurus kepada sasaran –  sebahagian besar penduduk di kawasan itu menganut Islam dan mendapat bantuan yang selayaknya.  Meuar-uarkan ‘satu dunia’  tentang kerja baik itu bukanlah matlamatnya. Lagi pun kad kemajuan  institusi agama ini tidak  perlu dihebahkan di media sosial.

Tanpa menafikan sumbangan Ebit Lew, kita wajar berlaku adil kepada institusi agama yang bekerja dengan tidak mengharapkan publisiti.  Apabila Ebit Lew datang bersama-sama kru penggambaran, itu cara dia. Maka dalam kalangan kita yang berakal ukurlah mengikut necara yang betul.

Advertisement

Bagaimanapun disebabkan sesetengah daripada  ‘orang kita’  sudah  bergantung sepenuhnya dengan media sosial,  hanya yang menjadi  sohor kini  sahaja yang memagut perhatian.  Maka dianggapnya tidak ada kebenaran lain selain di media sosial.

Sekarang  kalau hendak mengundang penceramah agama pun kena merujuk popularitinya di Facebook atau Instagram.  Kalau penceramah yang pengikutnya berjuta-juta di Instagram,  peluang adalah lebih besar.  Hal-hal berkaitan kualiti dan nilai sudah secara perlahan-lahan dikemudiankan dan akhirnya tidak diperlukan.

Padahal  kualiti dan populariti adalah dua hal yang berbeza. Walaupun ada memiliki kedua-duanya tetapi yang banyaknya hanya salah satu – sama ada kualiti atau populariti.  Bayangkan keruntuhan yang akan berlaku dalam masyarakat yang menolak kualiti sebagai terasnya.

Saya pernah bertanya kepada seorang pengarah drama,  kenapa beliau mengambil pelakon yang macam ‘batang pisang’  hanya tersengeh-sengeh dan tergedik ke sana dan ke sini berlakon dalam drama arahannya.   Sepatutnya pelakon itu sekadar lintas depan kamera sahaja bukan memegang watak utama.

Jawapan yang diberikan sangat mengejutkan,  pelakon berkenaan dipilih oleh stesen televisyen  dan bayaran berganda berbanding yang lain kerana mempunyai berjuta pengikut di Instagram.  Pada masa yang sama sangat sohor kini di Facebook.   Saya terkejut bagai hendak pengsan. Hanya masyarakat yang mundur  sahaja yang masih menyekutukan kualiti dengan populariti.

Lebih parah lagi media sosial kini sudah menabalkan wiranya sendiri yang disebut ‘influencer’.  Kriteria menjadi  ‘influencer’ pula hanya bersandarkan sensasi dan kontroversi,  hampir tidak ada yang berdiri atas wibawa pemikiran sebagai terasnya.

Di negara kita juga, sekali ‘influencer’ ini terbatuk seolah-olah bergoyang pasaran sahan di Bursa Kuala Lumpur. Menjadi begitu hiruk pikuk sekali dan tular di sana sini.  Ini menjadi topik yang sohor kini  di media sosial dan kita yang ketinggalan boleh dianggap satu menuju kekolotan.

Berdirinya empayar media sosial bererti secara perlahan-lahan runtuhnya nilai  yang menjadi pendiri tamadun bangsa.  Tamadun berdiri dengan ketinggian nilai intelektual dan budaya, empayar media sosial  berdiri dengan angka-angka penyukat popular. 

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *