Vaksin bukan satu-satunya yang dapat mengatasi Covid-19. (Gambar Berita Harian)

Oleh Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah

PELBAGAI isu timbul tatkala Malaysia menunggu ketibaan bekalan vaksin Covid-19 yang dijangka pada bulan hadapan.

Malaysia akan menerima bekalan vaksin Covid-19 menerusi perjanjian dengan syarikat farmaseutikal dari United Kingdom, AstraZaneca dan syarikat Pfizer dari Amerika Syarikat.

Biarpun kita sudah hampir pasti akan mendapat bekalan vaksin Covid-19 dalam tempoh terdekat ini menerusi perjanjian dua hala itu bagi membendung penularan pandemik, ‘suara-suara sumbang’ ini dilihat seolah-olah mempertikaikan keberkesanan vaksin dan kerajaan biarpun ia dilihat sebagai satu langkah terbaik di dalam situasi global yang penuh mencabar ini.

Persoalannya, adakah vaksin dapat menamatkan pandemik Covid-19?

Menurut Pakar Perubatan Dalaman Hospital Pakar KPJ Johor, Dato’ Dr. M Singaraveloo, menggunakan vaksin sahaja tidak dapat mengatasi wabak Covid-19.

“Kita mesti sentiasa menggunakan cara dan kaedah yang sedia ada untuk menghentikan daripada penyebaran virus. itu, kita juga mesti sentiasa mengamalkan penjarakan sosial. Elakkan perhimpunan ramai dan upacara yang tidak perlu walaupun di kalangan ahli keluarga terdekat.

Dr.M Singaraveloo

“Kita mesti melindungi permukaan muka kita dari virus kerana muka adalah bahagian yang penting dalam tubuh badan kerana virus boleh melalui dan merebak ke badan kita. Mata, hidung dan mulut bertindak sebagai laluan untuk virus memasuki badan kita. Topeng dan pelindung muka adalah cara yang terbaik untuk melindungi daripada virus Covid-19,” jelasnya.

Tambah beliau, vaksin sahaja tidak mencukupi kerana kita masih tidak pasti daya tahan perlindungan vaksin tersebut serta memberi antibodi yang mencukupi meskipun diberikan dua kali suntikan vaksin.

Ini kerana ia memerlukan masa untuk diketahui. Selain itu, kita perlu yakin dan ingat bagaimana untuk melindungi diri kita daripada beberapa penyakit berjangkit, sebahagiannya kita telah hampir berjaya mengawal seperti penyakit cacar (small pox) dan virus polio.

“Kita juga mempunyai banyak vaksin lain yang telah mengelakkan daripada kematian dan morbiditi pada bayi dan kanak-kanak seperti polio, tuberculosis, whooping cough, tetanus, hemophilus influenza, hepatitis A & B, Diphtheria, Chicken pox, Herpes Zoster, MR (Measles, Mumps, Rubella). Kita akan sentiasa memberi kerjasama sepenuhnya serta berharap vaksin yang akan diterima dan dilancarkan tidak lama lagi berjaya seterusnya dapat mengawal penyebaran virus Covid-19 di Malaysia,” katanya.

Mengulas tentang keselamatan vaksin yang digunakan, Dr. . M Singaraveloo menjelaskan, kesemua vaksin telah diuji keberkesanan dan kesan-kesan sampingan sebelum ia diluluskan oleh penilaian badan saintifik yang dikhususkan dalam membangunkan vaksin ini.

Kajian yang meluas telah dilakukan sebelum ia diberikan kepada orang ramai. Tambahan pula, kesan sampingan yang kecil seperti lengan sakit, kemerahan, demam adalah perkara biasa dan kesan sampingannya jarang berlaku. Kepentingan vaksin adalah lebih besar daripada risiko.

Makanan sunah mampu melawan Covid-19?

Makanan sunah yang lazim didengar termasuklah kurma, buah tin dan delima. Ia juga boleh didapati dalam bentuk cecair seperti jus, minyak zaitun dan madu.

Bagaimanapun, harus diingat bahawa makanan sedemikian bukanlah untuk digunakan sebagai kaedah rawatan utama kepada sesuatu penyakit. Sebagai contoh, kurma mempunyai kadar gula yang tinggi. Jika diambil secara berlebihan, ia akan menyebabkan paras gula dalam darah meningkat.

Selain itu, buah-buahan kering yang diproses agar tahan lama pula secara umumnya mengandungi kadar garam potasium (kalium) yang tinggi sekali gus boleh membahayakan pesakit yang menghidap masalah kegagalan buah pinggang atau rentak jantung tidak sekata.

“Pengambilan produk makanan tambahan termasuk makanan sunah tanpa mengira aspek jumlah dan cara pengambilan tidak dapat membantu menambah baik kualiti tahap kesihatan.

“Masyarakat disaran untuk mengamalkan langkah pencegahan seperti aspek kebersihan diri dan vaksinasi. Namun, terdapat segelintir yang berpandangan tiada kepentingan dalam pengambilan vaksin sama ada sebagai langkah pencegahan mahu pun tindakan rawatan selepas dijangkiti. 

Golongan ini mempunyai persepsi bahawa amalan mengambil makanan sunah mampu mengelakkan gejala penyakit terus merebak dan menolak vaksin,”ujarnya.

Beliau berpendapat, tidak dapat dinafikan dengan ketersediaan asas bukti saintifik, makanan sunah menunjukkan manfaat yang banyak kepada kesihatan manusia. Kesemua manfaat ini dapat diperoleh dengan lebih baik daripada makanan sunah secara asli berbanding produk makanan tambahan berasaskan makanan sunah.

Dalam pada itu, mengutamakan pengambilan produk makanan sunah antara faktor keengganan para pesakit menjalani rawatan pemulihan serta melengahkan proses mendapatkan bantuan daripada doktor yang bertauliah. Bahkan jauh lebih ekstrem, terdapat pesakit yang memberhentikan ubatan moden yang dipreskripsikan oleh doktor kerana memilih produk makanan sunah.

Hal ini kerana golongan tersebut merasakan makanan tambahan dan produk makanan sunah lebih selamat dan boleh menggantikan ubatan moden dalam merawat penyakit.

“Persepsi dan salah faham dalam masyarakat pada hari ini harus diperbetulkan dengan kesedaran dan pemahaman yang lebih jelas tentang konsep makanan sunah, amalan pemakanan dan konsep usaha dalam penjagaan kesihatan dan perawatan penyakit,” jelasnya. – BEBASNEWS

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *