Kissinger, manusia serigala pembunuh manusia.

Oleh Ku Seman Ku Hussain

KETIKA mendakap usia ke 100 tahun pada Mei lalu,  Henry Kissinger telah melihat sendiri kesan kemusnahan daripada dasarnya yang gagal di segenap penjuru dunia. Usia yang panjang itu hanya penuh dengan kecaman terutama oleh rakyat negara-negara  yang dihancurkan  oleh dasar luar Amerika Syarikat (AS).

Hutang nyawa kerana pembunuhan beramai-ramai oleh dasar AS di negara lain tidak terbayar. Berjuta-juta nyawa orang awam dikorbankan hanya untuk mempertahankan pengaruh AS di pentas geopolitik dunia. Kissinger perlu bertangungjawab atas semua itu.

Dari Indocina, Chile hingga ke Asia Barat – kesan daripada dasar yang kejam itu tidak mudah dipadamkan. Maka dia yang berusia lanjut itu  yang lebih diingati sebagai penjenayah perang. Gelaran itu tidak pernah berubah sekalipun dikatakan sebagai satu-satunya diplomat AS yang paling berpengaruh era Perang Dingin.

Kissinger,  seorang yang berbangsa Yahudi terselamat daripada holocaust rejim Nazi, Bekas Setiausaha Negara dan Penasihat Keselamatan AS era Presiden Richaed Nixon telah menutup usia 100 tahun tujuh bulan pada 29 November lalu.

Kematian itu mengungkapkan kembali kemarahan dan kebencian terhdap dasar-dasar luarnya yang bukan sahaja gagal, malah mewariskan kerosakan berpanjangan di banyak negara. Dia hilang penghormatan daripada masyarakat dunia yang mendokong kemanusiaan.

Dilahirkan pada 27 Mei 1923 sebagai Heinz Alfred Kissinger di Desa Fuerth, Jerman, Kissinger nak daripada keluarga terpelajar. Ayahnya seorang guru sejarah dan geografi, sementara ibunya daripada keluarga Yahudi yang kaya.

Ketika Hitler berkuasa di Jerman tahun 1938, keluarga Kisingger membawa dia melarikan diri ke London kemudian ke New York. Hidupnya sebagai Yahudi, satu bangsa yang hina penuh dengan kepahitan yang sepatutnya menebalkan rasa kemanusiaannya.

Presiden Richard Nixon (kiri) dan Kissinger  di White House, Washington pada 11 Jun 1973. (Kredit gambar: Jim Palmer / AP)

Akan tetapi berbeza dengan Kissinger. Dia tidak pernah melihat sejarah lampau bangsa dan dirinya sebagai Yahudi yang mahu dihapuskan di dunia.

Dia ikut melakukan pembunuhan  beramai-ramai di negara lain untuk mengekalkan pengaruh AS.  Dan tidak ada bezanya dengan Nazi yang  melakukan pembersihan etnik Yahudi pada Perang Dunia Pertama.

Hal itu membuatkan sisi putihnya sangat menyulitkan ditemukan, malah hampir tidak ada. Dia amat terkenal dengan jiwa yang hitam –  seorang manusia yang sangat tidak berperikemanusiaan.

Sebagai Penasihat Keselamatan bawah pentadbiran Nixon, Kissinger telah membunuh berjuta-juta orang awam di Vietnam, Kembija dam Laos sepanjang 1969 hingga 1973. Malah dengan sengaja mensasarkan orang awam untuk memberi tekanan kepada pemimpin tempatan yang hendak dijatuhkan.

Prinsip politiknya sering disebut sebagai menghalalkan segala cara demi mencapai tujuan mengekalkan pengaruh AS. Dia juga selalu membelakangkan undang-undang antarabangsa kerana lebih mementingkan matlamat yang boleh dicapai dengan mudah melalui kekejaman.

Bayangkan di tiga negara Indocina itu sahaja,  tentera AS dengan arahan Kissinger menggugurkan tidak kurang enam juta tan bom dengan pesawat pengebom B-25. Secara perbandingan bom yang menghancurkan ketiga-tiga negara itu adalah dua kali ganda  lebih besar daripada yang digugurkan di Eropah dan Asia dalam Perang Dunia Kedua.

Advertisement

Di Laos sahaja tidak kurang dua juta tan bom sementara di Kemboja pula lebih setengah juta tan. Bayangkan kesan kemusnahan darpada bom yang bagiu banyak berbanding saiz negara yang pada relatifnya kecil.

Semua itu berlaku selepas Nixon menjadi Presiden tahun 1968 dan berjanji mahu menamatkan perang di Vietnam.  Tetapi Nixon menghadapi masalah kerana tentera dari Vietnam Utara yang bersempadan Kemboja mengalir ke selatan

Untuk mengatasi masalah ini, Nixon secara mendadak meningkatkan kempen pengeboman di Kemboja kemudian menceroboh negara itu bertujuan menyekat laluan Vietnam Utara. Kissinger bersetuju dengan rancangan Nixon dan pembunuhan beramai-ramai pun bermula dan dikenali sebagai pengeboman permaidani (carpet bombing)).

Secara rahsia dan tanpa pengetahuan Kongres  Nixon dan Kissinger  mengarahkan  lebih 3,000 serbuan dan menggugurkan lebih setengah juta tan bom di Kemboja. Padahal awalnya Kemboja tidak terlibat dengan perang di Vietnam.

Kissinger mengarahkan, “Bunuh sahaja segala sesuatu yang bergerak di darat dan terbang di ruang udara Kemboja.”  Itulah antara pembunuhan beramai-ramai termasuk wanita dan kanak-kanak yang dilakukannya,  tetapi tidak pernah dibawa ke pengadilan.

Bagaimanapun Kissinger menanggung malu apabila AS mengalami kekalahan teruk di Vietnam.  Kissinger mengarahkan penggunaan senjata kimia, Orange Agent pada saat-saat akhir tentera AS di negara itu. Kesanya mengakibatkan kematian dan kecacatan kekal. Tidak sahaja mencederakan bayi yang dikandung, ketika itu  tetapi kesan itu hingga kepada beberapa generasi selepas itu.

Kissinger juga menjadi dalang penting rampasan kuasa di Chile pada 1973. AS secara rahsia menyokong rampasan kuasa untuk menjatuhkan Presiden Salvador Allende yang berfahaman sosialis dan menaikkan diktator Augusto Pinochet.

Rejim Pinochet membunuh berpuluh ribu orang awam, selain berpuluh ribu lagi menjadi mangsa penyeksaan sepanjang 16 tahun pemerintahannya. Stadium kebangsaan Estadio Nacional de Chile dijadikan kem tahanan untuk menyeksa dan membunuh orang awam yang cuba menentangnya.

Kejahatan seolah-olah sebati dengan dirinya. Kissinger juga membantu pemimpin diktator Pakistan, Yahya Khan yang dikenali sebagai ketua arkitek pembunuhan beramai-ramai di Bangladesh. Menurut laporan, Yahya Khan telah melakukan penyembelihan besar-besaran terhadap hampir tiga juta orang awam.

Di sebalik semua kejahatan yang dilakukan itu, Kissinger dianugerahkan Hadiah Nobel Keamanan pada 1973. Sungguh ironi anugerah keamanan itu diberikan kepada manusia serigala yang membunuh berjuta-juta nyawa. Ternyata Hadiah Nobel sudah tidak bernilai dan dipercayai, kecuali oleh masyarakat di negara-negara bekas tanah jajahan yang mundur pemikirannya.

Sekalipun sudah tidak lagi berada dalam kerajaan, Kissinger tidak terus meninggalkan penguasaannya terhadap dasar luar dan geopolitik. Dia menubuhkan firma perunding geopolitik, Kissinger Assiciates yang sangat berpengaruh.

Dalam sejarah, Kissinger akan tetap diingati penjenayah perang yang terus diraikan di negara yang kononnya mendokong perjuangan hak asasi manusia. Kissinger membuktikan AS sebenarnya tidak mendokong ada hak asasi manusia dan demokrasi. Kedua-dua perkara itu dilanggar dengan sewenang-wenangnya demi mengekalkan pengaruh di pentas dunia. – KAYANG POST

 

 

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *