Restoran Vkusno & Tochka dijenamakan daripada McDonald di Rusia.

Oleh Ku Seman Ku Hussain

KEMPEN boikot jenama makanan segera yang didakwa menyokong rejim zionis Israel tidak boleh terhenti di situ sahaja. Sebaliknya kempen itu mesti menjadi pemula langkah patriotik dalam membangunkan jenama tempatan untuk pasaran setempat dan antarabangsa.

Boikot adalah salah satu cara menunjuk rasa – memprotes kekejaman rejim zionis yang melakukan pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin. Sifatnya selalu tidak lama sehingga berlaku kejadian serupa masa depan.

Sekalipun begitu melakukan tunjuk rasa itu penting untuk memperlihatkan kebersatuan manusia yang cintakan keamanan. Kempen boikot memberikan kesan yang besar misalnya BDS (Boycott, Divestment, Santion) yang digerakkan di seluruh dunia sejak 20 tahun lalu.

Tetapi tidak berjaya di semua negara – Malaysia misalnya hanya sudah suam-suam kuku. Semuanya meledak  pada peringkat awal itu tidak lebih sentimen semasa sahaja.

Selepas isu keganasan zionis Israel menjadi sejuk, kempen boikot pun ‘ke laut.’  Malah berduyun-duyun  pula yang menghurung jenama restoran yang dulunya diboikot.

Kempen boikot sepatutnya disusuli langkah yang lebih patriotik ke arah tindakan yang lebih besar. Kalau perkara itu dilakukan barulah ada matlamat yang lebih jelas dan tidaklah berulang kali boikot yang setengah masak.

Kalau itu dilakukan  tidak adalah yang memberi pandangan sejengkal –  boikot menjejskan anak muda tempatan mencari rezeki di  jenama restoran  berkenaan.  Kemudian disogok pula oleh berita syarikat tempatan yang membeli jenama itu pun bayar zakat.

Sebenarnya tulisan ini bukan mengenai boikot. Biarlah boikot dengan ceritanya yang tersendiri. Lagi pula banyak sangat yang tidak faham langkah itu.

Suatu yang penting , sekiranya ada keazaman tinggi, syarikat tempatan mempunyai kemampuan mengambil alih perniagaan restoran jenama berkenaan di negara ini.  Mereka telah membuktikan kemampuan disudut kewangan dan kemahiran mengoperasikan rangkaian restoran makanan segera.

Saya suka melihat pengalaman Rusia berdepan dengan kerenah pemilik jenama restoran makanan segera McDonald. Ketika  meletusnya perang Ukraine Mac lalu, pemilik McDonald di Amerika Syarikat (AS) membuat keputusan berbau politik.

Restoran Vkusno & Tochka mengekalkan resipi McDonald tetapi dijual dengan harga lebih murah.

Mereka menghentikan operasi di semua rangkaian restoran McDonald tanpa sebab,  melainkan sebagai protes terhadap Rusia yang menyerang Ukraine.

McDonald membawa lambang AS  dan  kemasukkan ke Rusia juga adalah satu tindak balas geopolitik  dan keterbukaan pasca Perang Dingin serentak dengan runtuhnya Kesatuan Soviet  tahun 1989. Kemudian diikuti runtuhnya negara-negara blok komunis di Eropah Timur.

Ternyata McDonald bukan saja-saja berada di Rusia. Masuknya McDonald’s ke Rusia telah memunculkan teori politik The Golden Arches oleh ahli ekonomi Thomas Friedman. Dia menyatakan, apabila dua negara mempunyai restoran McDonald dalamnya, mereka  tidak akan berperang.

Hal itu disebabkan McDonald adalah baharu AS di merata dunia. Negara yang ada restoran McDonald adalah bawah pengaruh AS. Sebab itulah McDonald menjadi sasaran  kempen BDS di seluruh dunia sebaik sahaja zionis Israel menyerang Gaza Oktober lalu.

Profesor Bernad Kaussler dari James Madison University di AS pernah menyebut bahawa keberadaan McDonald di Rusia adalah satu tanda aras saling kebergantungan antara AS dan Rusia. Bagaimanapun kebergantungan itu tidak berpanjangan.

Sebaik sahaja Rusia menyerang Ukraine pada Mac lalu, pemilik McDonald di AS mengarahkan 900 rangkaian restoran itu di Rusia menghentikan operasi buat sementara waktu. Itu adalah satu tindakan politik – memprotes Rusia menyerang Ukraine yang mendapat sokongan AS.

McDonald tidak hanya masuk sebagai perniagaan, masa yang sama membawa misi AS yang lain.  Begitu juga dengan Starbucks yang menjadi lambang AS  telah mengambil langkah menutup 130 restorannya di Rusia.

Alexander Govor pemilik McDonald di Rusia.
Advertisement

Semua restoran McDonald di Rusia dimiliki oleh usahawan tempatan, Alexander Govor yang membeli lesen daripada pemilik jenama asal di AS. Tindakan menutup sementara operasi restoran itu membuatkan Govor  terpaksa menanggung kerugian AS$59 juta sebulan.

Dia perlu terus membayar gaji 62,000 pekerja dan sewa premis. Pekerja tidak diberhentikan kerana penutupan itu hanya sementara, akan tetapi tidak nampak tanda-tanda untuk beroperasi semula. McDonald sememangnya mahu menghentikan jenama itu di Rusia.

Govor mempunyai pengalaman mengoperasikan 900 rangkaian restoran McDonald, sumber kewangan yang cukup dan mempunyai pekerja yang sudah mahir dalam bidang masing-masing.

Untuk apa Govor menghabiskan wang sebanyak itu semata-mata menunggu restoran  McDonald itu dibuka semula?  Atau untuk apa membayar kepada pemilik jenama asal sejak tiga dekad lalu tanpa berusaha membangunkan jenama tempatan?

Dia melakukan tindakan yang patriotik membeli perniagaan McDonald di Rusia dan menukar nama pada Vkusno & Tochka.  Yang menariknya orang Rusia juga sangat patriotik –  McDonald bukanlah hidup mati mereka. Mereka terima sahaja makanan segera yang sama dengan McDonald walaupun jenama lain.

Jenama baharu itu menggunakan resipi yang hampir sama dengan McDonald, tetapi dijual dengan harga yang pada relatif murah.  Sejak itu berakhirlah sejarah 33 tahun McDonald di Rusia dan teori saling kebergantungan antara AS dan Rusia juga ikut berakhir.

Sudah pasti tanpa tindakan patriotik Govor,  jenama  McDonad yang lebih membawa lambang AS itu terus berada di bumi Rusia. Kini jenama baharu menggunakan bahasa Rusia (bahasa adalah satu ekspresi patriotik) dengan kualiti produk yang setanding , Vkusno & Tochta mendapat sambutan yang hebat.

Adakah berlaku penganiayaan kepada pekerja tempatan?  Sama sekali tidak berlaku. Govor mengambil pekerja yang  sama dan malah mereka dibayar gaji yang lebih tinggi, dan yang paling  penting tidak  lagi bernaung bawah jenama yang membawa nama AS.

Ekosistem di Rusia juga banyak membantu kelangsungan jenama Vkusno & Tochka di pasaran tempatan, misalnya sikap patriotik dalam kalangan masyarakat. Mereka tidak bergantung pada jenama yang membawa lambang penjajahan sekalipun Perang Dingin sudah berakhir. 

Orang Rusia tidak bimbang kehilangan McDonald kerana diganti dengan produk tempatan yang setanding segala-galanya. Malah hal itu membuatkan mereka lebih patriotik terhadap negara.

Bagaimanapun bagi masyarakat yang pernah dijajah, malah terus berada bawah penjajahan baharu Barat tentunya tidak mudah untuk hidup tanpa Barat.  Rusia berada dalam kelas yang lain dan kejayaan jenama Vkusno & Tochka adalah gambaran semangat patriotik masarakatnya.

Kejayaan jenama baharu itu juga adalah satu ekspresi penolakan rakyat Rusia terhadap AS. Tanpa melancarkan kempen boikot pun mereka dengan mudah menggantikan McDonald dengan jenama tempatan. Semua yang berlaku itu adalah tindakan boikot Rusia kepada AS.

Bagaimanapun media di Barat terus memperlekeh tindakan patriotik Govor dan menyiarkan banyak berita negatif mengenai jenama baharu itu dan kekecewaan warga Rusia di Moscow. Bagaimanapun itu  bukan suatu yang menghairankan kerana media AS sudah lama dipaksa atau secara rela turut berperang dengan negara yang tidak sealiran AS.

Kesimpulannya, kalau hendak seribu daya. Kalau tidak hendak,  duduk saja dan jangan berbuat apa-apa. Rusia memperlihatkan tindakan patriotik yang nekad, sekalipun tidak pernah diucapkan kepada dunia. Bagi negara yang selesa dipayung Barat, sudah tentu tidak ada bertindak seperti Govor.

Menjadi patriotik adalah pilihan, bukan ketentuan.  Kalau kita tidak memilih, hal itu tidak akan berlaku – KAYANG POST

 

 

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *