Papan iklan Sugarbook pernah diluluskan oleh DBKL di beberapa lokasi di Kuala Lumpur.

Oleh Ku Seman Ku Hussain

Ketika tercetus cerita duka, lebih 12,000 pelajar  institusi pengajian tinggi negara ini mendaftar dengan aplikasi Sugarbook, saya terimbau filem yang ditayangkan pada 1993, Indecent Proposal arahan Andrian Lyne.  Ini adalah adaptasi novel Indecent Proposal karya Jack Engelhard.

Saya menonton filem ini sebanyak dua kali, bukan sahaja terpesona dengan lakonan Robert Redford dan Demi Moore tetapi kenyataan moral yang boleh dipetik – antara materialisme dan institusi keluarga.  Diana (Demi Moore) dan suaminya David (Woody Harrelson) didesak keperluan wang yang mendadak.

Di sebuah kelab,  tatkala mata jutawan John Gage (Robert Redford)  tertancap di mata Diana,  ledak satu keterpesonaan yang tidak terkawal lagi.  Kerana dia seorang jutawan, John Gage pun menawarkan bayaran AS1 juta untuk menemani dia satu malam di kapal mewah miliknya. 

Diana dan David memang terdesak memerlukan wang,  David dengan berat akhirnya mengizinkan Diana bermalam dengan jutawan tua itu.

Duit AS1 juta hampir dalam tangan Diana.  Jumlah itu jauh melampaui yang diperlukannya. Tetapi Diana masih di persimpangan antara kesetiaan cinta kepada David dan godaan duit AS1 juta milik jutawan yang baru ditemui itu.  Tetapi jutawan  John  Gage ditampilkan sebagai lelaki tua yang yang kaya tetapi sangat penyayang.

Saya fikir sugar babies yang mendaftar dengan Sugarbook pasti akan kecewa dengan pendirian Diana.  Kemewahan di depan mata ditolak kerana ada perkiraan-perkiraan lain yang lebih utama dalam hidup. Pendirian Diana menunjukkan kebendaan bukanlah segala-galanya.

Pendirian seperti Diana mungkin tidak ada dalam perkiraan sugar babies yang  hanya nampak materialisme sebagai matlamat utama.  Kehidupan bagi sugar babies sudah pasti sangat cetek, sempit dan cair apabila materialisme dijadikan penentu arah.

Indecent Proposal bukanlah filem terbaik. Tetapi pada sisi tertentu banyak perkara menarik boleh dijadikan renungan. Wacana tentang kehidupan dialirkan dengan baik menjadi faktor kenapa pelakon sehebat Robert Redford mahu berlakon dalam filem ini.

Darren Chan pengasas dan CEO Sugarbook sudah dtahan oleh polis untuk siasatan.

Sugarbook ialah sebuah aplikasi ‘dating’ yang mempertemukan  manusia tuna susila – lelaki kaya dengan perempuan muda dan wanita tua yang kaya dengan lelaki muda (gigolo). Inilah satu lagi kerosakan yang menerobos dalam masyarakat – memberi kemudahan  rangkaian untuk memajukan industri persundalan.

Tetapi aplikasi ini baru sahaja disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), itupun selepas menjadi bualan di media sosial. 

Sepatutnya lebih awal disekat supaya tidak diakses oleh umum.  Tetapi biasalah,  ada kalanya tindakan  mereka lembab macam siput babi. Dulu,  beberapa bulan sebelum ini,  ada pihak berkuasa tempatan (PBT) meluluskan papan iklan mengiklankan khidmat sugar daddy. Bayangkan betapa tumpulnya  sesetengah pihak berkuasa menangani masalah sosial di negara ini.

PBT terus tidur. Nasib baik ada dalam kalangan warga maya yang suka menjaga tepi kain orang.  Bayangkan kalau tidak heboh di media sosial,  papan iklan itu pasti terus berdiri megah. Sensitiviti pihak berkuasa  dalam hal-hal menyelamatkan moral nampaknya sudah ke laut.

Bagaimanapun kita tidak boleh terlalu gembira atau berpuas hati apabila aplikasi pelacuran ini  disekat.  Isu sebenar bukanlah kewujudan aplikasi atau papan tanda,  tetapi  kewujudan generasi muda terjebak dalam masalah keruntuhan moral.  Masyarakat bertanggungjawab  kerana menjadi generasi muda pemangkin materialisme.

Perempuan-perempuan muda yang disihir materialisme termasuk dalam kalangan yang masih berstatus pelajar hanya melihat pencapaian dan kehebatan hidup dari relung kebendaan semata-mata. 

Ukuran antara wanita membawa beg tangan yang dibeli di kedai dua ringgit dengan wanita yang beg tangan jenama mewah harganya sama dengan harga sebuah  kereta MyVy,  bukan lagi pada nilai  akhlak dan pekerti tetapi pada benda yang dimiliki. Masyarakatlah yang membentuk pembaris begini.

Mereka yang terpasung dengan materialisme menganggap kehebatan dan keterampilan hanya diukur daripada persepktif  kebendaan –   jenama pakaian, aksesori, kereta dan tempat tinggal.  Mereka berlumba-lumba dengan saingan untuk mencapai tanda aras yang difahami sebagai kehebatan.

Ini adalah realiti yang dikhayalkan  oleh ledakan materialisme. Khayalan ini tidak terjangkau oleh tangan realiti yang pendek.  Dengan pendapatan sebagai eksekutif kanan atau eksekutif  misalnya sudah tentu khalayan  itu tidak mungkin dapat digapai.

Dalam situasi ini, ada benarnya  ‘cash is king’ atau duit itu raja.  Misalnya jutawan tua yang ultra mewah boleh membeli perempuan muda  yang rendah akhlak dengan duitnya.

Bagaimanapun  ‘cash is king’  tidak benar dalam semua keadaan dan manusianya.  Tidak semua jutawan kita berperangai haiwan malah menggnakan sebahagian besar kekayaan untuk membina dan membantu masyarakat. Tetapi golongan jenis ini tidaklah mempromosi semua kerja-kerja amal di media sosial. Itu kerja selebriti.

Serangan materialisme  dilihat bergerak seiring dengan konsumerisme. Kedua-dua ini saling bertautan antara satu dengan lain.  Malah materialisme wujud daripada tewasnya manusia kepada  konsumerisme yang digerakkan oleh kapitalis di seluruh dunia.

Hanya yang berfikir waras sahaja dapat memboloskan diri daripada belenggu konsumerisme sekaligus materialisme.  Pada masa yang sama tidak kurang juga yang tewas – misalnya membeli sesuatu  kerana jenama bukan pada bendanya. Apabila ada yang sanggup membeli ‘jenama’  maka yang dijual juga tidak lebih jenama kemashyuran bukan kualiti intelektual.

Oleh hal yag demikian kesanggupan sesetengah  perempuan muda menjadi teman seks jutawan tua dalam isu Sugarbook tidak lain  sebagai jalan singkat untuk memenuhi tuntutan materialisme dan tewasnya dia dalam gelombang konsumerisme.  

Eloklah dengar kembali pesan orang tua-tua kita,  janganlah kerak lebih besar daripada periuk dan ukurlah baju di badan sendiri.  Tingginya falsafah pemikiran orang tua-tua kita terhadap  ancaman materialisme dan konsumerisme.  Inilah kebijaksanaan silam yang perlu diungkap  dan disingkap kembali pada era manusia dalam banyak hal telah dibutakan oleh kebendaan. (Utusan Malaysia 22 Feb 2021)

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *