Oleh Razali Awang, dari Gazientep sempadan Turki – Syria.

Pada mulanya harapan sangat tipis untuk keluar  negara bagi melaksana kerja-kerja kemanusiaan di Syria ekoran penularan wabak Covid-19. Namun dengan kerjasama dan sokongan semua pihak,  perkara yang dirancang telah menjadi kenyataan.

Sebaik permohonan  untuk keluar negara mendapat kelulusan  daripada pihak berkuasa, banyak perkara yang perlu diuruskan dalam tempoh 48 jam, semua urusan sama ada dalam dan luar negara perlu disiapkan pada tempoh berkenaan.

Tetapi tergesa-gesa pun tidak mengapa kerana ini bukan pergi keluar negara untuk melancong atau makan angin.  Ini menjayakan misi kemanusiaan di Syria yang terkepung dengan rantaian perang yang tidak pernah tamat. 

Bagaimanapun perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan menumpang kereta Grab dari Damansara Damai memberikan satu pengalaman sekaligus kesedaran kepada saya. Di mana-mana sahaja terkesan dengan pukulan Covid-19.

Kehidupan dalam normal baharu pada musim wabak Covid-19, di mana-mana ada sekatan untk memutuskan rantaian virus. (GAMBAR HIASAN)

Saya dipertemukan dengan  pemandu Grab, seorang insan yang hebat dan berbudi bahasa. Namanya Fadli tinggal di Cheras, Kuala Lumpur menjadi pemandu Grab untuk menyara keluarganya.

Tidak sampai 5 minit tempahan dibuat, ia datang dan dipertemukan dengan insan yang hebat yang kaya dengan budi bahasa, Fadli yang tinggal di Cheras datang mencari rezeki halal untuk menampung keluarga.

“Abang, saya anggap trip ini pelik tetapi suka sangat sebab dapat pergi ke airport. Sebelum Covid-19, biasanya saya dapat empat lima kali trip  sehari ke KLIA. Tetapi sekarang memang payah.  Sebab itu saya anggap trip ini pelik,”  Fadli mengajak saya bersembang.

Katanya ,  dua hari lepas dia menghantar penumpang ke KLIA dan keadaan sangat sunyi. Tidak seperti sebuah lapangan terbang antarabangsa. Yang banyak hanya pekerja Bangladesh.

Dalam perjalanan ke  KLIA, dia  singgah ke kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Dengkil. Fadli memberhentikan keretanya di sebelah pam minyak dan bergerak pantas ke kaunter dan kemudian kembali di tangannnya ada bunjut plastik.

“Saya belikan untuk abang, sebab semua di airport tutup pukul 8. Abang hendak pergi jauh, buat kerja amal dan bawa nama  Malaysia. Saya nak tumpang pahala sekali, ini saja yang mampu sumbang”, katanya sambil memandu semula.

Sepanjang perjalanan  dari Dengkil ke KLIA, dua kali anak kecilnya membuat panggilan. Lalu dia bercerita, anaknya mengajak keluar, ingin mencari barang dapur dan makan di luar. Tetapi kata Fadli,  itu agak payah kerana kebanyakan tempat makan tutup pukul 10 malam kerana PKP.

Siang hari pula, dia langsung tidak berkesempatan  bersama -sama mereka kerana sibuk mencari rezeki.

“Saya suruh isteri bawa anak keluar sebab saya  tidak sempat” katanya. Saya faham,  ada perasaan yang membuku di hatinya. Namun keutamaan mencari rezeki perlu diberi keutamaan.

Sampai  sahaja di depan Pintu Lima, belum pun sempat saya keluar, dia telah lebih dahulu berada di luar kereta dan membuka but.

Advertisement

“Saya minta maaf sebab tadi tidak sempat masukkan beg abang, tadi payah nak parking sebab  kereta ada masalah hand brake”, beritahunya dengan penuh ikhlas. Saya amat tersentuh dengan kejujuran. 

Meskipun nampak ‘ganas’ dengan imej rambut panjang dan ala-ala bintang rock, hatinya amat ikhlas. Saya keluarkan duit kemudian menghulurkan kepadanya untuk membayar tambang.

“Ini niat saya, ambillah  duit ini dan balik sekarang dan belanja duit lebih untuk bawa anak dan isteri pergi makan. Mereka sedang tunggu” kata saya.

Ketika itu Fadli tunduk. Saya dapat menjangka dia begitu terharu. 

Apa yang saya tulis ini bukan untuk  bangga diri, cuma  berkongsi pengalaman berjumpa insan yang berhati mulia.  Dalam poketnya mungkin ada duit cukup-cukup sahaja minyak kereta dan modal keesokannya.

Tetapi apabila mendapat tahu saya melakukan kerja-kerja untuk membantu mangsa konflik di Syria, dia ingin turut menyumbang dan Fadli telah melakukannya dengan cara tersendiri.

Semoga hari-hari yang dilaluinya berada dalam lindungan dan keberkatan Allah.

Di mana-mana  negara pun wabak Covid-19  tetap memberi kesan. Namun syukurlah walau bermacam-macam masalah, negara kita masih aman. Masih bebas mencari makan, ada tempat selamat untuk berlindung, masih mendapat rawatan ketika sakit dan macam-macam nikmat lagi.

Sedangkan di kawasan konflik seperti Syria, keadaan di sebaliknya. Atas keperluan yang begitu mendesak, saya dan rakan-rakan kembali semula ke Syria untuk meneruskan kerja-kerja di sana. 

Tepat pukul 11.45 malam itu dengan menaiki penerbangan Turkish Airlines, TK0061, bermulalah perjalanan ke Istanbul, Turki  dan kemudian ke kawasan sempadan sebelum memasuki Syria bagi melakukan kerja membantu berjuta-juta mangsa konflik di Syria. 

Bermusafir dengan normal baharu dengan peraturan yang begitu ketat untuk memutuskan rantaian wabak Covid-19 yang meragut lebih 2.5 juta nyawa di seluruh dunia agak merimaskan. Tetapi tidak ada pilihan kerana inilah normal baharu di mana-mana negara pada musim wabak ini.

  • RAZAKI AWANG adalah sukarelawan Media Syria Care.
Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *