Ketika rakyat letih dengan polemik politik yang tak sudah-sudah, Agong sebagai payung negara tampil membela dan menggerakkan usaha mencari penyelesaian.

KUALA LUMPUR,  16 Jun – Siri pertemuan yang digerakkan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sejak beberapa hari lalu jelas menunjukkan tumpuan baginda untuk mententeramkan keadaan negara.

Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin melihat, ketika rakyat letih dengan polemik politik yang tak sudah-sudah, baginda sebagai payung negara tampil membela dan menggerakkan usaha mencari penyelesaian.

Prof. Dr Shamsul Amri

“Tindakan Agong ini sangat penting untuk memberitahu rakyat bahawa ada orang memerhatikan ini (kemelut politik) dan ada orang yang berusaha untuk menyelesaikannya.

“Jadi di sinilah kebijaksanaan Agong untuk mencari jalan memikirkan sambil-sambil menenangkan, sambil-sambil itu mendengar. Ini yang terbaik yang dilakukan baginda, iaitu mendengar daripada semua pihak yang berkepentingan,” ujarnya.

Menurut pemerhatiannya, daripada kelas golongan yang dipanggil menghadap baginda itu sudah diketahui fokusnya untuk menghurai keserabutan politik dan kepimpinan pentadbiran negara ini.

Oleh sebab itu, Shamsul Amri tidak merasakan ia berkenaan dengan ekonomi kerana kerana bukan orang ekonomi yang dipanggil menghadap, sebaliknya pemimpin-pemimpin parti politik negara.

Kemudian, baginda bersidang dengan Raja-Raja Melayu pada 16 Jun bagi mendapatkan pandangan Kebawah Duli-Duli Yang Maha Mulia berkenaan keadaan di negeri naungan masing-masing.

“Saya rasa yang penting baginda katakan sama ada mahu diteruskan atau ditangguhkan lagi penarikan darurat. Saya rasa ini isunya – politik dan penyakit. Dua ‘P’ ini iaitu penyakit politik dan politik penyakit, macam mana kita nak selesaikan hal ini dalam negara kita sekarang,” katanya.

Namun bagi Shamsul Amri, ia boleh dilebar luaskan lagi kepada kelompok selain politik untuk diturut samakan dalam pentas mediasi atau tolak ansur tawar menawar ini.

Pada masa sama, beliau tidak percaya tentang ketiadaan sidang Parlimen didakwa menjadi penyebab negara tidak stabil kerana baginya ia sengaja digembar-gembur menjadi cerita besar.

“Kerana jangan lupa, kerajaan dah bertukar berapa kali, yang kekal siapa? Penjawat awam, yang memastikan kerajaan berjalan terus tidak kira siapa yang memerintah.

“Kadang-kadang perkara ini tidak disebut dengan jelas oleh semua ahli politik kerana mereka merasakan diri mereka yang penting dan masa depan bergantuk kepada mereka. Tidak benar. Masa depan rakyat Malaysia bukan bergantung semata-mata kepada ahli politik,” tegasnya.

Beliau juga berpendapat, sebarang keputusan Agong nanti – teruskan, pendekkan atau lanjutkan darurat – diharap seiring dengan perkembangan program saringan dan vaksinasi supaya matlamatnya berjaya dicapai. Dengan itu, kata beliau, barulah politik negara boleh dipulihkan. (Astro Awani).

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *