Oleh Ku Seman Ku Hussain
KETIKA meninggalkan kampung halaman di Perlis kerana mendapat tawaran bekerja di Utusan Melayu Kuala Lumpur 1984, semua kawasan sawah ditanam padi dan tidak ada yang terbiar. Rumah saya di tengah-tengah sawah, umpama pulau dikelilingi lautan hijau dan kuning yang saujana mata memandang.
Saya dilahir dan dibesarkan dalam persekitaran sawah padi. Menjadi pesawah sejak berusia 15 tahun ketika di tingkatan tiga. Walaupun secara sambilan tetapi amat memahami kehidupan tradisi keluarga pesawah. Dapat membezakan antara padi mahsuri, malinja atau ria sebelum nama padi ditukar pada kod-kod tertentu.
Tahun 1970-an dan 1980-an ketika saya di kampung, pendapatan pesawah amat kecil, tidak setimpal dengan kerja daripada menanam hingga menuai. Walaupun kerajaan memberikan subsidi baja dan subsidi jualan tetapi bidang ini terdedah dengan risiko – banjir dan serangan serangga.
Kerap juga ternampak mata ibu tergenang apabila dalam masa semalaman, padi yang akan dituai musnah ditenggelami banjir. Itulah sahaja nyawa kami – punca pendapatan dan makanan. Ibarat rezeki terjatuh sebelum sempat sampai ke mulut, dan hanya pesawah dekad 1970-an dan 1980-an yang memahami keadaan ini.
Walaupun ketika itu menanam padi tidak memberikan banyak pulangan, tetapi orang kampung percaya yang dikerjakan itu punca makanan. Asalkan ada beras, yang lain boleh ikhtiar. Ikan air tawar boleh dipancing di sawah, sayur-sayuran dan kelapa ada di belakang rumah. Semua percuma.
Mereka tidak tahu apa itu istilah ‘keselamatan makanan’ yang digunakan oleh orang akademik dan birokrat. Tetapi mereka percaya beras itu umpama nyawa. Sebenarnya yang difikirkan oleh orang kampung adalah peri pentingnya ‘keselamatan makanan.’ Buktinya setiap keluarga ada jelapang padi.
Kini ketika sesekali balik ke kampung, keadaan sudah jauh berbeza. Sawah sudah semakin kecil. Banyak perumahan dan pekan baharu tumbuh di atas tanah sawah. Dari segi ekonomi, mungkin menjual tanah kepada pemaju jauh lebih menguntungkan berbanding terus dijadikan sawah.
Sesetengah pemimpin di daerah, negeri atau Persekutuan pula, sedikit atau banyak projek perumahan, pekan serta bandar yang didirikan adalah tanda aras pembangunan. Ini termasuklah membangunkan taman-taman perumahan dan bandar baharu di atas tanah sawah.
Kemajuan bukanlah banyak atau sedikit taman perumahan dan bandar-bandar baharu didirikan, apa lagi di atas tanah sawah. Kemajuan yang begini menjadi pemangkin menguncupnya keluasan sawah sekali gus menambah kebergantungan pada beras import. Ini bahaya dari sudut keselamatan makanan.
Kalau lihat dalam jangka masa 40 tahun ketika saya menjadi pesawah hingga kini, bidang penanaman padi tidak banyak berubah. Tahun 1980 kawasan penanaman padi seluas 716,833 hektar. Satu hektar boleh menghasilkan 2,852 kilogram padi. Secara keseluruhan penanaman padi pada 1980 menyumbang 1.3 juta tan metrik beras setahun.
Bagaimanapun mengikut statistik terkini, keluasan kawasan penanaman padi semakin kecil, hanya tinggal 679,315 hektar. Tetapi keluaran agak meningkat – satu hektar menghasilkan 4,194 kilogram padi dan secara keseluruhan menyumbang 1.8 juta tak metrik beras setahun.
Kalau dilihat angka-angka ini memang ada peningkatan yang tentunya disumbangkan oleh penyelidikan dan penggunaan teknologi moden dalam penanaman padi. Tetapi untuk jangka masa 40 tahun, peningkatan yang dicatatkan pada relatifnya kecil. Hasil keluaran beras tempatan belum membebaskan negara bergantung pada beras import. Pesawah belum mampu mandiri, terpaksa bergantung dengan subsidi.
Ketika ini keluaran beras tempatan hanya menampung 70 peratus daripada keperluan dan 30 peratus lagi terpaksa ditampung dengan beras import. Jumlah 30 peratus adalah suatu yang besar dan menjadi tanda bahaya dari sudut keselamatan makanan. Kita terdedah dengan manipulasi harga oleh negara pengeksport. Kalau ini berlaku, kita terpaksa membayar walaupun tinggi kerana beras bukan spageti.
Bayangkan, kita terpaksa mengimport 740,000 tan metrik beras yang dianggar bernilai RM1.18 bilion setahun. Pada era pergolakan geopolitik yang tidak menentu ini, bayangkan kalau ada negara yang tidak mahu mengeksport beras ke Malaysia. Ketika itu, ada duit belum tentu semua boleh jadi kenyataan.
Penguncupan 37,518 hektar berbanding 40 tahun lalu sepatutnya dibendung supaya pertukaran status tanah pertanian khususnya sawah padi sewenang-wenang pada status kediaman (taman perumahan dan bandar baharu) atau industri.
Memudahkan pertukaran status tanah pertanian menjadi kediaman memberi keuntungan jangka pendek, tetapi kesan yang kurang baik dalam jangka masa yang panjang. Kalau hal ini tidak dibendung mungkin 10 tahun lagi kebergantungan pada beras import bukan lagi 30 peratus malah lebih tinggi lagi.
Kita mempunyai 10 kawasan dinamakan Jelapang Padi Malaysia – antaranya yang besar ialah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Kerian dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Barat Laut Selangor. Jelapang Padi Malaysia ini adalah ‘nyawa’ kita.
Jelapang padi ini menyumbangkan 3.45 peratus pada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di sektor pertanian atau 0.32 peratus pada KDNK negara. Kerajaan menyalurkan subsidi sebanyak RM524.67 juta setahun kepada pesawah.
Bagaimanapun, tertakluk pada peraturan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) mengehadkan kadar subsidi sehingga 10 peratus sahaja daripada kos pengeluaran.
Kerajaan khususnya agensi berkaitan pertanian mesti mencari jalan untuk mengangkat nilai ekonomi dalam bidang penanaman padi. Tanpa nilai ekonomi untuk bersaing dengan bidang lain, tidak ada generasi pelapis yang menyambung kerja mengusahakan sawah.
Pada masa sama, beras tetap menjadi keperluan utama tetapi bidangnya tidak ada nilai ekonomi yang setimpal kepada penggeraknya. Ini satu ironi, permintaan tinggi tetapi tidak mampu menjana ekonomi.
Permasalahan ini mesti dirungkai, riuh rendah penggunaan teknologi yang sesetengahnya hanya ‘kosmetik’ tidak membawa penyelesaian. Semoga masa depan kawan-kawan saya di kampung dan seluruh pesawah di negara ini akan terbela. – Utusan Malaysia 21 Jun 2021