Demokrasi hanya menjadi modal eksploitasi pemain politik mempengaruhi rakyat untuk mendapat kuasa. (Gambar hiasan – Bernama)

Ku Seman Ku Hussain

DEMOKRASI tidak mengenyangkan anak-anak keluarga miskin yang menangis kelaparan.  Mereka terus berlapar walaupun  menghuni negara demokratik. Demokrasi tidak mungkin menjawab di mana harus ibu dan bapanya mengadu tatkala ekonomi semakin menguncup dan lorong rezeki semakin menirus.

Bagi rakyat, apa lagi yang marhaen kais pagi makan pagi  demokrasi  tidak mengubah kehidupan mereka yang penuh lelah.  Teriakan demokrasi  yang bergema di segenap penjuru  tidak lebih mentera perlumbaan kuasa.  Demokrasi ‘kain pelikat’   hanya pelunak kata bukan memanis kehidupan yang pahit.

Anak-anak muda lepasan  universiti yang tidak punya pekerjaan, atau terpaksa menjadi penghantar makanan walaupun ada ijazah,  tidak memerlukan demokrasi untuk mengubah nasib.  Mereka memerlukan  pelan ekonomi  dan bantuan pemula. Hanya ekonomi yang boleh menambah pasaran kerja dan  seterusnya kehidupan turut teranjak pada tahap lebih baik.

Banyak negara mendahukukan  pelan pembangunan ekonomi  kepada rakyat  berbanding menjanjikan demokrasi yang sangat abstrak untuk dipegang, difahami dan dipraktik.  Apabila pelan pembangunan berjaya mengeluarkan rakyat daripada belenggu kemiskinan,  demokrasi akan wujud dengan sendirinya.

Demokrasi secara asasnya  berdiri dengan teras berikut  – kebebasan bersuara, kebebasan media, pilihan raya adil, bebas berorganisasi,  pemerintahan oleh majoriti dan sistem kehakiman yang bebas serta berkecuali.  Semua teras  in memang baik tetapi ada kelompangan untuk dimanipulasi oleh oportunis.

Maknanya demokrasi ini suatu yang sangat lunak untuk dilontarkan  kepada rakyat. Selain itu lebih menjurus sebuah pementasan teater absurd yang boleh ditafsirkan berbagai-bagai mengikut  kefahaman dan kepentingan orang yang menonton.  Selalunya pemain politik berkepentingan lebih nyaring laungan demokrasinya berbanding yang lain.

Bagaimanapun bukahlah bermakna demokrasi itu langsung tidak penting,  bagi sesebuah negara. Cuma dalam keadaan tertentu ia tidak menjawab pada keresahan rakyat yang membelenggu rakyat.  Demokrasi  sahaja tidak mampu memajukan negara  tanpa dasar-dasar pembangunan ekonomi yang boleh dicapai dalam jangka masa dekat, sederhana atau panjang.

Ghazali Shafie
Samuel Huntington

Ahli sains politik, Lucian W. Pye dalam bukunya Aspects of Political Development: An Analytic Study (1966) menegaskan,    demokrasi dengan sendirinya berdiri apabila berlaku pertumbuhan  ekonomi yang pesat.   Apabila  berlaku pembangunan ekonomi,  itulah isyarat kesejahteraan hidup yang akan dinikmati rakyat dan akan wujud demokrasi.

Diperkukuhkan lagi dengan hujah  Samuel Huntington dalam  buku The Third Wave: Democratization In the Late Twentieth Century (1965) bahawa  proses demokrasi wujud apabila ekonomi negara berada pada tahap yang baik.  Maknanya negara yang memiliki pendapatan menengah tinggi cenderung bergerak  menuju pembangunan sistem politik yang demokratik.

Huntington percaya pendemokrasian hanya  akan berlaku di negara yang berpendapatan tinggi, Hujahnya,  pendapatan tinggi secara tidak langsung juga mengangkat taraf pendidikan, penambahan jumlah golongan menengah  seterusnya meningkatkan tahap kesedaran politik.

Tan Sri Ghazali Shafie dalam bukunya, Malaysia, Asean and the New World Order (2000) juga  memperkatakan hal yang sama.  Menurut beliau,  Barat sendiri jauh lebih awal mendahulukan pembangunan ekonomi berbanding demokrasi.   Nilai-nilai berkaitan demokrasi seperti  hak asasi manusia serta kebebasan hanya datang kemudian setelah teras ekonomi  berdiri dengan kukuhnya. 

Advertisement

Maka jangan mudah terperangkap dengan ‘perjuangan’ demokrasi.  Perkara ini sudah lama dipergunakan untuk meraih sokongan di mana matlamat akhirnya ke puncak kuasa. 

Jangan mudah percaya kalau ada yang datang memberitahu bahawa demokrasi  adalah kitab yang  merungkai seribu satu masalah rakyat di alam nyata.  Dalam keadaan rakyat bertarung dengan ekonomi tidak menentu, demokrasi  tidak mampu berbuat apa-apa kecuali melenakan untuk sementara waktu. Realiti tetap bergerak pada garis masanya.

Di negara-negara mundur atau baru hendak maju,  demokrasi selalu dijadikan eskapisme daripada realiti yang tenat.  Janji-janji demokrasi  yang indah-indah itu menjadi pil tahan sakit, tetapi tidak selamanya boleh menepis kesakitan yang sebenar.

Masih ingat  lagi dengan  Ferdinand Marcos di Filipina?  Dia diangkat melalui proses yang demokratik  tetapi akhirnya  menjadi diktator dan musuh rakyat.  Demokrasi tidak berupaya untuk menurunkan Marcos yang tersasar jauh. Buktinya  yang menendang dari takhta pada 1986  bukan demokrasi tetapi kebangkitan rakyat.

Malah demokrasi juga membiakkan bukan sedikit   anasir-anasir yang tidak demokratik dalam membuat keputusan terhadap hidup dan mati rakyat.   Banyak di negara-nagara  dunia yang berdepan dengan pemimpin korup yang dilahirkan oleh  sistem yang  demoktarik.

Bagi rakyat yang hidup kais pagi makan pagi hampir semua teras demokrasi itu tidak mengubah apa-apa pada hidupnya.  Tetapi bagi  borjuis  atau elit politik hampir semua teras itu boleh digunakan  atau dimanipulasikan  terutama sistem kehakiman yang  ‘adil dan tidak berkecuali.’

Rakyat sebenarnya dahagakan pembangunan  ekonomi kerana hanya itu yang boleh mengubah keadaan hidup mereka.  Oleh hal yang demikian kalau ada dua orang yang datang berjumpa rakyat bawahan, seorang menawarkan demokrasi dan seorang lagi membentangkan pelan pembangunan,  kita didiklah rakyat menerima yang kedua.

Tanpa demokrasi pun  pembangunan boleh dilakukan dengan syarat ada keazaman yang tinggi. Selepas  semua rakyat berjaya keluar daripada belenggu kemiskinan demokrasi akan tumbuh dan subur secara semula jadi. Dekokrasi  menjadi keruh kalau dipaksa-paksa.  Awas, dalam keadaan keruh itu akan banyaklah yang cuba menangguknya.

Semoga rakyat  tidak mudah terpedaya dengan  gema demokrasi seolah-olah cara itu sahaja boleh memberi kehidupan yang diimpikan.  Tambahan pula demokrasi ini membawa  janji-janji indah  –  kebebasan bersuara, kebebasan media dan hak asasi yang menjadi modal Barat menjajah dunia.

Hakikatnya tidak ada kehidupan yang lepas dan bebas.  Semua kehidupan  berada dalam bingkai dan dipimpin oleh undang-undang, peraturan serta sempadan-sempadan  daripada garis agama, budaya dan juga moral.  Maka kalau ada yang menjanjikan demokrasi  dan menjaja kebebasan-kebebasan ini,   minta mereka beredar jauh-jauh. Kita tidak memerlukan semua itu. (Utusan Malaysia 14 Jun 2021)

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *