Sebuah patung Hindu yang paling besar di Batu Caves, Selangor.
Oleh Ku Seman Ku Hussain

Kalau menyusuri jalan Persekutuan dari utara ke selatan, atau timur ke barat, pasti akan kelihatan banyak masjid dan surau di sepanjang jalan yang menghubungkan bandar dan pekan di negara ini. Ini bukan sahaja memudahkan umat Islam menunaikan sembahyang, tetapi petunjuk wujudnya satu dasar negara yang memberi penekanan pada syiar Islam.

Ini adalah hasil daripada politik. Malah apabila salib setinggi bangunan lapan tingkat didirikan di Pulau Pinang sebaik sahaja berlalu Pilihan Raya Umum 14 (PRU14), ini juga dasar yang diperoleh daripada politik. Dasar politik setempat mengizinkan keadaan ini berlaku.

Kemudian kita juga dapat melihat begitu banyak rumah ibadat agama lain dibina  di negara ini terutama kuil.  Bermula di bawah pokok kemudian dinaik taraf menjadi kuil, ini juga hasil politik. Bukan sahaja kuil malah patung yang boleh dilihat dari jarak lima kilometer di Batu Caves, juga tidak berlaku tanpa hasil politik.

Kaum keluarga atau sahabat handai kita yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi  awam (IPTA) dan menikmati banyak kemudahan dan subsidi, berbanding swasta, ini hasil politik.  Dasar pendidikan negara ini dibentuk oleh keputusan-keputusan politik.

Sekolah vernakular semakin bertambah kerana hasil perjuangan politik Cina.

Kewujudan sekolah vernakular Cina dan Tamil yang kemudian dirasakan seolah-olah sekolah bantuan kerajaan,  memaksa sistem pendidikan kebangsaan menerima sijil yang dikeluarkan oleh sistem vernakular,  ini juga hasil politik.

Penubuhan Institut Teknologi MARA (ITM) kemudian dinaik taraf sebagai  universiti dan dikenali sebagai UiTM yang terbuka kepada orang Melayu dan peribumi Sabah dan Sarawak juga hasil politik pemimpin terdahulu. Ini kesinambungan  penubuhan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang bermatlamat  membantu orang Melayu.

Terbaru pula, sebuah pertubuhan hak asasi manusia Malaysia memperjuangkan nasib dan masa depan pekerja-pekerja seks. Saya ulang – pekerja-pekerja yang menyediakan khidmat seks, juga hasil dasar politik. Kemudian diasak menjadi dasar negara.

Malah kegagalan menghalang pertubuhan hak asasi itu perjuangkan golongan yang melanggar undang-undang adalah kegagalan politik. Barangkali akan menjadi dasar negara memperjuangkan golongan yang melanggar undang-undang, kalau politik merestuinya.

Baik atau buruk yang berlaku pada negara ini adalah hasil yang disumbangkan oleh ahli masyarakat terhadap doktrin politik yang disukai, atau selari dengan corak kehidupan.

Politik adalah semua yang berkaitan dengan kita,  dan  dasar serta falsafah negara, pentadbiran, undang-undang malah memastikan kelestarian adat-adat kaum dan etnik dalam kehidupan moden hari ini. Maka tidak ada siapa yang boleh berkata hidup mereka terlepas daripada politik.

Politiklah yang menentukan dasar mengenai  wujudnya contoh-contoh di atas dapat digubal, dilaksanakan.  Di segi teori, politik  adalah satu mekanisme mencari suara terbanyak yang pada asasnya untuk kesejahteraan masyarakat dan negara.

Bagaimanapun, untuk mendapat suara terbanyak, berbagai-bagai manipulasi dilakukan kepada masyarakat. Dalam politik manipulasi tidak salah tetapi tidak bermoral dalam konteks untuk mendirikan budaya politik yang sihat. Dalam masyarakat yang  rendah budaya politiknya, mudahlah dieksploitasi dengan janji dan retorik politik.

Advertisement

Ada yang berkata,  politik adalah kotor dan mereka mahu menjauhkan diri daripada politik. Kenyataan ini benar – politik memang mempunyai sisi kotornya.  Kekotoran itu dibawa oleh pemain politik  yang kotor. Bagaimanapun menjauhkan diri daripada politik kerana kekotoran adalah membiarkan kotornya membesar.

Ternyata, tidak ada siapa yang terlepas daripada politik,  yakni hasil politik  seperti  dasar-dasar  dan falsafah terhadap pembangunan dan pendidikan. Malah dalam keadaan lain pula hasil kompromi politik yang tidak adil kepada sesetengah pihak dalam kalangan rakyat juga tetap berlaku.

Disebabkan oleh aksi-aksi dungu yang kerap tertonjol di depan masyarakat, maka yang difahami itulah politik.  Memang benar banyak sisi kekotoran, kedunguan dan hipokrasi yang diperagakan tanpa sedar di depan masyarakat. Tetapi itu bukan politik dalam pengertian yang sebenar.

Ini hanya satu sisi yang sensasi dan kontroversi. Ini hanya secebis kecil daripada pengertian politik yang begitu luas cakupannya. Memberi keutamaan pada aksi-aksi  memualkan itu juga mencerminkan tahap  kefahaman budaya politik yang rendah.

Politik yang kotor hanya wujud dalam masyarakat yang buta pemikiran dan budaya. Mereka boleh ‘disembelih’  hidup-hidup oleh pemain politik kotor.

Kekotoran ini mesti dibanteras oleh semua peringkat dan kelas dalam masyarakat.

Caranya  meningkatkan kesedaran terhadap budaya politik masyarakat yang menjurus kesejahteraan. Masing-masing ada peranan meningkatkan kesedaran meningkatkan pemikiran politik masyarakat. Tidak kira sama ada seorang ilmuwan,  budayawan, agamawan, wartawan malah siapa sahaja mesti menyumbang meningkatkan kesedaran masyarakat.

‘Vaksin’ untuk menghalang penularan politik kotor, politik kembung poket,  politik tender dan berbagai-bagai lagi  tidak  daripada lain membangunkan dan melestarikan budaya politik dan mengangkat semangat kenegaraan.  Mereka yang sayangkan negara akan membuat pilihan yang teliti, seterusnya menyumbang pada penggubalan dasar-dasar  yang baik untuk masyarakat.

Tetapi pemain politik yang melencong agendanya kurang gemar membangunkan kesedaran dalam kalangan masyarakat. Mereka cenderung membiarkan masyarakat terus buta. Mereka lebih suka masyarakat sekadar menjadi tukang tepuk di media sosial.

Maka tugas penting  semua ahli masyarakat adalah ‘berpolitik.’  Caranya dengan meningkatkan kesedaran politik yang menjadi penentu masa kita bersama. Ahli masyarakat yang berakhlak dan tidak mudah tersihir manifesto politik pasti menyumbang pada wujudnya  dasar-dasar  yang baik oleh kerajaan.

Ayuh, dalam kalangan kita, sesama kita dan semua sanak saudara serta rangkaian yang jauh dan dekat,  mulalah menyuntik kesedaran dan ambil peduli dengan masa depan negara.  Ambil peduli dengan politik yang menjadi penentu dasar dan falsafah pembangunan negara.

Berkatalah walau dengan sepotong ayat bahawa sebarang perubahan dasar dan falsafah politik negara akan memberi kesan kepada kita semua. Kalau kita tidak turut memainkan peranan dalam politik, mungkin ada hak kita akan hilang,  selain yang telah hilang akan terus hilang.

(Utusan Malaysia 5 April 2021)

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *