Dua pengawal peribadi yang dipukul oleh majikan kerana berpuasa baru-baru ini.

Oleh Ku Seman Ku Hussain

Sekali pandang, berita dua pengawal peribadi yang dipukul dengan teruk kerana berpuasa oleh majikan bukan Islamnya berlaku di luar negara – terutama negara yang memusuhi Islam.  Perkara begini dianggap tidak berlaku di negara ini kerana dua perkara.

Pertama,  kedudukan Islam itu sendiri tertinggi dalam Perlembagaan Persekutuan. Islam adalah agama Persekutuan bagi negara ini.  Tentulah payah untuk dipercayai agama Persekutuan boleh dipijak dan dihina seperti ini. Mana mungkin boleh berlaku.

Kedua,  Malaysia mengamalkan kebebasan beragama. Walaupun Islam diangkat sebagai agama Persekutuan, agama lain tidak dilarang.  Buktinya begitu banyak tempat ibadat agama lain yang didirikan dengan bebas di seluruh pelosok negara. Ini termasuklah dibina secara haram  di atas tapak milik pihak lain.

Tentulah seperti tidak masuk akal dalam ruang kebebasan  beragama yang begitu luas masih ada pihak yang cuba mengecilkan  hak orang Islam mengamalkan tuntutan agamanya. Di mana kebebasan itu?  Adakah hanya bebas untuk bukan Islam tetapi tidak kepada Islam?

Tetapi saudara-saudara,  kejadian melarang orang Islam berpuasa bukan berlaku di negara musuh Islam. Ini berlaku di negara kita.  Di negara yang meraikan kebebasan beragama.  Di negara yang Islam berada pada kedudukan tinggi. Nampaknya banyak pihak yang buta atau sengaja membutakan diri untuk memahami hakikat  kebebasan beragama ini.

Kes menghalang umat Islam mengamalkan  ajaran  Islam ini berlaku di Malaysia. Di negara kita di mana Islam diangat sebagai agama Persekutuan.  Tetapi tidak menindas agama lain, sebaliknya memberi hak kebebasan beragama.

Begitulah kisahnya, apabila ada kuasa  tetapi tidak menggunakan kuasa itu untuk keadilan kepada semua.  Sudah ada dalam undang-undang hak kebebasan beragama tetapi di sebalik tabir masih banyak lagi pekerja Islam yang ditindas dan diambil hak kebebasan menganut Islam.

Sebenarnya banyak kes yang secara langsung atau tidak langsung menyukarkan pekerja Islam menunaikan sembahyang termasuk sembahyang Jumaat. Ini berlaku di tempat kerja yang dimiliki oleh bukan Islam. Malah  bukanlah suatu yang luar biasa.

Pihak berkuasa kenalah kuat menghidu perkara-perkara begini.  Jangan duduk di pejabat berhawa dingin menunggu laporan dengan segala macam prosedur.  Jangan ikut buku sangat dalam perkara begini.

Misalnya bukanlah suatu yang luar biasa pekerja Islam hanya dibenarkan sembahyang ketika waktu makan tengah hari sahaja. Inilah penindasan  sekaligus pencabulan hak beragama yang  kepada pekerja Islam, dan semacam sudah menjadi satu kebiasaan.

Majikan yang mencabul hak kebebasan beragama ini tidak sedar di mana tanah  yang dipijaknya. Dia berpijak di tanah yang bernama Malaysia, yang baiknya Malaysia ini tidak pernah melarang sebarang agama dianuti oleh rakyat.  Malah majikan itu yang bukan beragama Islam pun tidak diancam, dipukul atau didiskriminasi untuk mengaut kekayaan.

Hak kebebasan beragama ini diberikan secara perundangan. Maknanya pihak yang menghalang hak itu ke atas mana-mana individu adalah satu tindakan yang melanggar undang-undang.

Misalnya dalam Perkara 11 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas hak beragama dan mengamalkan suruhan agama. Maka menghalang hak itu dimanfaatkan oleh individu adalah satu tindakan yang tidak berpelembagaan.

Advertisement

Hak ini bukan sahaja terpakai kepada individu di luar  kawalan majikan.  Dalam kawalan majikan juga tetap dilindungi oleh hak tersebut. Tidak ada majikan yang berhak menghalang hak beragama kepada pekerjanya. Hal  ini merangkumi etika berpakaian menurut agama masing-masing.

Tetapi  Perlembagaan Persekutuan  menuntut perlaksanaan  oleh pihak berkuasa.  Hak beragama yang termaktub itu tidak memberi makna kalau penguasa tidak tegas melaksanakan tuntutan Perlembagaan Persekutuan. Buktinya sudah banyak kali kita dengar kes pekerja wanita Islam yang dilarang memakai tudung.

Pihak berkuasa perlu mengambil iktibar daripada kes menghalang pekerja Islam berpuasa ini.  Anggaplah kes ini  sebagai kemuncak daripada sekian banyak kes  menghalang  pekerja Islam menunaikan amalan agama. Bagaimanapun mangsa terpaksa  memendam dan mendiamkan diri  kerana kebergantungan kepada majikan.

Jangan pula Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) meminta data-datanya. Memang tidak banyak data yang lengkap  pekerja  yang menjadi mangsa, apatah lagi pekerja asing. Mereka berada dalam dilema – antara tuntutan hidup dan suruhan agama. 

Sehingga Jumaat ketika rencana ini ditulis belum ada  kenyataan daripada Suhakam yang baru-baru ini membela pelacur yang terang-terang membawa kerosakan kepada masyarakat.  Tetapi agak lambat untuk memberi reaksi pada kes mencabul hak beragama.

Suhakam perlu proaktif dan pantas.  Daripada membela pelacur yang sememangnya membawa kerosakan,  lebih elok tumpukan kepada kes pekerja Islam yang dinafikan hak  beragama. Daripada bertungkus lumus memutihkan kerjaya pelacur  tentu lebih signifikan kalau melindungi mereka yang dizalimi majikan bukan Islam.

Mereka terpaksa memendam  perbuatan majikan bukan Islam yang menindas kerana memikirkan masa depan –  diri dan keluarga yang bergantung pada pendapatannya.

Tindakan menghalang umat Islam mengerjakan suruhan agama adalah penghinaan yang tidak boleh diterima, dalam apa keadaan sekalipun. Kalau pihak berkuasa tidak cekap mengurusnya, ini boleh membarah pada isu yang lebh besar. Tindak balas orang yang terhina ada kala tidak terbayangkan ledakannya.

Sabar mereka yang ditindas juga ada batasnya. Mereka ini diibaratkan api dalam sekam, ia boleh sahaja meletus suatu yang tidak diingini kalau tidak diendahkan oleh pihak yang bertanggungjawab.  Maknanya bukan kes memukul pengawal peribadi ini tetapi secara keseluruhannya.

Sekali lagi, Ini bukan kes terpencil.  Jangan cuba-cuba mencuci tangan dan menganggap penganiayaan pekerja Islam sebagai  kes terpencil.  Ini fenomena yang semakin membesar dan membiak.

(Utusan Malaysia 19 April 2021)

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *