Dipenjara dalam lingkaran 10 km amat menyiksakan bagi manusia yang merdeka. (Gambar JohorKini)

Oleh Ku Seman Ku Hussain

Kisah  suami mengurung isteri dan anak-anak,  terjun bangunan dan beberapa kes bunuh diri  ketika pandemik Covid-19 bukan kes terpencil.  Ini adalah indikator yang memberikan gambaran lebih besar tentang kegagalan menguruskan tekanan perasaan.   Kita tidak boleh mentah-mentah menolak  bahawa kes begini akibat beban psikologi sepanjang Covid-19.

Beban psikologi ini bukan perkara biasa yang boleh diambil mudah.  Kesannya sama teruk dengan mereka yang menderita Covid-19.  Mereka hilang punca dan tertekan  kerana tidak tahu apa lagi yang mesti dilakukan –  arahan sudah dipatuhi tetapi masih tiada kesudahan.

Mereka akur dipenjara dalam lingkaran geografi yang memisahkan negeri,  dilarang merentas daerah dan akhir sekali dalam  lingkungan  10 kilometer yang pada relatifnya luar daripada kebiasaan manusia biasa yang merdeka.  Tetapi  masalah masih tidak selesai juga walaupun  barisan hadapan bertungkus lumus  siang dan malam.

Sidang media yang diadakan hampir setiap hari sudah semakin lesu, hilang sentuhan pada  kemanusiaan. Lebih kepada angka-angka seperti tidak endah  untuk mengubati tekanan psikologi yang dideritai  berjuta-juta rakyat.

Padahal  menangani masalah psikologi yang disebut posttrumatic stress disorder (PTSD) sama pentingnya dengan memerangi Covid-19.  ‘Normal baharu’   sudah terlalu lama dan  inilah  kesan pasca trauma selepas lebih setahun dicengkam bimbang  yang tidak berkesudahan dan takut yang tidak menentu. Covid-19 bukan sahaja pandemik tetapi juga  membawa penyakit  psikologi.

Saya pernah berada dalam keadaan amat perit akibat kemelesetan ekonomi tahun 1998.  Banyak catatan sedih tentang nasib yang menimpa kawan-kawan dan sanak saudara  – hilang kerja,  terpaksa menutup perniagaan dan menjadi penganggur dalam keadaan yang tidak bersedia.

Bukan sahaja dalam kalangan rakan-rakan  dalam industri media malah dalam bidang yang lain tidak terkecuali.  Kemelesetan ekonomi 1998 meninggalkan tanda kenangan yang sungguh pahit. Ini bukan sahaja kepada yang menerima kesan secara langsung malah  mereka yang menyaksikan kepedihan hidup  manusia di sekeliling.

Ketika itu saya menganggap  inilah bencana  yang paling perit,  ekonomi menjunam, nilai  Ringgit jatuh di paras yang tidak masuk akal,  ratusan  perniagaan bertaraf industri kecil dan sederhana  gulung tikar.  Akibatnya  kadar pengangguran dan inflasi pun menjulang tinggi. Kisah sedih ibu dan ayah yang hampir gila memikirkan di mana hendak dapatkan susu untuk anak  ada di mana-mana.

Bagaimanapun apabila dunia, termasuk negara ini berdepan dengan pandemik Covid-19,  kemelesetan ekonomi tahun 1998 sebenarya amat kecil.  Pandemik ini  jauh lebih besar kesan buruknya berbanding  hanya kemelesetan ekonomi. Malah  sekaligus  memberikan kesan psikologi yang amat dahsyat kepada rakyat. Dalam persekitaran yang dicurigai penuh ancaman, bayangkan bagaimanakah  wajah kehidupan harian yang lebih setahun lamanya.

Sejak lebih setahun  perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menjadikan lingkaran kehidupan sangat kecil,  rakyat terpaksa berdepan dengan dua ancaman besar –  ekonomi dan beban psikologi.  Kedua-dua ini bukan mudah untuk dihadapi oleh sesiapa sahaja, tidak kira miskin atau yang kaya.

Kesan ekomoni tercetus apabila banyak  entiti perniagaan  terpaksa mengecilkan saiz, mengurangkan pekerja atau terpaksa  menutup operasi. Akibatnya banyak yang hilang punca pendapatan. 

 

Hal ini dapat dilihat apabila gerai  tumbuh  bagai cendawan musim hujan di tepi jalan.   Inilah antara ikhtiar kelangsungan hidup yang termampu dalam keadaan yang  mendesak. Yang penting susu untuk anak kecil dan beras untuk keluarga mesti ada, biarpun kais pagi makan pagi.

Bagaimanapun beban psikoligi yang datang bersama-sama kemelut ekonomi akibat pandemik lebih teruk dan tidak mudah untuk ditangani.   Hal ini meninggalkan trauma yang berpanjangan, pertama kerana ekonomi keluarga menjunam dan kedua,  kehidupan  yang terpenjara dan tidak menjanjikan sedikit pun cahaya.

Daripada tidak boleh melepasi  sempadan negeri, kemudian dihalang merentas  daerah dan apabila kerajaan mengetatkan PKP,   ekonomi keluarga yang tenat terpaksa pula  diuruskan yang dalam  penjara 10 kilometer.  Bagi manusia biasa yang merdeka, 10 kilometer adalah penjara psikologi yang amat menyiksakan.

PTSD telah menghinggapi sebahagian besar dalam kalangan rakyat,  terutama golongan bawahan yang kais pagi makan pagi.  Yang bertaraf kayangan hanya rasa terkurung tetapi tidak  terpenjara. Cuma  tidak banyak yang  sedar dikepung PTSD. Tetapi  apabila tidak terkawal ekspresinya adalah kisah-kisah tragis  saksikan di media.

Saya melihat keadaan sekarang jauh lebih teruk berbanding tahun 1998 kerana wujudnya PTSD selain beban ekonomi.  Manusia masih boleh berada dalam kewarasan untuk berdepan keruntuhan ekonomi.  Tetapi  menjadi hilang pertimbangan apabila terpenjara dan diasak oleh  kebimbangan  dan ketakutan yang tidak berkesudahan.

Saya percaya  rakyat akur dan faham akan peri pentingnya ruang pergerakan yang terhad ini.  Tetapi  apabila terlalu lama dan tidak ada tanda-tanda akhirnya,  beban yang dimurnikan dengan  frasa ‘normal baharu’  sudah tepu untuk diterima.  Jangka masa lebih setahun adalah  terlalu lama,  dan  di luar negara pada enam bulan pertama tahun lalu sudah mula menggerakkan usaha menguruskan PTSD.

Rakyat menjadi sangat tertekan berdepan pandemik.  Tetapi mereka hanya berupaya  menunggu dan melihat selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) –  pakai pelitup muka, cuci tangan, ambil suhu dan menjarakkan diri dengan individu lain.  Semua SOP ini dipatuhi tetapi terus diburu bimbang apabila  keadaan  di sekitar tetap  tidak selamat.

Ketika perasaan rakyat ditekan keadaan  cemas yang tidak menentu ini,  pihak berkuasa kelihatan kurang mengambil pendekatan yang psikologikal dalam menyampaikan mesej.  Cukuplah rakyat dibumbu oleh angka-angka yang sebenarnya tidak memberikan penyelesaian. Rakyat tidak boleh berbuat apa-apa dengan angka-angka itu.

Cukuplah kes-kes  mereka yang gagal  menguruskan trauma  melintas di garis masa kehidupan kita setakat ini. Semua ini amat tragis dan  sangat menggoreskan perasaan. Cukuplah. Tidak tertanggung rasanya keperitan di jiwa  apabila menyaksikan  kisah-kisah begini.  

Ingat,  pasca trauma mengambil masa jauh lebih lama  untuk kembali pulih.  – Utusan Malaysia 28 Jun 2021.

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *