Kerajaan prihatin dengan tekanan ekonomi yang dihadapi rakyat ekoran pandemik Covid-19 dengan pemberian bantuan untuk meringankan beban. (Gambar hiasan MYKMU.NET)

Oleh Husaini Amran

CYBERJAYA – Selaras dengan komitmen kerajaan untuk meneruskan agenda prihatin rakyat, kerajaan akan menyalurkan bantuan tunai langsung kepada rakyat berjumlah RM10 bilion ringgit sehingga hujung tahun ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bantuan tunai langsung itu merangkumi Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).

Menurut beliau, semasa pengumuman PEMERKASA Tambahan yang lepas, kerajaan bersetuju untuk memberi bayaran tambahan bagi BPR sehingga RM500 pada Julai dan bayarannya akan dibuat secara berperingkat mulai esok, 29 Jun.

Manakala, katanya, BPR fasa ketiga dengan kadar bantuan antara RM100 hingga RM1,400 akan dibayar pada September nanti.

Muhyiddin Yassin (Gambar fail Bernama)

“Bulan September juga akan melibatkan bayaran ke atas kes-kes lulus rayuan BPR. Secara keseluruhannya, nilai BPR sehingga hujung tahun adalah 4.9 bilion ringgit,” katanya ketika mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) dengan nilai keseluruhan RM150 bilion bagi memberi bantuan menyeluruh kepada rakyat.

Pakej itu turut merangkumi suntikan langsung fiskal kerajaan sebanyak RM10 bilion.

PEMULIH tertumpu kepada tiga fokus utama iaitu Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat, Menyokong Perniagaan dan Meningkatkan Vaksinasi.

Perdana Menteri turut mengumumkan pemberian Bantuan Khas COVID-19 (BKC) sehingga akhir 2021 dengan kadar dan kategori berikut:

  • Pertama, isi rumah kategori miskin tegar bakal menerima bantuan sebanyak RM500 pada Ogos, RM500 pada November, dan RM300 ringgit pada Disember. Manakala individu bujang kategori miskin tegar akan menerima bantuan sebanyak RM200 pada Ogos dan RM300 pada November;
  • Kedua, isi rumah kategori B40 akan menerima bantuan sebanyak RM500 pada Ogos dan RM300 pada Disember. Manakala bujang kategori B40 akan menerima bantuan sebanyak 200 ringgit pada bulan Ogos; dan
  • Ketiga, isi rumah kategori M40 turut menikmati bantuan sebanyak RM250 manakala bujang kategori M40 akan menerima RM100 pada bulan Ogos nanti.
  • Advertisement
  • Secara keseluruhan, pemberian khas BKC dijangka memanfaatkan lebih 11 juta isi rumah dan individu warga emas serta bujang dengan peruntukan sebanyak 4.6 bilion ringgit.

Selain itu, Muhyiddin berkata, melalui Bantuan Kehilangan Pendapatan pada Oktober nanti, sebanyak RM500 akan disalurkan kepada pekerja yang kehilangan pendapatan berdasarkan data Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam tahun 2021.

“Bantuan itu dijangka memanfaatkan sehingga sejuta ahli yang melibatkan implikasi kewangan RM500 juta ringgit,” jelasnya.

Seterusnya, beliau berkata, kerajaan juga akan memperluaskan Elaun Mencari Pekerjaan kepada bukan pencarum PERKESO terutamanya graduan baharu, lepasan sekolah dan pekerja sektor tidak formal.

“Mereka bolehlah mendaftar di bawah platform MYFutureJobs dan bakal menerima elaun sekurang-kurangnya RM300,” ujarnya.

Muhyiddin menambah, kerajaan akan memperuntukkan RM125 juta melalui HRD Corp untuk melaksanakan inisiatif Place and Train di bawah program Janapreneur terutamanya kepada belia lepasan sekolah dan graduan.

Beliau memberitahu, inisiatif ini dijangka membuka peluang kepada 30,000 orang untuk mengikuti program latihan kemahiran dengan jaminan pekerjaan setelah tamat latihan. Pihak MDEC pula akan menambah baik program sedia ada iaitu eRezeki dan GLOW bagi membantu lebih 20,000 pencari pekerja dalam ekonomi gig.

Perdana Menteri berkata, sebagai tambahan kepada program Bantuan Bakul Makanan sedia ada, kerajaan bersetuju memperuntukkan sebanyak RM300,000 kepada setiap Ahli Parlimen, termasuk Ahli Parlimen Pembangkang, untuk melaksanakan Bantuan Bakul Makanan kepada golongan terjejas di kawasan masing-masing.

“Dalam soal menyampaikan bantuan kepada rakyat, saya mengambil sikap untuk mengetepikan perbezaan politik.

“Baik Ahli Parlimen kerajaan atau pembangkang, semuanya mestilah memikul tanggungjawab bersama untuk membantu rakyat di kala ramai yang sedang menanggung kesusahan.

“Gunalah peruntukan ini sebaik mungkin untuk membantu rakyat yang memerlukan di kawasan parlimen masing-masing,” katanya. – EDISI 9

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *