Kalau nampak bendera putih, mungkin keluarga itu memerlukan bantuan, bantulah sekadar yang mampu. (Gambar hiasan Utusan Malaysia)

Dalam keadaan sebahagian masyarakat terkesan teruk dengan pandemik Covid-19,  apa sahaja usaha yang  menjurus pada pertolongan, bantuan  terutamanya dalam jangka pendek seharusnya disokong.  Ini satu sikap terpuji yang ditunjukkan oleh masyarakat.

Baru-baru ini dalam kalangan masyarakat yang prihatin secara sukarela menggerakkan usaha kempen  #KempenBenderaPutih iaitu membantu ahli masyarakat di sekeliling – taman perumahan atau dalam satu kawasan.  Kaedahnya dengan mangibarkan bendera putih.

Bendera putih dalam konteks ini bukanlah menyerah kalah.   Sebaliknya  tidak lebih sebagai ‘isyarat’ atau ‘tanda’ yang keluarga berkenaan memerlukan bantuan makanan dengan kadar segera. Maka siapa yang tertengok ‘isyarat’ ini dan berkemampuan bolehlah menyalurkan bantuan.

Tidak ada yang membawa maksud kalah atau menang antara pemberi dan penerima bantuan. Yang memberi kerana berkemampuan, yang meminta kerana memerlukan bantuan.

Nik Abduh Nik Aziz (Gambar The Star)

Saranan pemimpin kanan Pas, Nik Abduh Nik Aziz supaya berdoa kepada Allah apabila berdepan dengan ujian sangat tepat.  Tetapi  berdoa juga mesti diiringi ikhtiar.  Malah Nik Abdul  juga  wajar  memahami  ‘bendera putih’  selain daripada yang  maksud kalah dan menang.

Kita percaya mereka yang berdepan masalah tidak putus berdoa, dan meminta bantuan adalah satu ikhtiar. Doa dan ikhtiar tidak pernah bercanggah untuk hal-hal yang baik apa lagi memastikan kelangsungan keluarga mendapat makanan dalam masa yang mendadak.

Advertisement

“Angkat tangan berdoa kepada-Nya. Itulah bendera kekuatan dan optimis dalam ujian kehidupan. Jangan angkat kekalahan menghadapi ujian dengan mengajar rakyat mengangkat bendera putih,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Kibar bendera putih ini boleh dianalogikan  seperti  mangsa banjir berada di atas bumbung  berdoa supaya selamat dari bahana banjir itu.  Kemudian melambai-lambaikan tangan meminta pertolongan. Kedua-dua yang dilakukan – berdoa dan berikhtiar tidak bertentangan antara satu dengan lain.

Hasrat masyarakat untuk membantu perlu diberikan rangsangan dan bukan masa yang tepat untuk kita mempersoalkan warna bendera – putih, merah atau apa.  Katakanlah  bukan warna putih, kemungkinan ada juga yang mempersoalkan  kenapa hijau, kenapa biru dan kenapa merah.

Kalau memilih warna-warna ini sudah tentu membawa pada konotasi politik –  matlamat merentasi garis politik dalam memberi bantuan mungkin berdepan dengan masalah.  Eloklah dpilih putih.

Maka jangan terlalu pantas menganggap mereka yang mengangkat bendera putih di depan rumah adalah orang-orang yang mengaku tewas.  Mereka bukan tewas tetapi ini sebahagian  daripada ikhtiar – mungkin ketika itu ada kecil menangis kerana kehabisan susu. 

Keluarga berkenaan mungkin tidak jemu berdoa dan doa itu dimakbulkan dengan adanya usaha  masyarakat untuk membantu dengan memberikan isyarat berupa bendera putih.  Sesekali kita kena berada di tempat orang  lain untuk memahami masalah yang dihadapi. – Ku Seman Ku Hussain

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *