Donald Rumsfeld orang yang bertanggungjawab memusnahkan Iraq dengan dakwaan yang tidak dapat dibuktikan hingga kematiannya. (Gambar USA Today)

Oleh Ku Seman Ku Hussain

Hingga saat kematiannya, dia gagal membuktikan  tuduhan dan tindakannya benar.  Dia mempunyai masa lebih dua dekad untuk membuktikan, tetapi ternyata gagal. Dia mati dengan membawa  bersama-samanya hutang yang  tidak terkuburkan  – tuduhan palsu dan tindakan yang salah.

Ternyata dengan tindakan salah yang mengorbankan berjuta-juta nyawa tidak berdosa,  sejarah pasti tidak akan memaafkan perilaku buruk semasa hidupnya. Dia boleh berlindung di sebalik kuasa, tetapi tidak boleh  membenamkan kebenaran selama-lamanya.

Maka, tidak hairanlah  hingga saat kematian itu juga dia hanya dicatatkan sebagai manusia  paling dibenci.  Usia menjadi sia-sia apabila dia mati tanpa meninggalkan sedikit pun tanda mata  sebagai manusia berjasa.  Malah akan terus dikenang sebagai pembunuh setaraf Pol Pot di Kemboja kalau pun bukan  sama dengan Hitler era Nazi di Jerman.

Itulah Donald Rumsfeld bekas Setiausaha Pertahanan era Presiden Bush yang mati Khamis lalu pada usia 88 tahun.  Rumsfeld mencatat sejarah pernah dua kali menjadi Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS).  Kali pertama sebagai Setiausaha Pertahanan paling muda  ketika berusia 43 tahun era Gerald Ford dan paling tua pada era Bush sebelum meletak jawatan pada 2006.

Dosa-dosanya yang tidak dimaafkan oleh sejarah ialah mendakwa Iraq mempunyai loji senjata nuklear yang digambarkan sebagai senjata pembunuh manusia terbesar.  Serentak dakwaan itu dia  bertanggungjawab melancarkan serangan ke atas Iraq. Ternyata tanpa senjata nuklear pun dia telah membunuh berjuta-juta rakyat Iraq yang tidak berdosa.

Dakwaan belum dibuktikan oleh pihak tentera AS dan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA),  Iraq telah ranap dalam tahun 2003  di mana Rumsfeld adalah arkitek utamanya.  Presiden Iraq Saddam Hussain yang selamat dalam Perang Teluk pertama akhirnya ditangkap dan dihukum bunuh luar garis  susila dan kemanusiaan.

Semua ini hanya kerana dakwaan Rumsfeld.  Ironinya hingga saat kematiannya,  Rumsfeld tidak dapat menunjukkan bukti atas semua dakwaan itu. Serangan ke atas Iraq hanya berdasarkan dakwaan palsu seorang yang paling berkuasa di Pentagon dan yang kedua di AS.

Rumsfeld sebenarnya seorang  yang bebal,  hanya percaya pada pandangan dunianya yang sempit,  tidak jelas  serta penuh curiga. Dia menolak semua pandangan lain yang bertentangan.  Kebebalan inilah yang membuatkan negaranya terpaksa menanggung beban sejak dua dekad lalu.

Ini termasuklah  memperkenalkan teknik penyiksaan  paling  sadis terhadap mangsa yang dilabel pengganas di kem tahanan Guantanamo.  Rumsfeld terkenal dengan cara menyiksa tahanan luar batas kemanusiaan. Beberapa kali usaha untuk menutup kem yang menjadi tempat penyiksaan itu diusulkan tetapi  Rumsfeld menolaknya.

Rumsfeld yang dilahirkan di Chicago  pada 9 Julai tahun 1932  berada di Pentagon ketika pusat pertahanan AS itu diredah oleh pesawat dalam tragedi 11 September 200l, serentak rempuhan pada dua menara Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York.  Malah Rmsfeld menjadi orang pertama yang berada di tempat kejadian dan membantu mengangkat mangsa yang cedera.

Tidak sampai sebulan selepas kejadian, tentera AS melancarkan serangan udara ke atas Afghanistan untuk menghapuskan al-Qaeda yang didakwa bertanggungjawab terhadap serangan di Pentagon dan WTC. Tidak lama kemudian Rumsfeld mengalih serangan ke Iraq dengan dakwaan Saddam membangunkan loji senjata nuklear.

Kematiannya membuatkan dunia kembali mengingatkan konspirasi jahat AS pasca 11 September 2001 apabila melancarkan tindakan ketenteraan terhadap Afghanistan dan Iraq tanpa usul periksa.  Ironinya kedua-dua negara itu, Afghanistan dan Iraq tidak dapat dibuktikan terlibat dalam  peristiwa 11 September 2001.

Inilah antara segelintir manusia yang kesalahannya  tidak mungkin dimaafkan, kematian pula tidak memadamkan kejahatan lampau yang terlalu jauh dari garis kemanusiaan. Rumsfeld  tidak akan dimaafkan,  dan sejarah tentangnya terus merah dengan tinta yang berdarah.

Dia manusia separuh serigala yang buas di Pentagon,  menjadi pendamping utama Bush.  Kedua-dua ini menjadi menusia yang melampaui haiwan sifatnya.  Akhir usianya, Rumsfeld menyaksikan sendiri kegagalannya  untuk membuktikan segala dakwaan itu benar.

Bush ketika menerima berita kematian Rumsfeld menggambarkan,  Setiausaha Pertahanannya sebagai, “orang yang cergas, berintegriti, dan hampir tidak habis-habisnya tenaga untuk negara.”  Bukan itu sahaja malah menganggap Rumsfeld  seorang yang harus diteladani kerana tidak pernah ‘tersingkir daripada tanggungjawab.’

Tetapi media menggambarkan Rumsfeld sebagai bodoh sombong, tidak menerima nasihat daripada pakar dan suka membenamkan bukti-bukti yang tidak disenanginya. Bagaimanapun kerana kedudukan sebagai individu kedua paling berkuasa, tidak ada siapa yang berupaya menentangnya.

Portal Army Times, yang khusus untuk tentera dan bekas tentera pada 2006 mengambil langkah luar biasa. Rencana pengarang portal ini dengan lantang dan berani  mendedak Rumsfeld meletak jawatan Setiausaha Pertahanan.  Dia sangat memalukan, tulis rencana pengarang itu.

Army Times dengan tegas mendakwa , “Rumsfeld telah kehilangan kredibiliti kerana tidak selari dengan pasukan,  dengan Kongres dan dengan masyarakat.”  Tambah rencana pengarang itu, “Strateginya gagal, dan kemampuannya untuk memimpin terganggu.”

Selepas meletak jawatan,  Rumsfeld berdepan dengan beberapa saman sivil dan jenayah yang berkaitan salah guna kuasa,  jenayah antarabangsa dan mencabul hak asasi manusia.

Antaranya saman daripada bekas tahanan penjara Abu Gharib dan kem  tahanan Guantanamo yang mengheret Rumsfeld, beberapa pegawai tinggi tentera AS termasuk bekas Peguam Negara Alberto Gonzales dan bekab pengarah Agensi Perisian Pusat (CIA),  George Tenet. – Utusan Malaysia 5 Julai 2021

 

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *