KUALA LUMPUR, 11 Julai – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) disaran agar membentangkan data harian berkaitan COVID-19 dengan lebih terperinci bagi mengelakkan tekanan mental meningkat dalam kalangan orang awam apabila melihat kes jangkitan tinggi setiap hari.
Menurut Pakar Perunding Psikiatri Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof Madya Dr Amer Siddiq Amer Nordin, ini juga bagi memberi gambaran lebih menyeluruh situasi negara kepada orang ramai.
“Pesakit COVID-19 dikategorikan sebagai satu hingga lima dan yang membimbangkan ialah kategori empat dan lima kerana kategori satu dan dua itu kita faham mereka dijangkiti tetapi sekiranya divaksinasi atau ada imuniti yang kuat mereka akan baik.
“Walaupun kita lihat nombor kes jangkitan besar tetapi sekiranya kebanyakan mereka berada dalam kategori satu dan dua kita boleh lega sedikit, sekiranya kebanyakan pesakit berada dalam kategori empat dan lima pada masa itu kita perlu bimbang.
“Mungkin ini satu cara lebih sesuai untuk kita memberitahu kepada rakyat kerana nombor-nombor yang semakin lama semakin meningkat ini ia serba-serbi sedikit akan membunuh harapan memandangkan kita menunggu supaya angka itu jatuh di bawah 4,000 kes supaya kita boleh keluar daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.
Beliau berkata demikian di dalam program AWANI Pagi yang membincangkan mengenai tahap kesihatan mental rakyat Malaysia di era pandemik COVID-19.
Terdahulu, beberapa pihak mencadangkan agar dimasukkan data harian kemasukan ke hospital dan bilangan pesakit parah susulan kadar vaksinasi semakin meningkat.
Ini bagi memastikan keberkesanan vaksinasi dapat dinilai dari semasa ke semasa ketika negara menyasarkan mencapai imuniti kelompok 80 peratus secepat mungkin.
Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan menyatakan purata dua kes bunuh diri setiap hari dilaporkan bagi tempoh 2019 hingga Mei 2021 berdasarkan statistik terkini yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, pada 2019 adalah sebanyak 609 kes diikuti sebanyak 631 kes bagi 2020 dan bagi tempoh lima bulan pertama iaitu tempoh Januari hingga Mei tahun ini pula sebanyak 468 kes bunuh diri direkodkan. – Astro AWANI