KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Semua anggota Dewan Rakyat diarahkan supaya menghantar surat akuan kepada Istana Negara dan menamakan calon pilihan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri yang ke-9.
Ahli-ahli Parlimen diberi masa selewat-lewatnya sehingga pukul 4 petang esok (18 Ogos) untuk mengemukakan surat akuan secara bertulis.
Surat akuan itu mesti disahkan sebagai benar.
Arahan berkenaan dikeluarkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun kepada semua Ahli Parlimen di atas titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
Surat akuan itu juga perlu melengkapkan butiran yang disenaraikan antaranya meletakkan hanya satu calon Perdana Menteri sahaja, tanda tangan anggota Dewan Rakyat, cop rasmi saksi dan tarikh surat akuan.
Ahli-ahli Dewan Rakyat juga diminta untuk menjaga kerahsiaan surat akuan berkenaan sehingga satu keputusan diputuskan oleh Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong.
“Adalah dimaklumkan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di dalam melaksanakan budi bicara baginda di bawah Perkara 43(2) (a) Perlembagaan Persekutuan perlu melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang di dalam hemat baginda mempunyai kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.
“Pada pelaksanaan titah perintah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, saya dengan ini memberi notis kepada Yang Berhormat untuk menyerahkan satu surat akuan yang menyatakan dengan terang dan jelas seorang ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan oleh yang berhormat untuk menjadi Perdana Menteri yang kesembilan,” kata Azhar dalam notis yang dikeluarkan.
Dalam notis yang dikeluarkan hari ini, Azhar turut memaklumkan, sekalipun surat akuan tersebut tidak mempunyai format yang tertentu, namun ia perlu mempunyai butiran-butiran berikut:
* Identifikasi Yang Berhormat secukupnya.
* Identifikasi yang secukupnya seorang sahaja ahli Dewan Rakyat yang yang diberikan kepercayaan, penyataan kepercayaan oleh Yang Berhormat.
* Pernyataan yang terang, jelas dan tanpa syarat.
* Tandatangan Yang Berhormat.
* Tandatangan atau cop rasmi saksi (sama ada seorang Peguambela dan Peguamcara, Pesuruhjaya Sumpah, Notari Awam atau jawatan yang setanding bagi Yang Berhormat yang berada di luar negara.
* Tarikh surat akuan.
Menurut Azhar juga, serahan surat akuan melalui tangan juga tidak dibenarkan memandangkan Istana Negara masih berada di dalam kawasan Pelan Pemulihan Negara Fasa 1 dan juga untuk mengelakkan penularan COVID-19.
Senarai calon Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong adalah bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan pada Isnin.
Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri selepas mendapat perkenan daripada Al-Sultan Abdullah ketika menghadap baginda di Istana Negara pada Isnin.
Tindakan itu diambil selepas 15 Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadapnya sebagai Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan Nasional.
Beliau yang juga Presiden Bersatu dilantik sebagai Perdana Menteri pada 29 Februari 2020 ekoran krisis politik selepas keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan.
Susulan peletakan jawatan itu, Yang di-Pertuan Agong berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri Caretaker sehingga Perdana Menteri baharu dilantik. – Astro AWANI.