Kuala Lumpur memang banyak pintu rezeki tetapi tidak mudah membukanya tanpa tekad dan sabar. (Gambar hiasan Lowyat.net)

Oleh Ku Seman Ku Hussain

HARI itu, Rabu 1 Februari 1984 adalah  cuti umum meraikan ulang tahun  ke 10 Kuala Lumpur menjadi Wilayah Persekutuan.  Sebelum   1 Februari 1974  Kuala Lumpur berada dalam negeri Selangor.

Hari itu juga seolah-olah meraikan genap sebulan  saya meninggalkan kampung halaman di Perlis dan berkelana di kota.  Genap sebulan mula bertatih sebagai wartawan,  berdepan pula dengan persekitaran yang amat asing dan cabaran kerja yang bukan calang-calang.

Sepi yang indah di kampung,  berganti hingar bingar  deru kenderaan yang tidak pernah henti. Tetapi nostalgia aroma hujan bulan Januari yang jatuh atas jerami tidak pernah padam.  Itulah  keindahan kampung yang saya nikmati – sejak kecil hingga hari melangkahkan kaki ke kota.

Hujan awal Februari  senja itu baru sahaja reda. Tetapi dingin  angin  dalam deru kereta terus menggigit. Tatkala menyusur dari Masjid Jamek melalui  celah-celah bangunan lama terasa persekitaran agak muram. Kemudian membelok ke Lorong Katak,  gerai-gerai yang diterangi lampu mentol bujur kekuningan.

Muka jalan basah  berkabus memercik bias cahaya lampu kenderaan yang hilir mudik. Ini satu pemandangan baharu sejak sebulan di kota yang riuh dalam sunyi ini. Saya mulai suka suasana begitu, apa lagi mengisi waktu cuti sambil berkenalan dengan Kuala Lumpur.

Di Lorong Katak,  selang satu lot bangunan dengan pasar basah Central Market, beberapa orang berbual  dalam irama hujan senja yang syahdu. Di depan mereka ada gelas-gelas  minuman masih berasap.  Sesekali ketawa berderai  kemudian sepi dan ketawa lagi.  

Sejak sebulan,  saya mulai menangkap satu daripada karakter Kuala Lumpur.  Pantas. Semuanya pantas seolah-olah tidak masa untuk bersenang-senang,  berlengah-lengah. Orang kota  berjalan seperti berlari mengejar bas mini.  Turun dari bas mini mereka berkejar lagi entak ke mana haluannya.

Senja itu Kuala Lumpur terus sibuk.  Ngauman bas mini macam hendak bergaduh gayanya. Motor kapcai menyelit di celah-celah kenderaan lain bagai tidak sayangkan nyawa. Ternyata hujan tidak pernah menghentikan  denyut nadi Kuala Lumpur.  Kehidupan terus bergerak seperti tidak ada apa-apa.

Teksi terus berlegar-legar sambil pemandunya  tertinjau-tinjau mencari penumpang. Tentunya mengharapkan ada terselit sedikit rezeki untuk dibawa pulang kepada keluarga. Wajah pemandunya lesu dan lelah. Ada tua dan juga muda. Kasihan juga melihat yang sebaya ayah terus tabah mencari rezeki dalam sesak Kuala Lumpur yang amat menyiksa itu.

Menjadi pemandu teksi di Kuala Lumpur bukan mudah. Sekali tersangkut dalam kesesakan,  masa dua tiga jam terbuang tanpa upah. Banyak yang menyewa teksi daripada tauke. Tolak sewa, minyak dan upah cuci setiap hari,  yang  berbaki di tangan tidak sepadan lelahnya. Tetapi mereka tidak ada pilihan.

Beberapa kali juga saya berpeluang mencungkil  kisah hidup pemandu teksi  termasuk yang usianya lewati 70-an. Pada usia sedemikian, seharusnya berada di rumah menikmati apa yang ada.  Melayan anak-anak dan cucu.  Tetapi takdir manusia tidak sama, Ada yang terpaksa bergelut mencari rezeki dalam keadaan tidak berdaya.

Sebenarnya tidak pernah terbayang Kuala Lumpur akan menjadi pintu rezeki.  Kuala Lumpur hanya melintas dalam khayalan dan mimpi,  tetapi hampir tidak berlaku di alam nyata.  Daripada kawan-kawan yang pernah berkelana di kota ini,  Kuala Lumpur  amat gemerlapan. Tetapi ini bertentangan dengan saya pencinta sunyi yang damai.

Advertisement

Tetapi sudah ditakdirkan saya ke Kuala Lumpur juga sebagai wartawan. Dengan gaji yang kecil, saya hampir tidak pernah membayangkan  cita-cita dan masa depan.  Saya mahu mengisi masa muda dengan pengalaman sebelum menentukan arah kompas seterusnya. Tidak terbayang boleh kekal lama dalam perlumbaan hidup yang amat sengit di kota ini.

Teringat kata Allahyarham Pak Sako ketika saya masuk ke biliknya di Utusan Melayu, “Kamu orang muda. Jangan takut meredah cabaran. Aku baya kamu ni sudah jauh merantau.”  

Sebulan di Kuala Lumpur,  saya belum kenal apa-apa pun tentang  alam  dan manusianya.  Sebulan terlalu singkat kerana kota ini amat kompleks lagi unik Manusianya tidak seperti orang di kampung saya. Banyak yang berpesan, jangan mudah percaya. Pemangsa berkeliaran mencari mereka  yang naif dan sentiasa berbaik sangka.

Saya hanya kenal gerai di Lorong Katak itu, selebihnya  beberapa gerai Melayu di Chow Kit. Itu pun kerana Chow Kit menjadi stesen akhir laluan bas mini.  Saya menjauhkan diri dari  Chow Kit yang ada penyakit sosial yang tersendiri. Cuma di Chow Kit mudah bagi orang bujang – banyak gerai makan.

Lagu Senyumlah Kuala Lumpur  oleh Alleycats dan Senja Di Kuala Lumpur nyanyian Broery Marantika menjadi begitu sentimental.  Tetapi dalam masa sebulan saya belum bertemu dengan sisi romantis  kota ini seperti yang terungkap dalam Senja Di Kuala Lumpur.

Utusan Melayu yang menempatkan saya di tengah-tengah kota – bergaul dengan  pelbagai lapisan manusia. Daripada yang serendahnya di kaki lima hingga setinggi-tingginya. Tahun demi tahun saya mulai akrab dan memahami resam manusia.

Semua yang dilihat itu sangat membantu memahat  rupa fikir dalam karya-karya kewartawanan saya.  Kerjaya saya  berhubung kait dengan manusia,  kaya miskin, kuat dan lemah. Kuala Lumpur menjadi sekolah kehidupan yang tidak tertanding dalam melentur rasa manusia saya.

Karakter kota ini memang sangat materialistik,  perlumbaan memburu kekayaan pelbagai jurusnya – ada putih dan gelapnya. Wajah malamnya sentiasa gemerlapan,  tetapi seperti kota-kota lain juga hanya kelkatu sahaja yang tewas dengan percikan cahaya.

Bagaimanapun selepas 37 tahun berkampung di kota ini,  ternyata tanggapan awal saya tidak semua benar. Memang ada yang rakus dan hilang  manusianya. Tetapi banyak juga manusia baik dan pekerti tinggi. Kuala Lumpur memang banyak pintu rezeki tetapi tidak mudah membukanya tanpa tekad dan sabar. (Dari kolum Catatan Kota Batu di Wilayahku 3 September 2021)

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *