Jo Beret Merah telah memperkenalkan Kuala Lumpur daripada sisi yang berbeza kepada saya. (Gambar hiasan MalaysiaGazette)

 Oleh Ku Seman Ku Hussain

Membaiki kasut di kaki lima adalah fenomena biasa di Kuala Lumpur.  Ini adalah salah satu daripada pintu rezeki penghuni kota. Walaupn ada kedai membaiki kasut, tetapi tukang kasut di kaki lima menjadi pilihan kerana upahnya murah dan hasil kerjanya tinggi.

Tukang kasut juga mempunyai nilai pasaran yang tinggi. Malah sebahagian besar  penghuni Kuala Lumpur memang ada pengalaman mendapat khidmat tukang kasut di kali lima. Membaiki kasut sebenarnya bukan mudah, tetapi menjadi pilihan kepada mereka yang terdesak tidak ada kerja.

Tidak hairanlah kalau ada yang  teraba-raba dan kekok memegang kasut.  Kelihatan tidak yakin melakukan kerja itu. Mereka mungkin baharu dalam proses  belajar, tetapi terus mengambil upah  membaiki kasut. Mereka memilih kerja itu kerana modalnya kecil, asalkan sanggup berpanas  di kaki lima dan sabar dengan kerenah pelanggan.

Saya juga agak memilih dalam soal tukang kasut. Walaupun kasut jenis murah tetapi tetap mahukan hasil yang terbaik daripada orang yang mahir.  Di Kuala Lumpur ini asalkan boleh memjadi duit, semua kerja akan dibuat orang walaupun bukan bidang kemahirannya.

Salah seorang  tukang kasut yang mahir dan kenal kerenah kasut ialah Jo Beret Merah. Dia tekun dan amat menjaga hasil kerjanya. Bermacam-macam kasut pernah mendapat sentuhannya. Pangkalan (port) dia di kaki lima deretan kedai tidak jauh Globe Slik Store di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Tahun 1980-an banyak tukang kasut di kaki lima sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. (Gambar hiasan)

Di deretan kedai itu ada beberapa tukang kasut lain yang semuanya merantau mencari rezeki di Kuala Lumpur.  Ada yang hidup di bawah jambatan dan  menumpang tidur di kaki lima kerana tidak mampu menyewa bilik. Penghuni tidak berumah adalah perkara biasa di Kuala Lumpur.

Tetapi ini satu fenomena baharu bagi saya. Di Kangar,  satu-satunya bandar yang saya kenal selain Alor Setar hanya ada dua tiga tukang kasut sahaja. Punca rezeki di kaki lima hampir tidak ada, salah satu sebabnya orang susah bekerja mengambil upah di kampung-kampung.

Di Kuala Lumpur berbeza,  berbagai-bagai cara orang mencari rezeki di tepi jalan dan kaki lima. Paling banyak menjual air  sirap, air jagung, pisang goreng hinggalah menjadi penjaga tempat letak kereta secara haram.  Paling teruk lagi menjual salinan fotostat keputusan nombor ekor di lampu isyarat.

Saya kenal Jo sekitar tahun 1985 ketika kasut PVC yang lusuh itu meragam.  Tumitnya senget dikikis tar di jalanan, tapak menipis dan hampir bocor, muncung pula ternganga macam mulut buaya. Daripada keadaan fizikal kasut yang dibeli semasa menjadi wartawan sambilan di Alor Setar itu boleh dibersarakan.

Tetapi hidup sebatang kara di Kuala Lumpur mesti berjimat kerana tidak ada siapa yang boleh membantu. Maka selagi boleh digunakan, kasut itu terus berkhidmat kepada saya. Biarlah sedikit lusuh dan uzur, disapu penggilat, terlindunglah keadaan sebenarnya.  Kepakaran Jo menjadikan kasut itu kembali kukuh dan panjang hayatnya.

Daripada perkenalan itu,  saya mendapat tahu namanya Johari. Dia bekas komando berusia lingkungan 50-an berbadan  tinggi dan tegap, rambut  panjang menjurai ke bahu. Jo memang ada gaya walaupun berseluar dan baju yang lusuh. Identitinya selalu memakai beret merah.

Jo juga salah seorang perantau yang menemui lorong rezeki sebagai tukang kasut di tengah kota metropolitan itu. Dia menceritakan kisah hidup kepada saya yang suka bersembang. Saya suka mengumpil kisah  mereka di jalanan sebagai  bahan karya kewartawanan.

Orang seperti Jo yang hidup di kaki lima banyak memperkenalkan Kuala Lumpur daripada sisi yang berbeza kepada saya. Mereka memilih untuk berjuang dalam hidup di Kuala Lumpur kerana banyak lorong rezeki, asalkan rajin dan tidak putus asa.  Banyak yang bepekerti mulia dan jujur.

Untuk menjadi jujur tidak menunggu berpangkat tinggi dan banyak harta. Sifat itu mesti ada kepada semua orang tanpa dibatasi kelas, keturunan atau agama. Dalam kehidupan di Kuala Lumpur yang dipandu kebendaan, tetap ada yang berhati mulia dan wang bukan segala-galanya. Jo salah seorang daripadanya.

Saya kerap singgah di tempat kerja Jo di kaki lima  Jalan Tuanku Abdul Rahman. Malah ada juga mengajak Jo minum di kedai mamak di Jalan Masjid India.  Tidak jauh dengan tempat kami selalu minum ada Wisma Yakin dan tepinya ada Restoran Tawakal yang terkenal dengan mi hailam.

Dalam wajah yang sentiasa ceria dengan kawan-kawan,  Jo sebenarnya berdepan ujian besar –  isteri terlantar  di rumah setingan di Ampang kerana  kanser. Dia ada anak tunggal darjah tiga. Mula-mula dulu Jo merancang menjadi pengawal peribadi. Kerja sudah dalam tangan. Bagaimanapun terpaksa menolak itu selepas isterinya didapati mengidap kanser.

Tetapi Jo tidak pernah merungut mengenai nasib yang menimpa – isteri  bertarung dengan kanser dan pendapatan tidak menentu. Dia tampak tenang dan bahagia. Malah banyak bercerita tentang kebahagiaan dan harapan membina masa depan.

Kuala Lumpur yang sangat kebendaan mengungkapkan bahawa kebahagiaan terletak pada cara kita memaknakan  kehidupan. Memiliki harta yang bergunung itu bukti kekayaan, hidup kais pagi makan pagi di kaki lima itu tanda kemiskinan. Bagaimanapun kedua-duanya berhak menikmati bahagia dengan cara yang tersendiri.

Sebagai wartawan baharu,  saya sibuk membina kerjaya dan tugasan yang bertali arus.  Tidak banyak  masa  yang terluang.  Kesibukan itu memutuskan hubungan dengan Jo apabila dia sudah tidak ada lagi di kaki lima berhampiran Globe Silk Store.

Banyak juga ‘port’ tukang kasut yang saya susuri tetapi tidak ketemu dengan lelaki beret merah itu. Mungkin memilih ‘port’  lain atau berhijrah ke kota lain mencari rezeki. Dia hanya meninggalkan kenangan dan pesanan.

Kini sudah 36 tahun berlalu dan Jo mungkin berusia lebih 85 tahun. Semoga Jo terus cekal dan sentiasa memberi makna pada kehidupan. Dia lelaki yang tidak mudah kalah. Secara peribadi Jo telah memberikan teladan yang baik kepada saya yang baru hendak mengenali kota ini. (Kolum Catatan Kota Batu di Wilayahku 1 Okt 2021)

 

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *