Oleh Ku Seman Ku Hussain
MENTALITI massa yang berduyun-duyun sama ada menyokong atau membantah sesuatu tanpa pemerhatian yang mendalam adalah penyakit yang memporak perandakan masyarakat. Bagaimanapun ini bukanlah penyakit baharu malah sudah lama bertapak dalam masyarakat termasuk orang Melayu.
Pada zaman moden ini media sosial menjadi pemangkin sikap melulu itu menjadi semakin parah. Kelompok yang berduyun-duyun ini semakin besar jumlahnya disebabkan jaringan media sosial yang rentas negeri, negara dan garis diplomatik.
Rabu lalu (6 Oktober 2021) tiga media sosial utama, Facebook, Instagram dan Whatsapp berdepan masalah dan terhenti pada tengah malam hingga pagi. Bagaimanapun di negara kita tidak begitu mencemaskan kerana berlaku pada waktu lewat malam. Tetapi di negara-negara lain seperti United Kingdom sekitar pukul 5 petang hari Selasa ketika kegiatan sosial berada di kemuncak.
Kejadian ini berlaku tidak lama selepas bekas pekerja Facebook, Frances Haugen mendedahkan tentang perubahan algoritma (kod carian) Facebook yang menentukan bentuk hidangan yang paling digemari di News Feed. Agak mengejutkan kerana kata kunci yang membawa maksud hasutan dan berita palsu yang paling banyak mendapat klik.
Matlamat utama perubahan algoritma ialah memastikan pengguna kekal lama di laman Facebook bagi memastikan lebih banyak iklan sampai kepada sasaran. Piagam Facebook kelihatan sangat humanis apabila melarang hantaran yang berbaur perkauman, keganasan dan anti keharmonian. Tetapi di sebaliknya Facebook membentuk pemikiran arus utama yang bertentangan piagam.
Walaupun begitu hal ini tidak menghairankan kerana kecenderungan media sosial ialah membentuk sikap melulu dan majoriti dijadikan tanda aras benar atau salah sesuatu perkara. Hal ini membuatkan semakin banyak pengguna bersifat tidak kritikal dan tidak percaya pada akal fikir sendiri.
Daripada populasi 31.83 juta orang, sebanyak 74 peratus atau 24 juta orang penduduk negara ini mempunyai akaun media sosial terutama Facebook. Daripada jumlah ini tidak banyak isu yang menjadi arus utama. Hanya dua tiga isu sahaja yang remeh temeh, tetapi berlarutan berminggu-minggu malah berbulan-bulan.
Lihat sahaja isu seremeh Sajad, Neelofa dan beberapa lagi di mana sebahagan besar daripada 24 juta pemilik akaun media soaial itu berduyun-duyun memberi reaksi tidak ubah itik yang dihalau masuk ke reban. Mereka merasakan sudah amat gah apabila mendapat kebebasan bersuara.
Hampir semua berkerumun isu itu. Masing-masing berbangga dapat memberi reaksi terhadap isu yang sohor kini (trending). Tetapi terlupa isu-isu besar di sekeliling yang tidak ‘diarusperdanakan’ oleh media sosial. Banyak yang lemas tanpa sedar dalam isu-isu remeh dan murahan.
Apabila muncul ‘ustaz’ yang pemurah dan merempuh sana dan sini untuk memberi bantuan, berduyun-duyun jugalah yang menyokong melulu tanpa menyimpan sedikit ruang untuk berfikir. Resmi itik dan kambing di padang ragut yang berduyun-duyun ke sana dan ke sini menjadi sifat sebahagian dalam kalangan mereka.
Media sosial antara yang menjadi sarana mewujudkan sikap berduyun-duyun itu. Kita tidak tahu apakah sebenarnya yang membuatkan perkhidmatan ketiga-tiga media sosial itu terhenti lebih kurang enam jam. Bagaimanapun dengan akal fikiran yang ada, kita mesti menguruskan diri untuk berdepan kerenah nakal sesetengah media sosial.
Sudah tentu kita tidak mampu mengubah algoritma Facebook untuk mengaut keuntungan pada era langit terbuka ini. Tetapi kita mampu untuk tidak meneruskan resmi itik, kambing atau lalat yang suka ikut berduyun-duyun pada isu tertentu tanpa usul periksa.
Sebenarnya sifat buruk ini telah lama disuarakan oleh pemikir dan pemerhati sosial yang menuangkan dalam karya yang berbentuk kesusasteraan. Kalau membaca karya sejak tahun-tahun awal selepas merdeka, kita sudah dibimbing untuk terhindar daripada sikap menyokong berjemaah secara melulu begini.
Sasterawan Negara Shahnon Ahmad mengkritik sikap melulu atau berduyun-duyun dalam masyarakat apabila berdepan sesuatu persimpangan. Kritikannya sangat tegas dan jelas dalam novel Rentong (1965).
Beliau mengangkat watak yang mewakili pemikiran yang demikian – Tok Imam, Jusoh dan Lebai Debasa. Bagaimanapun Pak Kasa dan anaknya Semaun yang disingkirkan kerana ‘tidak bersosial’ agak bertentangan – tidak membuat pendirian yang melulu dalam sesuatu perkara.
Ketika Shahnon menulis Rentong, media sosial belum wujud Kampung Banggol Derdap. Bagaimanapun disebabkan kejumudan, orang kampung bergantung kepada sosok yang dilihat tertampil kemudian menyokong melulu pendiriannya.
Shahnon kritis terhadap sikap dan pemikiran orang Melayu yang tidak digemarinya – cepat terpengaruh kemudian berduyun-duyun menyokong tanpa berfikir akan tindakan itu. Shahnon berdepan dengan masyarakat pedalaman tahun 1960-an sama seperti kita dengan melawan sikap buruk yang dijana media sosial pada dekad kedua alaf baharu ini.
Media sosial tidak lebih sarana sahaja, tetapi yang menjadi persoalan utama ialah sikap masyarakat. Facebook misalnya, kalau digunakan dengan penuh sedar untuk mendapat manfaat, tidak akan menjerumuskan pengguna ke lembah mentaliti yang merugikan itu.
Dalam Rentong, orang kampung terpengaruh dengan seorang penduduk bernama Dogol yang kelihatan keterampilan. Setiap kata Dogol akan ditelan tanpa dikunyah. Sebenarnya Dogol memperalatkan orang kampung untuk menyingkir Semaun yang tidak seperti orang kampung yang lain. Semaun bertanya itu dan ini sebelum setuju atau tidak.
Sekiranya Banggol Derdap dalam Rentong diletakkan dalam milieu sosial semasa ketika ini, sosok yang boleh diteladani ialah Semaun. Sikapnya bertentangan dengan majoriti orang kampung dan tidak menyokong melulu. Dia tidak terpengaruh dengan sentimen majoriti, tetapi percaya pada akal fikir sendiri.
Semaun adalah lambang manusia yang dibayangkan Shahnon mampu hidup dan berdepan dengan rempuhan liar media sosial zaman ini. Dia tidak mudah dipengaruhi persekitaran. Semaun adalah ikan hidup di lautan yang tidak pernah masin.
Maka masyarakat perlu berubah daripada berduyun-duyun menyokong atau membantah pada sikap yang kritikal, banyak soal dan meneliti lebih dalam sebelum menyatakan pendirian. Ruang kebebasan bersuara perlu dimanfaat dengan sebaik-baiknya. Cukuplah melulu ‘berjemaah’ dan terpedaya dengan algoritma yang disusun untuk memalingkan kita daripada kebenaran. (Utusan Malaysia 11 Oktober 2021)