ADA pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diiktiraf di peringkat dunia dalam membawa suara atau kepentingan masyarakat yang diwakili mereka. – GAMBAR HIASAN/AFP

Oleh Ku Amirul Faiz

PERTUBUHAN bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan masyarakat sivil (CSO) adalah salah satu pemegang taruh kepada masyarakat. Pertubuhan-pertubuhan ini mengisi suatu kelompangan dalam masyarakat dan menyempurnakan keperluan masyarakat tersebut.

Bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia, pertubuhan sebegini mempunyai tempat dalam masyarakat. Malah terdapat juga pertubuhan yang diiktiraf di peringkat dunia dalam membawa suara atau kepentingan masyarakat yang diwakili.

Di Malaysia, tiada satu akta khusus yang mengendalikan perjalanan pertubuhan. Pertubuhan boleh didaftarkan mengikut jenis dan keadaan mereka. Misalnya pertubuhan belia didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668) dan Pendaftar Pertubuhan Belia mempunyai kuasa untuk menyelia pertubuhan-pertubuhan ini.

Pertubuhan belia mempunyai tujuan dan khalayak yang khusus iaitu belia.

Namun, bagi kebanyakan NGO atau CSO, ia berdaftar dengan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335). Ada pula yang didaftarkan dengan Akta Syarikat 2016 (Akta 777).

Kewujudan pertubuhan ini sebenarnya bergantung sepenuhnya terhadap objektif dan tujuan yang ingin dicapai oleh pertubuhan masing-masing.

Lantaran itu, memandangkan penyelia dan akta yang mengawal pelbagai pertubuhan adalah berbeza, wujud satu keperluan untuk diwujudkan satu tadbir urus yang mapan dalam memastikan integriti pertubuhan dijamin.

Perbezaan yang wujud bukan sahaja terdapat di peringkat pendaftaran tetapi juga di peringkat kawalan dan penguatkuasaan. Tadbir urus tidak mempunyai sebarang definisi secara khusus dalam mana-mana undang-undang.

Namun, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) telah memperkenalkan Kod Tadbir Urus Pertubuhan (COGG). COGG ini adalah satu set nilai dan prinsip yang akan membentuk sikap dan minda bagi dijadikan panduan untuk menjalankan tanggungjawab pemegang jawatan utama pertubuhan.

Inisiatif yang diperkenalkan oleh JPPM ini adalah baik untuk memandu dan membawa pertubuhan di Malaysia ke satu aras yang lebih baik. Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa kod ini tidak mempunyai implikasi perundangan sebaliknya hanyalah berfungsi sebagai garis panduan semata-mata.

Tadbir urus pertubuhan yang baik sememangnya sudah menjadi satu keperluan. Ini memandangkan ada antara pertubuhan ini yang bergantung kepada dana yang disumbangkan oleh orang awam atau pertubuhan awam. Justeru, ia memerlukan satu tadbir urus untuk memberikan kepercayaan awam terhadap pemberian dana atau sumbangan ini.

Isu teras kepada tadbir urus pertubuhan ini semestinya melibatkan integriti. Integriti dalam mendapatkan dana serta integriti dalam menguruskan dana-dana ini. Misalnya dengan merujuk kepada prinsip kelima dalam COGG oleh JPPM iaitu bertindak dengan penuh berintegriti dan terus.

Advertisement

Di bawah prinsip ini, ada menyatakan bahawa ahli jawatankuasa perlu mengisytiharkan konflik kepentingan yang wujud kepada jawatankuasa dengan menandatangani perakuan bertulis. Antara yang perlu diisytiharkan adalah memastikan tiada ahli atau pekerja atau penderma yang menggunakan pertubuhan untuk kepentingan peribadi.

Terdapat banyak sebab mengapa pengurusan kewangan adalah penting untuk dititikberatkan. Antaranya untuk mengetahui bahawa sumber kewangan yang diperoleh adalah daripada sumber yang sah dan bukan untuk tujuan ‘mencucikan’ wang haram.

Selain itu, perlu dipastikan sama ada wang ini digunakan selaras dengan tujuan atau objektif pertubuhan. Salah satu elemen dalam integriti kewangan adalah keperluan bagi menghantar akaun tahun kewangan.

Setiap pertubuhan tanpa mengira di mana ia berdaftar perlu menyerahkan penyata kewangan kepada pendaftar bagi tujuan rekod. Misalnya Seksyen 14 (1) (d) Akta 335 menyatakan penyata kewangan perlu dihantar kepada pendaftar. Selanjutnya di subseksyen 2(d), Pendaftar boleh mengarahkan pertubuhan untuk menghantar akaun yang diaudit.

Bagi pertubuhan yang didaftarkan di bawah Akta 777 pula, ia adalah mandatori untuk memfailkan penyata tahunan dan kegagalan menghantarnya merupakan satu kesalahan yang boleh didenda menurut Seksyen 68(9) akta tersebut.

Bagi pertubuhan belia pula, keperluan menyerahkan akaun bagi tahun kewangan terakhir adalah jelas dinyatakan dalam Seksyen 22 (d) Akta 668 dan Pendaftar mempunyai kuasa untuk memerintahkan supaya akaun yang diaudit diserahkan kepada Pendaftar selaras Seksyen 23 (1)(d) Akta 668.

Justeru, penyata kewangan yang dibentangkan semasa mesyuarat agung tahunan atau difailkan kepada pendaftar perlu mempunyai butiran yang jujur bagi menunjukkan keadaan kewangan pertubuhan. Ini adalah penting supaya ahli pertubuhan dan masyarakat mengetahui ke mana perginya dana yang disumbangkan mereka.

Tuntasnya, pertubuhan dituntut untuk ditadbir urus dengan cekap terutama dalam isu berkenaan dana yang dibelanjakan. Kegagalan dalam pengurusan kewangan akan menghilangkan kredibiliti pertubuhan dan yang lebih parah membawa kepada pelanggaran undang-undang semasa.

Perlu diingatkan, pertubuhan bukanlah satu medium bagi mencipta kekayaan atau mencuci pendanaan haram tetapi satu medium kuasa ketiga memperjuangkan suara masyarakat. Mahu atau pun tidak, tadbir urus yang mapan perlu diterjemahkan dan dilaksanakan di setiap peringkat pertubuhan. (Utusan Malaysia 15 Oktober 2021)

  • KU AMIRUL FAIZ adalah peguam; Ketua Penerangan GPMS (Wilayah Persekutuan) dan Ahli Jawatankuasa Pusat MACSA.

 

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *