Oleh Ku Seman Ku Hussain
PADA tahun-tahun lewat 1970-an hingga awal 1980-an di Perlis, adakalanya hujan yang mencurah-curah membawa isyarat yang kurang baik, kemungkinan berlaku banjir di sawah. Musim monsun barat daya biasanya membawa hujan yang luar biasa – lebat dan jangka masanya lama. Musim ini selalunya padi tengah menguning dan runduk tanda hampir masak, tidak lagi memerlukan hujan.
Pertambahan air dalam petak sawah menjadi perangkap pada pokok padi yang rebah ketika hujan dan ribut. Padi akan rosak apabila terendam semalaman, menjadi santapan ikan lampam.
Melihat jurai air yang mengalir dari cucur atap memang mempesona, biarpun rasa sedikit terkepung. Selalunya saya akan berteleku di muka pintu atau bertenggek di atas tangga kayu. Memang melekakan apabila berlama-lama menikmati dingin hujan dan deru angin barat yang galak.
Saya orang kampung daripada keluarga pesawah. Bencana yang memeritkan keluarga saya – padi yang sedang masak ditenggelami air dan rosak. Airmata ibu mengalir melihat tangkai padi menyembah bumi. Itulah nyawa kami sekeluarga – sebidang sawah seluas lima relung (lebih kurang tiga ekar).
Semua ingatan itu menjadi basah setiap kali hujan mencurah-curah waktu saya keseorangan di tengah kota pada tahun-tahun awal sekitar 1984 dan 1985. Hujan seolah-olah membawa saya kembali ke perdu kenangan waktu di kampung yang berjarak 500 kilometer dari Kuala Lumpur.
Di Kuala Lumpur saya kerap menikmati hujan ketika minum di warung teh tarik yang berselerak di sana sini. Banyak aktiviti yang boleh dilakukan di sini – berjumpa kawan, informer dan kerap juga menulis deraf berita atau rencana.
Selepas tahu serba sedikit jalan dan lorong di pusat bandar Kuala Lumpur, hujan tidak menjadi penghalang untuk saya ke sana dan ke sini dengan meniti dari kaki lima ke kaki lima. Walaupun baharu tetapi sudah menghafal kaki lima berbumbung untuk berlindung.
Biar pun hujan, kalau teringat hendak ke warung teh tarik di hujung Jalan Bandar dekat ibu pejabat polis trafik Kuala Lumpur, saya menyusuri lorong dan kaki lima dari Puduraya ke Jalan Petaling (Petaling Street), memintas ke Jalan Bandar dan terus ke warung di sebelah Panggung Drama. Sekarang nama Jalan Bandar ditukar pada Jalan Tun HS Lee.
Warung itu menjadi akrab kerana Panggung Drama antara yang menjadi pangkalan (port) budak-budak teater di Kuala Lumpur. Di situ boleh berjumpa dengan banyak kawan pemain teater – Khalid Salleh, Sani Sudin, Siso, Latif Arif dan banyak lagi.
Penat berlatih teater mereka ke warung, lebih-lebih lagi hari hujan untuk memanaskan badan dengan teh tarik. Mulalah bersembang dari bab satu hingga bab sepuluh masih belum ada penamat.
Sebagaimana resahnya ibu dan ayah di kampung dulu, penghuni Kuala Lumpur juga berdepan hujan dengan debar dan resah. Banyak kampung setinggan di kawasan rendah di sekitar Kuala Lumpur kerap ditenggelami banjir kilat.
Tetapi golongan marhaen tidak ada pilihan – banjir kilat didepani dengan tenang dan sabar. Bertahun-tahun keadaan tidak berubah dan kehidupan mesti diteruskan juga walau apa keadaannya.
Pada suatu malam dalam tahun 1985, dari jendela Masjid Jamek kedengaran deru ganas dari arah sungai Gombak. Daripada bias lampu neon Kuala Lumpur, kelihatan aliran air yang sangat deras menghanyutkan gumpalan sampah sarap dan mencecah tebing.
Apabila melihat aliran sudah melimpah ke kaki lima di sekitar kawasan di situ saya bergegas keluar menyusur Jalan Melayu untuk ke Wisma Yakin, seterusnya menyusuri tepi Masjid India untuk mengelak hujan ke bangunan Malay Mansion. Dengan khabar Sungai Bunus tidak jauh dari situ juga sudah melimpah.
Saya singgah ke warung mamak di bawah Malay Mansion, antara yang selalu dikunjungi kerana keenakan teh tariknya. Hujan semakin mencurah. Kilat kerap mengejutkan dan petir bersambung-sambung. Kenderaan di Jalan Tuanku Abdul Rahman terhenti. Sesak yang teruk.
Selepas agak reda saya keluar dan menyusur Jalan Tun Perak dan menghala ke Puduraya. Tetapi setibanya di atas jambatan depan Masjid Jamek, air keladak dari sungai Kelang telah melimpah dan memutuskan perhubungan separuh Jalan Tun Perak.
Keadaan sangat mencemaskan, kenderaan tersekat kerana tidak dapat bergerak langsung malah banyak pula yang tersadai kerana enjin terendam air. Malam itu antara banjir kilat yang besar melanda Kuala Lumpur. Saya yang telah basah kasut dan pakaian terus meredah hujan dan air separas lutut untuk ke Puduraya.
Orang ramai berasak-asak di tepi-tepi kali lima kerana semua pengangkutan awam – bas panjang dan bas mini terhenti. Sampai sahaja di Puduraya, pertama sekali saya keringkan baju di kipas penghawa dingin yang panas.
Saya meninjau-ninjau di bawah Puduraya kalau ada bas Fuh Hup yang hendak ke Kajang melalui rumah sewa saya di Taman Cheras namun hampa kerana semua bas tidak bergerak – Jalan Cheras dinaiki air. Ketika itu perkhidmatan bas di Kuala Lumpur setakat pukul 12 tengah malam sahaja.
Kelihatan ada dua tiga teksi di tepi Puduraya. Saya menuju ke sebuah teksi dan bertanya tambang ke Taman Cheras. Pemandu itu kata RM20. Saya tahu dia hendak sembelih saya dengan tambang sebanyak itu. Dalam dompet saya pun hanya ada RM10.
Saya bertekad malam itu akan tidur di Puduraya menunggu bas mini pertama esoknya. Puduraya sudah lengang, bas ke luar Kuala Lumpur sudah bergerak. Keadaan tengah malam di tingkat atas Puduraya sunyi. Hanya kelihatan beberapa gelandangan mengheret kotak kertas untuk dijadikan alas tidur.
Mereka agak hairan melihat saya tidur di atas bangku simen di hujung sebelah kiri. Saya memeluk beg sandang dengan kemas dan membutangkan poket belakang yang ada dompet. Seorang gelandangan menghampiri saya dan memberikan kotak kertas. Saya ambil dan ucap terima kasih.
“Tidurlah. Tidur di mana-mana pun mimpi tetap indah,” bisik gelandangan itu sambil berlalu. Perut berkeroncong gagal disenyapkan kerana duit hanya berbaki RM10. Malam itu hujan menjadikan saya menjadi sebahagian daripada gelandangan yang menjaring mimpi di atas alas kotak sebelum munculnya mentari. (Kolum Catatan Kota Batu di Wilayahku 15 Oktober 2021)