Central Market menjadi pangkalan seniman jalanan yang memberikan imej unik pada Kuala Lumpur. (Gambar hiasan nashaplaneta.com)

Oleh Ku Seman Ku Hussain

PADA tahun-tahun awal Central Market menjadi pusat barangan seni kraf,  saya ke situ untuk berjumpa kawan-kawan seniman jalanan.  Walaupun semasa di kampung saya tidak biasa dengan tabiat bersembang di kedai kopi, tetapi Kuala Lumpur memperkenalkan saya dengan Central Market.

Saya masih baru di Kuala Lumpur. Masih terpinga-pinga, haru biru dan kacau bilau memikirkan kehidupan di Kuala Lumpur.   Bagaimanapun Central Market mempertemukan saya dengan kawan-kawan sealiran  yang baik – meminati seni teater, seni lukis, sastera dan budaya.

Pengunjung yang selalu berkumpul di situ datangnya daripada pelbagai cabang seni – aktivis teater,  pelukis potret, kartunis, jurugambar, penyair dan buskers. Kalau ditanya saya,  era lima tahun pertama Central Market itulah yang amat bermakna. Ada citra seninya – pada program yang disusun dan tempat tumpuan golongan seniman.

Ahad minggu lalu saya kembali menziarah Central Market. Pada 35 tahun lalu, tempat saya berdiri petang itu adalah gelanggang acara baca puisi di bawah tiang lampu. Saya bertinggung sambil menonton acara yang sangat unik –  menjual buku sambil mendeklamasi  dan menyanyikan lagu-lagu puisi. Nampak macam main-main tetapi sebenarnya sungguh-sungguh.

Waktu itu menjual buku di tepi jalan suatu yang pelik. Lagi pula banyak budak Melayu lebih gemar muzik rock kapak dan tarian breakdance. Habis semua kaki lima dijadikan pentas tarian breakdance  yang mengelupur bagai ayam kena sembelih. Banyak budak Melayu itu meniru tanpa ilmu. Akibatnya ada yang patah tengkuk kerana hendak menjadi manusia maju.

Ketika itu juga zaman rock kapak.  Kalau hendak menghayati zaman itu tontonlah filem Kembara Seniman Jalanan dan Rozana Cinta 87.  Kedua-dua filem Nasir Jani ini menangkap milieu anak muda dekad 1980-an.  Kecuali saya, banyak kawan-kawan sebaya memang menyarung seragam rockers apabila keluar dari rumah.

Daripada bawah tiang lampu itu pertama kali saya mendengar lagu Masihkah Kau Ingat ciptaan Sani Sudin dan lagu Akhir Disember  yang dilagukan daripada puisi karya Aziz HM.  Waktu itu tiga serangkai, Sani Sudin, Usop dan Siso tidak pernah berenggang.  Berambut panjang dan sangat rockers penampilannya.

Sasterawan Negara A Samad Said  pula antara yang paling dominan lagi berusia antara kami yang rata-rata bawah 30-an.  Pak Samad ketika itu  berusia sekitar 50 tahun dan dianugerahkan Sasterawan Negara. Ketika itu Pak Samad menjadi Pengarang Sastera di Berita Harian.

Imejnya unik dan mudah diingat – rambutnya hitam panjang bersulam putih. Cermin mata bulat ala John Lennon, beg sandang kanvas dan  selalu memakai capal. Dalam beg sandang itu selalu ada buku, kertas catatan dan surat khabar yang belum habis dibaca.

Pak Samad tegar melayan gelagat kami yang sebenarnya sangat tidak setaraf dengan beliau, banyak yang tidak tahu daripada tahu. Tetapi dalam senyum dan lembut kata Pak Samad memandu sambil menanam akal budi dan teras peribadi. Walaupun sembang kami  ibarat  ‘babi pun boleh terbang’  tetapi Pak Samad  hanya tersenym dan melayan.

Sesekai beliau pun bergurau yang maksudnya tidak terjangkau. Apabila ada  antara kami yang tersasul menyebut ‘so’ atau ‘actually’ Pak Samad dengan cepat memintas, “So itu  makudnya jadi,  actually itu maknanya sebenarnya.”  Yang terkena memang rasa ada kelat di muka. Saya percaya mereka  akan ingat teguran itu sampai bila-bila.

Saya amat beruntung kerana bukan sahaja kenal malah kerap berbual dengan Pak Samad. Beliau banyak membentuk bingkai berfikir saya sebagai wartawan –  bukan sahaja sekitar sastera malah dalam hal-hal hal sosiopolitik dan budaya.  Setiap kali berbual  di Restoran Hameed, saya seperti sedang dikuliahkan dalam kelas kewartawanan.

Central Market juga sekali sekala menjadi persinggahan komposer M Nasir. Ketika itu M Nasir tengah popular dengan filem Kembara Seniman Jalanan arahan Nasir Jani.  Kecuali M Nasir, sebenarnya hanya segelintir sahaja artis popular yang sanggup ke Central Market.  Tidak prestij, kata mereka

Pada tahun-tahun berkenaan wujud semacam kebimbangan dalam kalangan artis untuk berada di tengah-tengah masyarakat – misalnya minum di warung teh tarik atau tempat yang biasa-biasa. Tetapi  M Nasir berjejak di bumi nyata dan seperti biasa  identitinya unik juga – jeans, baju kotak-kotak dan kasut kanvas.

Di sebelah pintu depan dan belakang ada deretan gerai pelukis. Hampir setiap hari selepas balik dari pejabat saya melepak seketika di gerai-gerai itu. Antara yang sangat melekat diingatan ialah pelukis potret Aris Aziz. Di central Market, Aris ini macam Pak Lurah. Dia sangat sihormati.

Goresan tangan Aris seperti tidak pernah tidak menjadi.  Saya cemburu tetapi sebenarnya sangat kagum dengan bakat dan kemahiran Aris.  Tetapi Aris pantas menenangkan, katanya, tulis dan lukis hanya medium sahaja. Perkara penting adalah pemikiran yang menggerakkan medium.

Masih terbayang pelukis  Ediet, Ajis, Dino, Suria dan beberapa lagi.  Dalam banyak-banyak itu yang paling unik ialah Yahuk, pelukis hebat dari Sabah yang terkenal dengan imej berseluar pendek, berbaju kemeja lengan pendek, stoking belang panjang paras lutut dan bertopi koboi. Rambut dan janggutnya setanding Pak Samad.

Bagaimanapun selepas lima tahun pertama  daripada 1986,  suasana berubah sedikit demi sedikit.  Malah sedikit demi sedikit juga generasi lain memenuhi Central Market. Banyak mat punk,  hip hop dan macam-macam lagi yang terkeluar dengan era saya.

Banyak kawan-kawan sudah mengundurkan diri. Mungkin atas faktor kehidupan – tuntutan kerjaya dan keluarga. Tetapi yang terus ada di situ ialah satu-satunya posmen yang menjadi penyair, Marjan S. Saya terus menjadikan Central Market tempat berkarya hingga sebelum berkuatkuasanya PKP 2020.

Ada yang menjadi ahli korporat dan sudah tidak punya masa untuk berbual kosong seperti dulu. Ada yang bergelut dengan tuntutan hidup yang amat mencabar – berjaja secara kecil-kecilan di kaki lima. Cuma tiga serangkai  – Siso, Sani dan Usop tidak ke mana-mana. Mereka terus berada dalam lingkaran Central Market walaupun hingga tiga dekad kemudian.

Senja itu menyelak helai kenangan satu demi satu –  di sinilah saya mengisi zaman muda sebagai perantau kota. Walaupun Central Market bukan apa-apa, tetapi sosialisasi  dan kawan-kawan di sekitarnya ada signifikan dengan  kerjaya dan kehidupan saya. 

Central Market mempertemu sekaligus mengakrabkan saya dengan mereka yang besar dan penuh wibawa.

Cahaya jingga yang semakin lembut senja itu mengirimkan rasa syahdu dan pilu. Teringat kepada kawan-kawan yang dulunya bergelak ketawa di situ terlebih dahulu dijemput Ilahi – Mahmud Amat, Mohamad Nuzi,  Zaini Zaa, Ithnin Jabar,  Tengku Alias Taib (T. Alias Taib) dan Marjan S. Barangkali berbaris nama lagi yang tidak diketahui. 

Tiba-tiba saya terasa dihujani rasa kehilangan yang amat sangat takkala menghantar mentari pulang ke bingkai malam. (Kolum Catatan Kota Batu di Wilayahku 22 Oktober 2021)

 

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *