Padang Kelab Selangor tempat bersejarah turunnya benderan Union Jack pada 30 Ogos 1957.

Oleh Ku Seman Ku Hussain

MALAM itu 31 Disember 1989.  Sejak selepas senja saya berada di tengah-tengah padang yang luas itu – di sebelah kanan ada Kelab Selangor yang berwarna putih dan kiri ada Bangunan Sultan Abdul Samad.  Jam besar di menara bangunan itu  baru sahaja berbunyi dan jarum pendeknya berada di angka sembilan.

Bangunan seni bina neo-Mogul itu bermandikan cahaya. Malam itu penuh keriangan dengan neon yang berselerak di bangunan-bangunan di keliling. Kanak-kanak berkejaran ke hulu hilir dan ada yang melangut ke langit melihat belon yang terlepas dari tangan dan terapung di udara.

Saya mengingatkan diri, hidup jangan seperti belon yang terapung tinggi, tetapi kosong. Hidup perlu seperti sauh yang tenggelam di dasar lautan, tetapi kukuh dan tidak teranjak diuji gelombang. Biar tidak nampak tetapi keberadaan terbukti dan jasanya disaksi.

Keramaian malam itu menghantar saya kembali ke masa lalu – zaman  kanak-kanak  ketika menonton ghazal parti di padang sekolah. Antara kumpulan paling popular ialah Orkes Chandeni Batu 5 Sik, Kedah. Penyanyinya Hamid Khan, Ghani Khan, S Mokhtar, S Rohani. Pelawak hebatnya, Saad Bubur Kacang sentiasa ditunggu-tunggu. ‘Seronok tak sangga’, kata orang Perlis.

Di padang sejarah, orang ramai semakin berpusu-pusu.  Di pentas utama berlangsung persembahan artis-artis popular.  Tetapi saya  tidak ingat siapa mereka kerana  lebih teruja berdiri di padang yang sejarah.  Saya pun cuba membayangkan  detik bersejarah turunnya bendera Union Jack  dan naiknya bendera Persekutuan Tanah Melayu pada 30 Ogos 1957. Ironinya malam itu orang berpusu-pusu kerana artis popular.

Padang Kelab Selangor selepas ditukar nama menjadi Dataran Merdeka pada 1 Januari 1990.

Malam itu saya tidak bertugas membuat liputan, tetapi mengambil peluang berada dalam sejarah. Serentak sambutan tahun baharu 1990 berlangsung pengumuman nama baharu padang itu oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.  Malam itu juga ketika jarum jam melintas pukul 12 tengah malam, Dr Mahathir melancarkan  program Tahun Melawat Malaysia 1990.

Saya bukan mahu berada dalam sejarah  tahun baharu 1990, juga bukan Tahun Melawat Malaysia.  Kedua-duanya tidak ada sejarah. Saya hanya mahu berada dalam sejarah nama baharu Padang Kelab Selangor. Itu sejarah baharu yang sangat  besar maknanya dengan  perjuangan kemerdekaan sejak 1940-an dulu. Malam itu Padang Kelab Selangor ditukar pada nama baharu.

Tetapi saya tidak fikir sebahagian besar pengunjung yang memenuhi ruang padang itu mahu berada dalam sejarah Padang Kelab Selangor.  Saya hampir pasti tarikan mereka  termasuk yang bersama-sama anak yang masih bayi ialah di pentas utama. Di situ ada artis-artis yang popular. Di situ ada gula.

Malam itu kali pertama saya menjejak kaki ke atas padang walaupun sudah enam tahun merantau di Kuala Lumpur.  Itulah satu-satunya padang luas di tengah-tengah Kuala Lumpur. Di kota ini  pantang ada tanah lapang,  luas sekangkang katak pun pasti pemaju akan membuat cadangan mendirikan bangunan. Hanya padang itu yang terselamat daripada materialisme melampau.

Tetapi sebelum dinaik taraf dua tiga tahun sebelum itu, padang itu biasa sahaja. Walaupun sesekali kelihatan orang  berseragam putih bermain kriket, tetapi rumputnya macam padang lain juga. Sejak 1957 hingga dua tiga tahun sebelum dinaik taraf, banyak warga kota tidak tahu pun sejarah padang itu.

Advertisement

Beberapa kali juga  saya berpeleseran seorang diri di tepi Padang Kelab Selangor yang dipisahkan dengan tembok rendah dan pokok bunga raya.  Ada sedikit siar kaki di tepi padang. Apabila malam sekitar padang dan Bangunan Sultan Abdul Samad hanya samar dan suram.

Tetapi kalau malam minggu  banyak yang berpeleseran di situ termasuk maknyah dengan kasut tumit tingginya.  Dalam kegelapan di celah-celah pokok bunga raya pula banyak juga pasangan yang menjadi habuan nyamuk. Nyamuk? Ah, Apakah sangat dengan nyamuk, orang bercinta lagikan lautan api pun sanggup direnangi.

Tetapi tidak pernah berdiri di atas padang bersejarah itu. Bimbang kasut tenggelam dalam lumpur. Setiap kali hujan lopak-lopak di padang itu digenangi air dan katak-katak pun riang bernyanyi  sepanjang malam.

Memang benar padang di mana saya berdiri malam itu besar sejarahnya.  Kalaulah boleh berkata-kata, tentu sahaja ia menceritakan semangat orang Melayu dulu-dulu ketika menyaksikan bendera penjajah diturunkan diganti dengan bendera negara yang merdeka.

Keberadaan saya di atas padang itu dikhabarkan kepada ayah ketika pulang ke kampung. Ayah mendengar dengan bangga campur terharu. Ibu ada bercerita ayah pernah berangan-angan mengikut kawan-kawan ke padang itu seterusnya ke Stadium Merdeka menyambut  pengisytiharan merdeka. Hanya angan-angan. Ayah  tiada kemampuan untuk datang.

Saya berpaling  sekali lagi ke arah Bangunan Sultan Abdul Samad. Kubah-kubahnya disimbah cahaya berwarna. Kubah bangunan ini sama seperti kubah stesen kereta api Kuala Lumpur, Perpustakaan Kuala Lumpur dan bekas ibu pejabat Keretapi Tanah Melayu (KTM).

Daripada penyelidikan saya mendapat tahu Bangunan Sultan Abdul Samad siap dibina 1897 awalnya dijadikan pejabat pentadbiran British di negeri Selangor.  Nama Sultan Selangor diabadikan pada bangunan itu pada 1974, tidak lama sebelum Kuala Lumpur menjadi Wilayah Persekutuan. Reka bentuk oleh arkitek A.C Norman, R.A.J Bidwell dan A.B Hubback menggunakan seni bina Indo-Islamic  atau neo-Mogul abad ke 17.

Reka bentuk bangunan ini sama dengan  Taj Mahal, Masjid Jama, dan Taman Shalimar di Lahore, India. Ketika mula-mula datang ke Kuala Lumpur terkejut kerana banyaknya ‘masjid’. Asal ada kubah semua saya anggap masjid.  Rupa-rupanya bentuk kubah diambil daripada seni bina neo-Mogul.

Saya tertanya-tanya kenapa penjajah tidak mendirikan bangunan ada reka bentuk British? Kenapa harus seni bina bercirikan neo-Mogul? Kubah pula sudah diterima sebagai lambang masjid di negara ini. Mungkinkah disebabkan empayar Mogul begitu menonjol hingga abad ke 17?  Hingga kini saya belum temui jawapan.

Malam itu tepat pukul 12 malam,  tatkala percikan bunga api menawan ruang angkasa Padang Kelab Selangor, rasmilah nama baharunya, Dataran Merdeka. Nama itu ada signifikan dengan kemerdekaan. Seusai reda bunga api, orang ramai pun berduyun-duyun meninggalkan padang yang baru bertukar nama itu. Sepi.

Cuma yang tinggal di atas  Dataran Merdeka hanya tin-tin minuman, bekas makanan, kertas balut burger  yang berselerak di sana sini.  Memutih bagai bunga teratai yang kembang di atas muka tasik. Saya hilang kata-kata apabila melihat pekerja BDKL bertungkus lumus mengutip semua sampah itu.

Saya tertanya sendirian, benarkah  kita sudah merdeka?  Padang bersejarah itu terus diam membisu. (Kolum Catatan Kota Batu di Wilayahku 5 November 2021)

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *