Mempedulikan cuaca menjadi satu disiplin penting dalam kehidupan manusia. (Gambar hiasan)

Oleh Ku Seman Ku Hussain

PENERIMA Hadiah Nobel Fizik 2021 adalah seorang pakar meteorologi, Syukuro Manabe dari Princeton University.  Ini merupakan kali pertama dalam sejarah Hadiah Novel Fizik diberikan kepada seorang ahli meteorologi yang menghasilkan kajian mengenai perubahan iklim dan pemanasan global.

Beliau berkongsi menerima Hadiah Nobel Fizik itu dengan  ahli meteorologi Klauss Hasselmann dari Max Institute of Meteorology, Hamburg, Jerman.

Ketika dunia berdepan krisis perubahan iklim dan pemanasan global, bidang kajian yang berkaitan cuaca sudah menjadi keutamaan. Nasib semua penghuni bumi ditentukan oleh tahap pelestarian iklim. Perubahan iklim dan pemanasan global menjadi ancaman utama nyawa manusia di planet ini.

Bagaimanapun ratusan tahun lalu sebelum Hadiah Nobel memberikan pengiktirafan kepada ahli meteorologi,  orang tua-tua kita sudah meletakkan cuaca sebagai faktor penting dalam kehidupan. Walaupun tidak ada teknologi yang boleh meramal keadaan cuaca, mereka arif membaca isyarat  daripada alam.

Mereka membaca isyarat yang dihantar oleh unggas dan mergastua, melihat gigi air di tepi pantai untuk meramal ribut dan gelombang sebelum turun ke laut untuk menangkap ikan. atau aktiviti maritim yang lain. Perubahan cuaca tidak berlaku tanpa sebarang isyarat, hanya terpulang kepada manusia untuk membaca isyarat itu.

Tragedi anjir besar yang berlaku di Selangor dan Pahang baru-baru ini boleh diramalkan dengan teknologi ramalan cuaca terkini. (Gambar hiasan Berita Harian)

Buku Pantun dan Kebijaksanaan Akal Budi Melayu tulisan Profesor DiRaja Ungku Aziz yang memuatkan 78 daripada 16,000 pantun yang dikaji membuktikan perkara ini. Dalam pantun bertemakan musim misalnya,  Ungku  Aziz melihat kebijaksanaan, cara berfikir dan sudut pandangan orang Melayu terhadap  cuaca.

Cuaca penting kepada masyarakat silam sama ada dalam bidang pertanian,  perikanan dan maritim. Membaca pantun dalam tema musim, dengan sendirinya memancarkan ilmu dan pengamatan orang Melayu terhadap alam yang memberikan petanda sebelum memulakan sesuatu kerja. 

Kemajuan tidak pernah memutuskan hubungan manusia dengan alam dan cuaca. Maka cuaca terus menjadi perkara penting dalam kehidupan – dulu kini dan selamanya. Memencil atau mengabaikan cuaca boleh menjadikan kehidupan  porak peranda. 

Minggu lalu beberapa negeri terutama Selangor berdepan dengan tragedi banjir yang teruk. Adakah semua ini berlaku tanpa sebarang isyarat dalam bidang meteorologi?  Tidak.  Taburan hujan yang luar biasa dan angin kuat berlaku megikut aturannya dan memberikan isyarat terlebih dulu.

Pihak berkaitan seperti Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) misalnya memberikan isyarat awal dalam slot ramalan cuaca melalui radio dan televisyen setiap hari dan dua atau tiga kali sehari. Ramalan yang diperoleh melalui teknologi canggih itu  berketepatan 95 peratus dan membolehkan kita memahami keadaan cuaca dalam sehari atau seminggu akan datang.

Pengalaman baharu daripada tragedi banjir besar  itu adalah memantau keadaan cuaca secara kendiri. Selain mengharapkan pihak seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN) atau  MetMalaysia, dengan teknologi telefon pintar menjadikan pemantauan kendiri bukan suatu yang sukar.

Malah segmen ramalan cuaca di saluran televisyen yang disediakan oleh  MetMalaysia sangat membantu orang ramai mendapat gambaran lengkap keadaan cuaca sehari atau seminggu akan datang. Dalam kata lain ramalan cuaca  sekarang jauh lebih baik berbanding tahun 1970-an dan 1980-an dulu.

Kalau diteliti laporan yang disiarkan di saluran televisyen sudah memberikan gambaran lebih 95 peratus ketepatannya. Taburan hujan, kelajuan angin dan ketinggian ombak boleh dijadikan rujukan untuk disesuaikan dengan kegiatan sosial dalam kehidupan. Boleh juga dimanfaatkan sebagai langkah berjaga-jaga

Memang benar kita tidak berupaya mengalih  atau megurangkan taburan hujan serta memperlahankan kelajuan angin pada masa-masa tertentu.  Bagaimanapun kita boleh menyesuaikan kehidupan dengan aturan alam itu. Misalnya nelayan atau kegiatan maritim tertentu  boleh dielakkan apabila ketinggian ombak pada skala yang berbahaya.

Mengambl endah ramalan cuaca bukan sekadar untuk mengangkat kain dari jemuran. Mempedulikan cuaca menjadi satu disiplin penting dalam kehidupan.  Kalau zaman silam, orang tua-tua memilih  musim untuk mengadakan kenduri atau majlis keraian. Mereka endah tentang cuaca dan menyesuaikannya.

Tinjauan rambang dalam kelompok kecil mendapati penggunaan aplikasi ramalan cuaca di telefon pintar meningkat dalam masa seminggu bekalangan ini. Hendak keluar memenuhi undangan majlis perkahwinan pun  sudah ada yang merujuk pada aplikasi ramalan cuaca.

Ini satu tabiat yang seharusnya dimulai sejak lama dulu, seperti generasi dahulu hendak memulakan sebarang pekerjaan sama ada bertani atau menangkap ikan di laut. Cuaca adalah perihal alam dan untuk lebih selamat kita kena memahami dan membaca bahasa alam.

Teknologi ramalan cuaca sekarang sudah sangat canggih.  Maklumat pula mudah difahami oleh sesiapa sahaja. Tidak ada istilah yang terlalu teknikal yang menyekat maklumat sampai kepada sasaran. Malah, kalau dikenakan bayaran sekalipun, ia sangat minimum.

Di negara yang ada empat musim misalnya, hendak keluar dari rumah pun mesti melihat ramalan cuaca dulu. Mereka sentiasa berinteraksi dengan keadaan cuaca. Maka bukanlah suatu yang pelik sekiranya banyak bergantung pada teknologi untuk mendapat gambaran cuaca sejam, dua jam atau sehari akan datang.

Tambahan pula dalam keadaan dunia berdepan dengan perubahan iklim,  ramalan cuaca sudah menjadi satu keperluan.  Di banyak negara cuaca sudah tidak lagi mengikut aturan musim seperti kebiasaannya.

Lihat sahaja di Mekah yang dulunya sangat jarang mendapat hujan kini sudah berlaku banjir.  Banjir di Mekah bukan lagi perkara luar biasa. Di negara kita juga banyak musim sudah berubah. Misalnya ketika musim tengkujuh sekarang, taburan hujan  biasanya lebih banyak di pantai timur.

Bagaimanapun yang berlaku minggu lalu  ialah hujan luar biasa di Lembah Kelang mengakibatkan banjir besar di Selangor dan Kuala Lumpur. Sedikit sebanyak perubahan iklim yang mengancam sebahagian dunia sudah mulai tempias ke negara ini. Maka cuaca menjadi satu aspek yang rapat dengan kehidupan manusia.

Mendapat gamaran awal tentang keadaan cuaca adaah sebahagian daripada keperluan hidup. Semoga tahap kepekaan kita terhadap cuaca menjadi semakin tinggi.  Maka pemilihan Syukuro Manabe sebagai penerima Hadiah Nobel Fizik ada signifiannya dengan kita dan sekelian umat manusia di planet bumi. (Utusan Malaysia 27 Disember 2021)

 

 

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *