Pasukan penyelamat lebih diperlukan berbanding menteri atau timbaan ketika bencana. (Gambar hiasan Berita Harian)

Oleh Ku Seman Ku Hussain

KETIKA berlaku bencana banjir besar di Selangor dan Pahang minggu lalu,  terdengar suara-suara yang tidak berpuas hati kerana  ada menteri  tidak datang menolong mangsa. Atau setidak-tidaknya tolong membersihkan kediaman yang ditengelami lumpur tebal.

Sebenarnya tuntutan itu agak tidak realistik dan masih berfikir dalam kotak yang kecil. Setakat manalah sangat kudrat yang ada kepada individu berkenaan,  apa lagi tidak terlatih membuat kerja menyelamat. Sebaliknya alam keadaan segenting itu rakyat lebih memerlukan pasukan penyelamat berbanding menteri.

Maka menteri atau timbalan yang tidak kelihatan berkeliaran dan ‘beraksi’ di depan kamera dianggap tidak berjiwa rakyat. Lalu dihentamnya bertalu-talu seolah-olah membuat kesalahan besar, pemimpin yang rasuah pun tidak dikecam sedemikian.

Sebenarnya inilah hasil tindakan popular yang diambil oleh sesetengah pemimpin ketika musim pilihan raya. Sesetengah dalam kalangan mereka sanggup menjadi badut menoreh getah, tolong ceduk santan penjaja di pasar malah ada tolong kaut keladak hitam di longkang.

Maka tidak hairanlah apabila banyak calon pilihan raya tiba-tiba menjadi ‘orang lain’ daripada diri mereka yang sebenar.  Secara tiba-tiba mereka membuat kerja yang tidak pernah dilakukan kecuali musim pilihan raya. Rakyat pula memberi markah tinggi bukan kerana sumbangan akal fikiran memajukan masyarakat, tetapi berdasarkan pendekatan popular tadi.

Sebenarnya inilah prasyarat menjadi unuk menjadi pemimpin yang disenangi di negara kita. Siapa yang melanggar atau tidak ‘bersalin kulit’  menjadi orang lain akan ditolak. Padahal banyak yang hanya acah-acah saja sebagai bahan media.

Adakah cara menyenangkan hati rakyat itu berkesan?  Banyak yang berkata, bukan sahaja beresan tetapi sangat berkesan. Tujuan bertanding tentulah untuk mendapat sokongan. Maka untuk itu pemimpin politik sanggup membuat apa sahaja walaupun mereka sendiri merasa pelik.

Nampaknya pendekatan mencari pemimpin terutama ketika musim pilihan raya berlu diubah. Rakyat tidak boleh lagi tersihir dengan pendekatan popular  yang menyenangkan hati untuk mengukur pemimpin berjiwa rakyat. Definisi berjiwa rakyat lebih kepada ambil endah perihal rakyat, bukan menyenangkan hati rakyat dengan pendekatan popular.

Masa yang sama pemimpin yang sanggup membuat kerja-kerja tidak masuk akal ini sebenarnya mengabaikan tugas hakiki sebagai pemimpin. Kalau peminpim teruja sangat hendak membuat kerja rakyat, tugas mereka siapa pula yang hendak lakukan? 

Tetapi sesetengah dalam kalangan rakyat tidak memikirkan itu. Bagi mereka individu yang paling kerap nampak di rumah kenduri, kematian, gotong royong adalah pemimpin terbaik. Pemimpin begini  akan dipilih apabila tiba pilihan raya.

Memaksa pemimpin berada bersama-sama rakyat  di tempat bencana adalah menghalang mereka menjalankan tugasnya kepada rakyat.  Tambahan pula sudah ada pasukan penyelamat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO)  dan orang perseorangan yang menyumbang tenaga.

Cara pemimpin seperti menteri  membantu ialah dengan membuat tindakan pantas dan tepat. Di tangan mereka ada butang untuk ditekan bagi menggerakkan semua organisasi dan agensi bawah pengawasannya. Kesannya lebih besar berbanding menteri sendiri yang terkial-kial di tempat bencana.

Advertisement

Tambahan pula keberadaan pasukan penyelamat dan NGO di lokasi bencana lebih diperlulan daripada menteri, timbalan menteri atau mereka yang berangan-angan menjadi calon Pilihan Raya Umum (PRU 15). Keberadaan mereka agak menganggu kerana sesetengahnya tidak dapat membezakan antara bencana dengan acara  memotong riben.

Tanggungjawab utama menteri dan timbalan adalah menentukan dasar, kemudian memperjelaskan sasaran atau hala tuju sesuatu perkara yang berkaitan kementeriannya. Kalau hendak masuk campur sedikit hal-hal berkaitan perlaksanaan masih boleh, tetapi jangan menjadi ‘profesor serba tahu.’ Nanti  jadi koyak.

Kalau pengurusan  menghantar bantuan lambat, carilah pentadbir yang diberi tanggungjawab. Kalau Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Majlis Keselamatan Negara (MKN) terkial-kial, cari siapa kepalanya.

Dalam berdepan dengan keadaan yang genting  tidak perlulah menunggu menteri ‘batuk’ baru hendak menggerakkan organisasi.  Kenalah pakai akal. Tanpa menafikan ada sesetengah menteri lebih banyak tidak tahu daripada tahu. tetapi badan yang bertanggungjawab perlu bersikap proaktif.

Cuma masalah utama di negara kita ini kalau boleh menteri hendak bercakap dalam semua perkara, daripada warna kasut hingga perkara-perkara sangat teknikal dan tidak diketahuinya.  Sepatutnya simpanlah sikit penyakit semula jadi orang politik yang pantang nampak mikrofon. Ini bertujuan mengelak kecelaruan. Biarlah menteri hanya bercakap perkara-perkara dasar sahaja.

Oleh hal yang demikian tidak perlulah dikerah semua menteri dan timbalan yang bercuti di luar negara pulang disebabkan bencana banjir baru-baru ini.  Kalau balik sekalipun tidak ada bezanya kerana arahan dan pemantauan boleh dibuat secara maya.

Mustahil untuk kerah semua menteri dan timbalan ke tempat bencana untuk menyelamat dan membersih kesan banjir.  Jika dipaksa berhempas pulas menggerah tenaga sekalipun sudah tentu tidak termamu oleh kudrat.  Perkara yang diperlukan daripada menteri dan timbalan menteri ialah pemikiran, kepimpinan dan ketangkasan  mereka dalam membuat keputusan.

Pada zaman yang serba canggih ini  segala mesyuarat tergempar, arahan, pemantauan dan sebagainya boleh dibuat dari  jarak jauh. Kita telah melagkah ke gerbang Internet 5G, maka cara berfikir dan bertindak pun tidak boleh seperti dekad 1980-an yang teknologi komunikasi sangat terhad.

Menteri atau timbalan tidak berdepan halangan untuk memantau keadaan dalam negara dari bilik hotel di seberang laut. Malah boleh mendapatkan laporan terperinci setiap 15 minit sekali beserta dengan video. Jarak tidak pernah menjadi halangan dalam berkomunikasi pada era langit terbuka ini.

Walaupun begitu tidak ada salahnya kalau ada pemimpin dengan suka rela, tidak kira menteri atau sesiapa untuk memberi sokongan moral kepada mangsa yang diuji bencana.

Bagaimanapun lakukanlah dengan jujur. Perkara ini sama seperti kita menziarah orang sakit. Kehadiran kita bukanlah untuk menyembuhkan, tetapi memberikan kelegaan jiwa kerana ada yang turut berduka. Tetapi bab kejujuran ini hanya individu berkenaan sahaja yang tahu. (Utusan Malaysia 2 Januari 2022)

 

 

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *